Soalan Lazim

Pertanian

1.Siapa pegawai yang boleh saya hubungi untuk mendapatkan statistik pertanian yang terdapat di Jabatan Perangkaan Malaysia?
Maklumat pegawai boleh diperoleh di laman web Jabatan Perangkaan Malaysia iaitu http: //www.statistics.gov.my > Hubungi Kami > Direktori > Bahagian Perangkaan Pertanian dan Alam Sekitar.
2.Apakah jenis-jenis statistik pertanian yang terdapat di Jabatan Perangkaan Malaysia?
Jabatan Perangkaan menerbitkan maklumat perangkaan getah, tanaman, perikanan dan ternakan dalam bentuk laporan. Laporan ini disediakan dalam format Adobe Acrobat PDF. Data diterbitkan di peringkat negeri dan industri.
3. Mengapa perlu menjalankan Banci Pertubuhan Pertanian dan berapa kerapkah banci ini dijalankan?
Banci Pertubuhan Pertanian dijalankan sekali dalam tempoh 2 tahun. Tujuan utama banci ini dijalankan untuk mengumpul maklumat pertubuhan pertanian dalam sektor tanaman, perikanan dan ternakan. Laporan Banci Pertubuhan Pertanian menerbitkan perangkaan utama berkenaan sektor pertanian mengikut pertubuhan pertanian. Perangkaan yang dipaparkan adalah nilai output kasar, kos input, guna tenaga dan gaji & upah dibayar serta nilai harta yang dimiliki.
 

Caj dan Bayaran

 Apakah caj yang dikenakan untuk permintaan data dan bagaimanakah cara membuat bayaran?
 a. Permintaan data akan dicaj berdasar kos yang terlibat, berasaskan amaun bahan yang digunakan dalam memproses dan mengumpul data.
 b. Bayaran untuk penerbitan atau untuk data boleh dibuat melalui bayaran tunai / bank draf / kiriman wang / wang pos dibayar kepada KETUA AKAUNTAN, JABATAN PERDANA MENTERI ( Bayaran melalui kad kredit atau EFT adalah tidak diterima )
 

Permintaan Data

Bagaimana saya boleh kemukakan permintaan untuk penerbitan atau data?
 Tuan boleh membeli penerbitan atau data terperinci yang tidak diterbitkan dari JP. Untuk permintaan sedemikian atau sebarang pertanyaan berhubung perangkaan anda boleh menghubungi JP secara yang berikut :
  Borang : Pesanan Online
E-mel : jpbkkp@stats.gov.myThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
Telefon : 603-88857000
Faks : 603-88889248
 Untuk permintaan bertulis sila nyatakan nama tuan, pertubuhan, jawatan dan tujuan memohon maklumat dan alamatkan :
  Pengarah,
Bahagian Korporat dan Khidmat Pengguna,
Jabatan Perangkaan Malaysia,
Aras 7, Blok C6, Kompleks C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62514 Putrajaya,
Malaysia
 Tuan/puan boleh juga membuat permohonan terus dengan berkunjung ke Ibu Pejabat JP di Putrajaya atau di mana-mana pejabat negeri : Hubungi Kami
 

Demografi

1.Apakah yang dimaksudkan demografi?
Demografi adalah satu kajian tentang kependudukan manusia, terutama fertiliti (kelahiran), mortality (kematian), perkahwinan & perceraian dan migrasi. Iamelibatkan pengkajian yang saintifik tentang saiz, penyebaran ruang dan komposisi dan bagaimana ketiga-tiga komponen ini berubah mengikut masa.
2.Adakah data penduduk disediakan sehingga peringkat small area ?
Data penduduk disediakan di peringkat nasional sehingga peringkat kawasan kecil (small area) iaitu Malaysia, negeri, strata (bandar/luar bandar), daerah pentadbiran, mukim, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Parlimen, dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
3.Adakah Jabatan Perangkaan Malaysia menyediakan perangkaan sebab kematian ?
Jabatan Perangkaan Malaysia bertanggungjawab membuat penyusunan data perangkaan penting termasuk sebab kematian. Rekod kematian ini diperoleh dari Jabatan Pendaftaran Negara. Data sebab kematian ini dikod menggunakan the International Statistical Classification of Diseases and Related Health Problems 10th Revision (ICD-10).
 

