| Keluaran Statistik Terkini | Muat Turun Percuma | Bercetak |
Ringkasan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Januari 2013 (Kemas kini: 12/03/2013)
1.PENGELUARAN
Pengeluaran getah asli pada Januari 2013 dicatat sebanyak 87,957 tan metrik, meningkat 11,694 tan metrik (+15.3%) daripada Disember 2012. Perbandingan tahun atas tahun juga menunjukkan peningkatan sebanyak 2,798 tan metrik (+3.3%). Sektor kebun kecil menyumbang sebanyak 93.1 peratus dari keseluruhan pengeluaran getah asli manakala sektor estet hanya 6.9 peratus. Negeri yang mengeluarkan getah asli tertinggi di estet adalah Kedah (23.0%), diikuti Negeri Sembilan (20.1%) dan Perak (16.3%).
2. EKSPORT
Pada Januari 2013, jumlah eksport getah asli jatuh 6,453 tan metrik (-8.6%) daripada bulan lepas kepada 68,296 tan metrik. Walau bagaimanapun, eksport getah asli pada bulan ini adalah 11,765 tan metrik (+20.8%) lebih tinggi dari setahun lepas. Dari keseluruhan eksport getah asli tersebut, 95.3 peratus disumbang oleh Getah Mutu Malaysia (G.M.M.) dengan 56.2 peratus terdiri dari G.M.M. 20.
Lebih separuh daripada getah asli Malaysia dieksport ke Rep. Rakyat China (45.8%), diikuti oleh Rep. Persekutuan Jerman (12.2%), Amerika Syarikat (4.3%), Brazil (4.0%), Rep. Korea (3.8%), Rep. Islam Iran (2.6%), Belgium (2.5%) dan Turki (2.3%).
3. IMPORT
Sebanyak 91,481 tan metrik getah asli diimport pada Januari 2013. Import naik 8,233 tan metrik (+9.9%) dari Disember 2012 dan 36,888 tan metrik (+67.6%) dari setahun lepas. Getah Berpiawaian dan Lateks Pekat merupakan jenis getah asli yang utama diimport, masing-masing sebanyak 36.4 peratus dan 34.3 peratus.
Pembekal utama getah asli adalah Thailand (53.7%) dan Viet Nam (18.3%). Kedua-dua negara tersebut merangkumi 72.0 peratus daripada keseluruhan import getah asli.
4. PENGGUNAAN DOMESTIK
Pada Januari 2013, penggunaan domestik dicatat sebanyak 37,644 tan metrik, turun 207 tan metrik (-0.5%) daripada Disember 2012. Walau bagaimanapun, penggunaan domestik pada bulan ini adalah lebih tinggi daripada Januari 2012 sebanyak 2,515 tan metrik (+7.2%).
Industri terbesar yang mengguna getah asli adalah industri sarung tangan dengan jumlah sebanyak 27,246 tan metrik (72.4%), diikuti benang getah (8.0%) dan tayar & tiub (6.8%). Ketiga-tiga industri ini merangkumi lebih separuh dari keseluruhan penggunaan getah asli negara dengan jumlah sebanyak 32,809 tan metrik (87.2%).
5. STOK
Paras stok getah asli dicatat sebanyak 188,100 tan metrik pada akhir Januari 2013. Stok meningkat sebanyak 19,023 tan metrik (+11.2%) berbanding bulan Disember 2012 dan 35,714 tan metrik (+23.4%) daripada setahun lepas.
6. STOKHARGA PURATA BULANAN SEKILOGRAM
(Sebut Harga Pada Waktu Tengah Hari - "F.O.B")
Pada Januari 2013, harga purata bulanan lateks pekat direkod sebanyak 614.20 sen sekilogram, naik 37.22 sen (+6.5%) daripada bulan lepas tetapi jatuh 57.06 sen (-8.5%) apabila dibanding dengan Januari 2012.
Harga purata bulanan bagi G.M.M. 20 pula dicatat sebanyak 909.98 sen sekilogram, naik 42.25 sen (+4.9%) daripada Disember 2012. Berbanding dengan setahun lepas, harga purata G.M.M. pada bulan ini masih rendah sebanyak 146.60 sen (-13.9%).
7. GUNA TENAGA
Pada akhir Januari 2013, sejumlah 12,656 orang diambil bekerja di estet. Dari jumlah tersebut, 12,652 orang adalah pekerja bergaji dengan bayaran gaji & upah berjumlah RM17.9 juta. Bilangan pekerja bergaji bertambah 1.6 peratus dari bulan lepas dan 0.2 peratus dari setahun lepas. Pekerja estet mewakili 89.0 peratus dari kesemua pekerja di estet dengan gaji dan upah yang dibayar berjumlah RM15.0 juta.
8. PRODUKTIVITI
Pada Januari 2013, produktiviti pengeluaran getah asli di estet dicatat sebanyak 146.2 kilogram sehektar. Produktiviti pengeluaran getah asli meningkat sebanyak 15.2 kilogram sehektar (+11.6%) apabila dibanding bulan atas bulan dan 2.2 kilogram sehektar (+1.5%) bagi tahun atas tahun.
Nota:
1. Laporan ini boleh didapati daripada Laman Web Jabatan Perangkaan Malaysia (http://www.statistics.gov.my) di bawah ruangan: Keluaran Statistik.
2. Data bagi bulan Januari 2013 merupakan data awalan. Data ini akan dikemaskini berdasarkan data terkini yang diperoleh dan akan diterbitkan dalam penerbitan bulan Februari 2013.
