Keluaran Statistik Terkini

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Mengikut Negeri, 2010 (Kemas kini: 17/10/2011)

PENEMUAN UTAMA
KELUARAN DALAM NEGERI KASAR (KDNK) MENGIKUT NEGERI, 2010

1. Persekitaran ekonomi global kembali teguh pada tahun 2010 setelah mengalami krisis kewangan dan kejatuhan ekonomi pada tahun 2009. Pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan telah dicatat di kebanyakan negara termasuk di rantau Asia. Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan peningkatan sebanyak 7.2 peratus (2009: -1.6 peratus). Pertumbuhan ini dipacu oleh sektor Perkhidmatan (6.8 peratus) dan Pembuatan (11.4 peratus).

2. Aliran pertumbuhan menaik turut dilihat dalam prestasi ekonomi di peringkat negeri terutamanya bagi negeri-negeri yang bergantung kepada sektor Pembuatan dan Perkhidmatan. Carta 1 menunjukkan Selangor telah merekodkan pertumbuhan tertinggi 10.8 peratus (2009: -1.0 peratus) disokong terutamanya oleh sektor Pembuatan yang meningkat teguh kepada 19.5 peratus berbanding -7.6 peratus pada tahun sebelumnya. Aktiviti yang mendorong kepada prestasi yang kukuh ini adalah dari subsektor Pembuatan Kenderaan Bermotor & Kelengkapan Pengangkutan dan industri keluaran Elektrik & Elektronik. Begitu juga bagi pertumbuhan KDNK Pulau Pinang dan Johor yang masing-masing mengukuh kepada 10.0 peratus (2009: -10.8 peratus) dan 9.3 peratus (2009: - 4.0 peratus) dirangsang oleh peningkatan yang lebih baik dalam sektor Pembuatan. Selain itu, negeri-negeri lain yang bergantung kepada sektor Pembuatan dan Perkhidmatan turut mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan. Momentum pertumbuhan dapat dilihat bagi negeri Perak (5.7 peratus), Melaka (5.6 peratus), Negeri Sembilan (5.3 peratus), Pahang (4.5 peratus), Sarawak (4.5 peratus), Kedah (4.4 peratus) dan Terengganu (4.3 peratus).

Carta 1: Pertumbuhan KDNK (%) mengikut Negeri pada Harga Malar 2000 Tahun 2010

Carta1

3. Bagi negeri Sabah, peningkatan sederhana dicatatkan dengan pertumbuhan 2.4 peratus berbanding 3.8 peratus pada tahun sebelumnya didorong oleh momentum pertumbuhan yang lebih perlahan bagi sektor Perlombongan dan Kuari. Sementara itu, pertumbuhan yang lebih tinggi bagi WP Kuala Lumpur (9.2 peratus) dan WP Labuan (6.0 peratus) disumbangkan oleh prestasi kukuh sektor Perkhidmatan terutamanya dari subsektor Kewangan & Insurans dan Perdagangan Borong & Runcit.

4. Kebergantungan kepada aktiviti ekonomi tertentu mewujudkan struktur ekonomi yang unik dan tumpuan bidang yang berbeza. Senario ini dapat dilihat melalui perbezaan ciri dan struktur ekonomi yang seterusnya akan memberi kesan terhadap prestasi setiap negeri. Sektor Perkhidmatan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi bagi WP Kuala Lumpur (89.3 peratus), WP Labuan (75.5 peratus), Kelantan (73.8 peratus), Perak (65.9 peratus), Perlis (58.3 peratus), Terengganu (58.3 peratus), Selangor (56.5 peratus) dan Kedah (55.7 peratus). Pulau Pinang dan Negeri Sembilan didominasi oleh sektor Pembuatan dengan mencatatkan sumbangan 49.3 peratus dan 48.6 peratus kepada KDNK masing-masing (Jadual 1). Negeri Melaka sebaliknya mempunyai struktur ekonomi yang hampir seimbang bagi sektor Perkhidmatan dan Pembuatan. Selain dari itu, sektor Perlombongan dan Pertanian merupakan antara pemacu pertumbuhan ekonomi yang penting bagi negeri Sabah dan Sarawak. Sementara itu, sektor Pertanian turut menjadi salah satu penyumbang utama kepada negeri Pahang dan Perlis.