Penyiasatan Pertubuhan

1.PENYIASATAN PERTUBUHAN - Mengapakah perlu dilaksanakan penyiasatan pertubuhan?
Jabatan Perangkaan Malaysia (JP) mengumpul pelbagai jenis perangkaan ekonomi dan tenaga buruh melalui penyiasatan - penyiasatan pertubuhan yang dilaksanakan. Data daripada penyiasatan digunakan oleh kerajaaan dan sektor swasta dalam merangka dasar dan membuat keputusan untuk pembangunan ekonomi.
2.PENYIASATAN PERTUBUHAN - Mengapakah JP tidak memperolehi maklumat dari Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ?
JP tidak dibenarkan bertukar maklumat dengan Jabatan, agensi kerajaan lain termasuk dengan LHDNM atau dengan orang perseorangan untuk apa pun tujuan. Semua maklumat individu pertubuhan adalah dianggap sulit.
3.PENYIASATAN PERTUBUHAN - Akaun saya yang telah diaudit belum disiapkan. Bolehkah saya dikecualikan dari penyiasatan?
Meskipun maklumat dari akaun yang telah diaudit diperlukan, maklumat dari akaun awalan atau anggaran yang terbaik boleh juga digunakan.
4.PENYIASATAN PERTUBUHAN - Saya telah memberi respon dalam tempoh yang lama. Bolehkah saya diganti dengan pertubuhan lain?
Sampel penyiasatan dipilih mengikut kaedah saintifik dan berdasarkan kaedah rawak dalam perangkaan. Kami tidak boleh memasuk atau mengeluarkan sesuka hati sesuatu pertubuhan ke dalam atau keluar dari sampel, kerana ia akan menjejaskan keputusan penyiasatan.
5. PENYIASATAN PERTUBUHAN - Adakah maklumat yang saya berikan didedahkan kepada pihak awam atau Jabatan kerajaan lain ?
Mengikut peruntukan Akta Perangkaan 1965 (Dipinda -1989) semua maklumat berkenaan setiap pertubuhan akan di anggap sulit dan tidak akan didedahkan kepada pihak yang tidak berkenaan termasuk jabatan dan agensi kerajaan. Maklumat yang dikutip digunakan untuk tujuan perangkaan sahaja. Hanya maklumat perjumlahan tanpa menunjukkan maklumat individu pertubuhan akan disiarkan.
6.PENYIASATAN PERTUBUHAN - Mengapakah pertubuhan saya dipilih dalam lebih dari satu penyiasatan ?
Penyiasatan yang dijalankan meliputi pelbagai topik yang berguna kepada pembuat dasar dan komuniti perniagaan. Memandangkan penyiasatan-penyiasatan mempunyai tempoh rujukan yang berbeza, tahap perincian dan masa liputan yang berbeza, ianya tidak dapat disatukan. Bagi sebahagian pertubuhan, memandangkan kepentinganya dari segi ekonomi dalam komuniti, mereka mempunyai kemungkinan yuang lebih untuk terpilih di dalam lebih dari satu penyiasatan.
7.PENYIASATAN PERTUBUHAN - Adakah ianya wajib untuk turut serta dalam penyiasatan yang dijalankan?
Ya, wajib. Penyiasatan yang dilaksanakan adalah mengikut peruntukan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Dipinda-1989)
8.PENYIASATAN PERTUBUHAN - Bolehkah saya jawap selepas tarikh tutup?
Perangkaan yang bertepatan masa adalah amat berguna terutama di kalangan pembuat dasar, samada kerajaan atau swasta. Kami memerlukan kerjasama tuan bagi memberi jawapan kepada penyiasatan yang kami jalankan sebelum tarikh tutup.
9.PENYIASATAN PERTUBUHAN - Bolehkah saya melengkap dan mengembalikan soalselidik secara elektronik?
Ya. Templat elektronik bagi soal selidik boleh di dapati untuk penyiasatan –penyiasatan yang dijalankan oleh JP. Templat berkenaan boleh diminta dan akan dihantar melalui emel atau akan dihantar semasa lawatan di pertubuhan tuan. Tuan boleh mengembalikan templat yang telah dilengkapkan kepada kami melalui emel atau memberinya kepada pegawai kami semasa lawatan mereka. Semasa menghantar templat yang telah dilengkapkan melalui emel tuan dinasihatkan memasukkan tanda tangan secara elektronik dan encrypt menggunakan sijil digital bagi tujuan merahsiakan maklumat yang dibekalkan.
 

