APRIL 2013 BM
Keluaran Statistik TerkiniMuat Turun PercumaBercetak


Ringkasan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia April 2013 (Kemas kini: 12/06/2013)



1. PENGELUARAN

Sebanyak 42,881 tan metrik getah asli telah dihasilkan pada April 2013, jatuh 27,423 tan metrik (-39.0%) daripada Mac 2013. Perbandingan tahun atas tahun pula menunjukkan penurunan sebanyak 18,445 tan metrik (-30.1%). Sektor kebun kecil menyumbang sebanyak 93.6% daripada keseluruhan pengeluaran manakala bakinya 6.4% adalah daripada sektor estet. Negeri yang mengeluarkan getah asli tertinggi di estet adalah Kedah (22.8%), diikuti Perak (18.8%) dan Negeri Sembilan (15.3%).



2. EKSPORT

Eksport getah asli Malaysia pada April 2013, berjumlah 61,342 tan metrik. Perbandingan dengan bulan lepas dan setahun lepas masing-masing menunjukkan eksport jatuh sebanyak 12,407 tan metrik (-16.8%) dan 4,432 tan metrik (-6.7%). Dari keseluruhan eksport getah asli tersebut, 93.4 peratus disumbang oleh Getah Mutu Malaysia (G.M.M.) dengan 52.2 peratus terdiri dari G.M.M. 20.

Getah asli dieksport terutamanya ke Rep. Rakyat China (40.8%), diikuti oleh Jerman (12.5%), Rep. Islam Iran (6.9%), Rep. Korea (4.1%), Finland (3.6%) Amerika Syarikat (2.8%), Brazil (2.6%) dan Afrika Selatan (2.4%).



3. IMPORT

Jumlah getah asli yang diimport pada April 2013 adalah sebanyak 55,602 tan metrik. Import jatuh 18,112 tan metrik (-24.6%) dari Mac 2013 dan 5,643 tan metrik (-9.2%) dari April 2012. Lateks Pekat dan Getah Berpiawaian merupakan jenis getah asli yang utama diimport, masing-masing sebanyak 48.6 peratus dan 26.4 peratus.

Pembekal utama getah asli adalah Thailand (61.2%) dan Viet Nam (9.4%). Kedua-dua negara tersebut merangkumi 70.6 peratus daripada keseluruhan import getah asli.



4. PENGGUNAAN DOMESTIK

Penggunaan domestik getah asli pada April 2013 dicatatkan sebanyak 35,349 tan metrik, berkurangan sebanyak 1,955 tan metrik (-5.2%) berbanding dengan Mac 2013. Berbanding dengan bulan yang sama pada tahun 2012, penggunaan domestik juga menyusut sebanyak 686 tan metrik (-1.9%).

Industri terbesar yang mengguna getah asli adalah industri sarung tangan dengan jumlah sebanyak 25,671 tan metrik (72.6%), diikuti benang getah (7.9%) dan tayar & tiub (6.7%). Jumlah penggunaan bagi ketiga-tiga industri tersebut menyumbang 87.2% daripada keseluruhan penggunaan domestik getah asli.



5. STOK

Pada April 2013, paras stok getah asli merosot sebanyak 34,080 tan metrik (-19.3%) daripada paras stok bulan lepas kepada 142,069 tan metrik. Walau bagaimanapun, paras stok meningkat sebanyak 24,458 tan metrik (+20.8%) berbanding bulan yang sama tahun lepas.



6. HARGA PURATA BULANAN SEKILOGRAM
(Sebut Harga Pada Waktu Tengah Hari - "F.O.B")

Pada April 2013, harga purata bulanan lateks pekat direkod sebanyak 581.25 sen sekilogram, jatuh 32.00 sen (-5.2%) daripada bulan lepas dan 170.62 sen (-22.7%) apabila dibanding dengan April 2012.

Harga purata bulanan bagi G.M.M. 20 pula dicatat sebanyak 749.09 sen sekilogram, turun 108.11 sen (-12.6%) daripada Mac 2013 dan 351.38 sen (-31.9%) daripada April 2012.



7. GUNA TENAGA

Pada akhir April 2013, sejumlah 12,895 orang diambil bekerja di estet getah. Daripada jumlah tersebut, 12,891 orang adalah pekerja bergaji dengan bayaran gaji & upah berjumlah RM13.1 juta. Bilangan pekerja bergaji masing-masing bertambah 1.0 peratus dari Mac 2013 dan 3.4 peratus dari April 2012.



8. PRODUKTIVITI

Pada April 2013, produktiviti pengeluaran getah asli di estet dicatat sebanyak 64.8 kilogram sehektar. Produktiviti pengeluaran getah asli menunjukkan penurunan apabila dibanding bulan atas bulan dan tahun atas tahun dengan masing-masing sebanyak 26.6 kilogram sehektar (-29.0%) dan 4.0 kilogram sehektar (-5.8%).

 

 


Nota:

1. Laporan ini boleh diperoleh daripada laman sesawang Jabatan Perangkaan Malaysia (http://www.statistics.gov.my) di bawah ruangan: Keluaran Statistik.

 2. Data bagi bulan April 2013 merupakan data awalan.  Data ini akan dikemaskini berdasarkan data terkini yang diperoleh dan akan diterbitkan dalam penerbitan Mei 2013.