Jadual 1: Peratusan Sumbangan Aktiviti Ekonomi Mengikut Negeri pada Harga Malar 2000
Tahun 2010


Jadual1

5. Dari perspektif sektoral pula, bagi sektor Perkhidmatan WP Kuala Lumpur dan Selangor kekal sebagai penyumbang utama dengan jumlah sumbangan sebanyak 47.9 peratus di peringkat nasional (Jadual 2). Sementara itu, negeri Johor dan Pulau Pinang masing-masing menyumbang sebanyak 8.6 peratus dan 6.9 peratus kepada sektor ini. Pertumbuhan sektor Perkhidmatan secara keseluruhannya dirangsang oleh subsektor Perdagangan Borong & Runcit dan Kewangan & Insurans.

Jadual 2: Pembahagian Peratusan (%) mengikut Negeri pada Harga Malar 2000 Tahun 2010

Jadual2


6. Bagi sektor Pembuatan, Selangor terus mendominasi sektor ini dengan sumbangan sebanyak 30.0 peratus diikuti oleh Pulau Pinang (15.6 peratus), Johor (12.3 peratus) dan Sarawak (9.2 peratus). Jumlah sumbangan bagi empat negeri utama ini adalah sebanyak 67.1 peratus (2009: 64.8 peratus). Pemangkin utama sektor ini adalah dari subsektor Elektrik & Elektronik dan Kenderaan Bermotor & Kelengkapan Pengangkutan. Selain itu, pertumbuhan dua digit bagi subsektor Bahan Kimia dan Produk Kimia, Produk Mineral Bukan Logam, Logam Asas dan Produk Getah turut merangsang kepada pertumbuhan yang lebih baik dalam sektor Pembuatan.

7. Sabah dan Sarawak kekal menerajui sektor Pertanian dengan sumbangan 37.5 peratus pada tahun 2010. Walau bagaimanapun, sumbangan ini sedikit menurun berbanding 38.3 peratus yang direkodkan pada tahun 2009. Aktiviti Pertanian yang utama bagi kedua-dua negeri ini adalah Kelapa Sawit dan Perhutanan & Pembalakan. Sementara itu, Johor, Pahang dan Perak turut menyumbang secara signifikan kepada sektor ini terutamanya dari aktiviti Kelapa Sawit.

8. Bagi sektor Pembinaan, Selangor merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 36.8 peratus. Walau bagaimanapun, negeri ini menunjukkan pertumbuhan perlahan 2.3 peratus berbanding 4.6 peratus pada tahun sebelumnya. Selain itu, WP Kuala Lumpur dan Johor masing-masing menyumbang 16.6 peratus dan 10.8 peratus kepada sektor Pembinaan.

Nota:
Semakan pada sumber data menyebabkan semakan dibuat pada penyusunan berikut; data tahun 2008 dan 2009. Data yang telah dikemaskini turut disertakan dengan jadual-jadual berkenaan.

 

Muat turun:Jadual 1 : KDNK Mengikut Negeri dan Jenis Aktiviti Ekonomi bagi tahun 2010 pada Harga Malar 2000 - RM Juta pdf_biruexcel_biru
 Jadual 2 : KDNK Mengikut Negeri dan Jenis Aktiviti Ekonomi bagi tahun 2009 pada Harga Malar 2000 - RM Juta

 

pdf_biruexcel_biru
 Jadual 3 : KDNK Mengikut Negeri dan Jenis Aktiviti Ekonomi bagi tahun 2008 pada Harga Malar 2000 - RM Juta

 

pdf_biruexcel_biru
 Jadual 4 : KDNK Mengikut Negeri bagi tahun 2008-2010 pada Harga Malar 2000 - Perubahan Peratusan Tahunan & Pembahagian Peratusan KDNK

 

pdf_biruexcel_biru
 Jadual 5 : KDNK Per Kapita Mengikut Negeri bagi tahun 2008-2010 pada Harga Semasa - RM

 

pdf_biruexcel_biru