Sektor Luaran

1.Apakah definisi untuk import?
Sesuatu barang dianggap sebagai import apabila ianya dibawa masuk ke dalam negara, sama ada terus ataupun disimpan di gudang gudang yang dikawal tanpa mengira sama ada barang tersebut adalah untuk kegunaan sendiri, diproses, digunakan dalam perkilangan ataupun untuk dieksport semula ke negara lain. Ia juga diistilahkan sebagai `import umum'.
2.Apakah definisi untuk eksport?
Sesuatu barang (keluaran atau buatan tempatan atau diimport untuk dieksport semula) dianggap sebagai eksport apabila ianya dibawa keluar dari negara. Ia juga diistilahkan sebagai `eksport umum'.
3.Apakah definisi untuk eksport semula?
Sesuatu barang dianggap sebagai eksport semula apabila ianya dibawa keluar dari negara dalam keadaan seperti mana ianya diimport tanpa mengalami sebarang perubahan rupa. Proses membungkus semula, menyisih atau menggred tidak dikira sebagai satu proses perubahan rupa.
4.Apakah penilaian untuk import?
Import dinilaikan mengikut c.i.f. (cost, insurance and freight kos, insuran dan tambang), iaitu, nilai barangan di pasaran di sempadan perangkaan/kastam negara pengimport, termasuk semua perbelanjaan insuran dan tambang semasa dalam perjalanan tetapi kos pemunggahan dari alat pengangkutan tidak diambil kira kecuali kos tersebut ditanggung sendiri oleh pengangkut.
5. Apakah penilaian untuk eksport?
Eksport dinilaikan mengikut f.o.b. (free on board), iaitu, nilai barangan di pasaran di sempadan perangkaan/kastam negara pengeksport, termasuk semua perbelanjaan pengangkutan ke sempadan tersebut, duti eksport dan duti lain yang kena bayar serta kos untuk memunggah barang ke atas alat pengangkutan kecuali kos terakhir itu ditanggung sendiri oleh pengangkut.
6.Apakah imbangan perdagangan?
Imbangan perdagangan ialah perbezaan antara nilai eksport dan import. Apabila eksport melebihi import lebihan direkodkan manakala defisit pula dicatatkan apabila import melebihi eksport.
7.Apakah imbangan pembayaran?
Imbangan pembayaran meliputi semua transaksi ekonomi diantara residen Malaysia dan bukan residen ( residen negara lain) dalam dua akaun iaitu akaun semasa dan akaun modal & kewangan. Akaun semasa meliputi transaksi dalam barangan, perkhidmatan, pendapatan dan pindahan semasa, manakala akaun kewangan merekodkan perubahan dalam aset kewangan dan liabiliti asing negara ini.
8.Di mana boleh saya peroleh data terkini imbangan pembayaran?
Laporan Imbangan Pembayaran Suku Tahunan menyediakan anggaran suku tahunan imbangan pembayaran dan komponen-komponennya yang boleh didapati di laman web Jabatan Perangkaan Malaysia dan dimuat turun secara percuma.
9.Siapakah yang dianggap sebagai residen dan bukan residen?
Residen ialah individu, syarikat atau organisasi lain yang lazimnya terletak di Malaysia untuk jangka masa sekurang-kurangnya satu tahun. Cawangan dan/atau subsidiari syarikat asing yang beroperasi di Malaysia dianggap sebagai residen. Bukan residen ialah individu, syarikat atau organisasi lain yang lazimnya terletak di negara selain Malaysia. Cawangan dan/atau subsidiari syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negeri dianggap sebagai bukan residen.
10. Apakah perbezaan diantara data aliran transaksi dan data kedudukan pelaburan?
Data aliran transaksi merujuk kepada transaksi ekonomi dengan negara lain dalam satu jangkamasa (iaitu suku tahunan). Data kedudukan pelaburan adalah berorientasikan ukuran stok yang menyediakan penyata imbangan lembaran (aset kewangan dan liabiliti) ekonomi Malaysia dengan negara lain pada satu titik masa (biasanya pada akhir tahun).
11.Apakah Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung di luar negeri (DIA)?
FDI merujuk kepada pelaburan dalam bentuk instrumen kewangan iaitu modal ekuiti, perolehan dilabur semula dan modal lain (pinjaman antara syarikat, kredit perdagangan, pendahuluan dll) oleh pelabur langsung asing di dalam enterpris pelabur langsung mereka (subsidiary, cawangan atau syarikat bersekutu) di Malaysia. Pelabur langsung ialah entiti asing (individu atau syarikat) yang memiliki secara langsung atau tidak langsung, sekurang-kurangnya 10 peratus ekuiti modal (dalam bentuk saham biasa atau kuasa mengundi) bagi enterpris di Malaysia.

Sebaliknya, DIA merujuk kepada pelaburan (iaitu modal ekuiti, perolehan dilabur semula dan modal lain) yang dilakukan oleh syarikat Malaysia (pelabur langsung) di dalam affiliate mereka (subsidiari, cawangan atau syarikat bersekutu) di luar negeri dimana mereka memiliki sekurang-kurangnya 10 peratus modal ekuiti (saham biasa atau kuasa mengundi).
12.Di mana boleh saya peroleh statistik FDI dan DIA?
Statistik FDI dan DIA bersih boleh didapati di dalam Laporan Imbangan Pembayaran Suku Tahunan, yang boleh dimuat turun daripada Laman Web Jabatan Perangkaan Malaysia. Statistik terperinci FDI & DIA mengikut negara dan sektor boleh diperoleh di dalam Statistik Buletin Bulanan Bank Negara Malaysia, yang boleh didapati di laman web Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my). Sumber datanya adalah dari Jabatan Perangkaan Malaysia dan BNM.
 

Responden Penyiasatan

1.SOALSELIDIK ISIRUMAH - Mengapakah perlu dilaksanakan Penyiasatan Isi Rumah ?
Tujuan melaksanakan penyiasatan isi rumah adalah bagi mengumpul data dari segi ciri-ciri sosio –ekonomi penduduk. Data ini amat berguna kepada Kerajaaan dan sektor swasta dalam merangka dasar dan membuat keputusan.
2.SOALSELIDIK ISIRUMAH - Ahli keluarga saya kembali ke rumah amat lewat. Bolehkah saya jawap soalan bagi pihak mereka?
Memandangkan soalan yang ditanya bersifat peribadi adalah lebih baik untuk bertanyakan sendiri ahli isi rumah yang berkenaan. Ahli isi rumah tuan boleh menghubungi kami melalui telefon atau faks bagi menetapkan masa yang sesuai untuk temuduga.
3.SOALSELIDIK ISIRUMAH - Saya telah terpilih di dalam penyiasatan ini beberapa bulan lepas. Mengapakah saya dipilih lagi pada kali ini?
Mengikut reka bentuk kaedah pensampelan di dalam penyiasatan ini sebahagian isi rumah akan ditemuduga semula pada pusingan kali ini. Reka bentuk sebegini dapat memberikan perbandingan kepada data pada tempoh yang berbeza untuk isi rumah yang sama. Dengan cara ini, perubahan di dalam keadaan sosio-ekonomi penduduk boleh diukur dengan lebih tepat.
4.SOALSELIDIK ISIRUMAH - Bolehkah tuan menghantar soalselidik melalui mel dan saya mengembalikannya kepada tuan setelah ia dilengkapkan?
Meskipun masa untuk temuduga tidak lama, soal selidik yang digunakan agak sukar . Pegawai temuduga kami yang terlatih boleh membantu responden dalam membekalkan data perangkaan yang diperlukan dengan mudah dan tepat. Semua pegawai temuduga kami adalah tertakluk kepada peraturan untuk merahsiakan maklumat yang tuan bekalkan dan tidak akan mendedahkannya kepada pihak ketiga. Diharap tuan tidak berasa keberatan untuk menjawab soalan yang ditanyakan oleh pegawai temuduga kami.
5.SOALSELIDIK ISIRUMAH - Bolehkah tuan mencari isi rumah lain bagi menggantikan saya?
Kami meminta maaf ini tidak dapat dilakukan Sampel dalam penyiasatan dipilih secara saintifik dan mengikut kaedah rawak dalam perangkaan. Kami tidak boleh memasuk atau mengeluarkan sesuka hati sesuatu isi rumah ke dalam atau keluar dari sampel, kerana akan menjejaskan keputusan penyiasatan.
 

Indeks Pengeluaran Perindustrian

 Apakah Dia Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP)?
IPP adalah satu ukuran kadar perubahan sebenar pengeluaran komoditi perindustrian bagi satu tempoh masa bagi sector Pembuatan, Perlombongan dan Elektrik. Ianya diukur berdasarkan perubahahan kuantiti pengeluaran. IPP merupakan indeks keseluruhan daripada Indeks Perlombongan, Pembuatan dan Elektrik. IPP dapat memberi gambaran trend semasa aktiviti perindustrian dan digunakan untuk analisa ekonomi.
 

Tenaga Manusia dan Sosial

1.Di mana boleh saya dapatkan maklumat berkaitan konsep, metodologi, definisi dan kaedah yang berkaitan Tenaga Buruh?
Anda boleh melayari seksyen metadata di bawah Penyiasatan Tenaga Buruh bagi mendapatkan maklumat klasifikasi, konsep, definisi dan kaedah yang diguna pakai oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
2.Apakah maksud bekerja dan menganggur?
Bekerja
Semua orang yang bekerja sekurang-kurangnya sejam semasa minggu rujukan untuk mendapatkan upah, keuntungan atau keuntungan keluarga (sebagai majikan, pekerja, bekerja sendiri atau pekerja keluarga tanpa gaji). Juga dianggap sebagai bekerja ialah mereka yang tidak bekerja semasa minggu rujukan disebabkan sakit, kecederaan, tiada upaya, cuaca buruk, bercuti, pertelingkahan buruh dan sebab-sebab sosial atau keagamaan tetapi mempunyai pekerjaan, ladang, perusahaan atau perusahaan keluarga lain untuk kembali bekerja. Termasuk juga mereka yang tidak bekerja buat sementara waktu tetapi bergaji dan pasti akan dipanggil bekerja semula. Mereka yang sedang bekerja dan bekerja kurang dari 30 jam semasa minggu rujukan disebabkan bentuk kerja mereka atau disebabkan kurang kerja dan berkeupayaan serta sanggup menerima beban kerja tambahan dianggap sebagai guna tenaga tidak penuh dan dimasukkan dalam kategori bekerja.
 Menganggur
Penganggur dikelaskan kepada dua kumpulan iaitu penganggur aktif dan penganggur tidak aktif. Penganggur aktif termasuk mereka yang tidak bekerja semasa minggu rujukan tetapi bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan dalam minggu tersebut. Penganggur tidak aktif adalah seperti berikut:
 (a)mereka yang tidak mencari pekerjaan dalam minggu rujukan kerana percaya tidak terdapat pekerjaan atau pun tidak berkelayakan;
 (b)mereka yang mungkin mencari pekerjaan jika tidak kerana sakit atau cuaca buruk;
 (c)mereka yang menunggu jawapan permohonan pekerjaan; dan
 (d)mereka yang telah mencari pekerjaan sebelum minggu rujukan.
3.Bagaimana kadar pengangguran di kira?
Kadar pengangguran, KU dikira mengikut formula berikut:
 formula
 di mana
PU ialah bilangan orang yang menganggur mengikut sesuatu kategori yang tertentu.
PL ialah bilangan orang dalam tenaga buruh mengikut sesuatu kategori yang tertentu.
 

Akaun Negara

1.Apa itu Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)?
KDNK adalah ukuran jumlah nilai keluaran oleh semua unit pengeluaran bagi residen sesebuah negara dalam tempoh tertentu, sebelum ditolak peruntukan untuk penggunaan modal tetap. Unit pengeluaran dikatakan sebagai residen bagi sesebuah negara, jika ia mengekalkan tumpuan kepentingan ekonominya (centre of economic interest) di dalam wilayah ekonomi bagi negara berkenaan. Wilayah ekonomi sesebuah negara adalah terdiri daripada kawasan geografi yang ditadbir oleh kerajaan, di mana orang, barangan dan modal bergerak secara bebas. KDNK boleh diukur dengan menggunakan tiga kaedah berbeza tetapi memberikan hasil yang sama iaitu, penjumlahan nilai ditambah, penjumlahan perbelanjaan akhir dan penjumlahan pendapatan. Di Malaysia, Jabatan Perangkaan menyusun anggaran KDNK tahunan menggunakan pendekatan penjumlahan nilai ditambah dan penjumlahan perbelanjaan akhir.
2.Bagaimana ukuran KDNK ?
Terdapat tiga (3) kaedah penyusunan KDNK:
 i.KDNK yang berasaskan kepada penjumlahan nilai ditambah (atau pengeluaran) adalah jumlah perbezaan di antara nilai output kasar unit pengeluaran residen (yang diukur dalam nilai pengeluar) dengan nilai penggunaan perantaraan (yang diukur dalam nilai pembeli) dan dicampur duti import. Perbezaan tersebut adalah nilai ditambah. Pendekatan ini juga menunjukkan sumbangan setiap aktiviti ekonomi terhadap keseluruhan KDNK.
 ii.Anggaran berasaskan pendapatan – menjumlahkan pendapatan yang dijana (iaitu gaji dan upah, lebihan kendalian kasar bagi perusahaan-perusahaan dan pendapatan campuran yang dijana oleh isi rumah yang terlibat dalam pengeluaran.
 iii.Pendekatan berasaskan penjumlahan perbelanjaan akhir (perbelanjaan) ialah dengan mencampurkan nilai penggunaan akhir barang dan perkhidmatan yang diukur dalam nilai pembeli dan ditolak import c.i.f. barang dan perkhidmatan. Ianya dikira dengan menganggar mnilai perbelanjaan penggunaan persendirian, perbelanjaan penggunaan kerajaan, pembentukan modal tetap kasar, perubahan dalam stok dan eksport barang dan perkhidmatan, tolak import barang dan perkhidmatan. Semua ini panggil kategori `permintaan akhir' atau `perbelanjaan akhir.
3.Apa dia KDNK mengikut Negeri?
KDNK mengikut Negeri adalah penyusunan KDNK yang merangkumi 13 negeri dan 2 wilayah Persekutuan di Malaysia. Penyusunan ini adalah berasaskan kepada kaedah pengeluaran dan diukur pada harga malar (2000 = 100).
4.Apakah standard piawaian yang digunapakai semasa penyusunan Perangkaan Akaun Negara ?
Sistem Akaun Negara
Sistem Akaun Negara, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (selalunya diringkaskan sebagai "SNA") adalah standard antarabangsa bagi system Akaun Negara, di mana standard antarabangsa pertama yang telah diterbitkan pada tahun 1953. Handbooks telah diterbitkan bagi semakan tahun 1968,semakan tahun 1993 dan semakan 2008.
 

Banci Penduduk Dan Perumahan

  Apakah definisi kawasan bandar yang digunakan oleh Jabatan Perangkaan?
Definisi bandar adalah:

" Kawasan yang diwartakan serta kawasan tepu bina yang bersempadan dengannya dan gabungan kedua-dua kawasan ini mempunyai penduduk 10,000 orang atau lebih semasa Banci 2010 atau kawasan pembangunan khusus yang boleh dikenal pasti kawasannya yang mana sekurang-kurangnya mempunyai penduduk 10,000 orang dengan sekurang-kurangnya 60% penduduknya yang berumur 15 tahun dan ke atas terlibat dalam aktiviti bukan pertanian."

Kawasan tepubina ditakrifkan sebagai kawasan yang terletak bersebelahan kawasan yang diwartakan dan mempunyai sekurang-kurangnya 60% penduduk (berumur 15 tahun dan ke atas) terlibat dalam aktiviti bukan pertanian.

Kawasan pembangunan khusus adalah kawasan pembangunan yang boleh dikenal pasti dan terpisah dari mana-mana kawasan yang diwartakan atau kawasan tepu bina melebihi 5 km serta kawasan berkenaan mempunyai penduduk sekurang-kurangnya 10,000 dengan 60% dari penduduknya yang berumur 15 tahun dan ke atas terlibat dalam aktiviti bukan pertanian.
 

Harga

 Apakah Indeks Harga Pengguna (IHP)?
Indeks Harga Pengguna (IHP) mengukur perubahan peratus kos pembelian mengikut masa bagi "bakul" tetap barangan dan perkhidmatan yang mewakili corak purata pembelian oleh sekumpulan penduduk pada sesuatu tempoh masa yang ditetapkan. "Bakul" ini merujuk kepada barangan dan perkhidmatan yang mempunyai kualiti dan kuantiti yang seakan-akan sama atau tidak berubah, mengandungi item yang berada lama atau boleh di ukur secara berterusan di pasaran berbanding dengan masa. Perubahan harga barangan yang berlaku dalam bakul ini adalah disebabkan oleh perubahan harga yang sebenarnya sahaja, iaitu perubahan harga ini tidak berkaitan langsung dengan perubahan pada kuantiti atau kualiti barangan dan perkhidmatan tersebut.
 

Perkhidmatan

 Di samping mengendali permintaan data apakah perkhidmatan lain yang diberikan oleh JP?
JP juga memberikan perkhidmatan perundingan mengenai kaedah perangkaan dalam melaksanakan penyiasatan termasuk reka bentuk rangka dan pensampelan, soal selidik, operasi luar, memproses dan analisis data : Produk dan Perkhidmatan
 

Latihan

 Apakah jenis latihan atau kursus yang ditawarkan oleh JP?
Pada masa ini JP hanya memberi latihan industri atau latihan praktikal kepada pelajar institusi penggajian tinggi :Latihan Industri