Keluaran Statistik TerkiniMuat Turun PercumaBercetak

Keluaran Dalam Negeri Kasar Suku Keempat 2012 (Kemas kini : 20/02/2013)


PERTUMBUHAN EKONOMI

Ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih laju 6.4 peratus berbanding 5.3 peratus pada suku sebelumnya. Semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif dengan sektor Perkhidmatan, Pembuatan dan Pembinaan terus menjadi pemacu utama dari segi penawaran.

Pertumbuhan dua digit yang berterusan dalam Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) telah memacu pengembangan dari segi permintaan.

Sepanjang tahun ini, ekonomi berkembang kepada 5.6 peratus selepas mencatatkan 5.1 peratus pada 2011.

 

PERKHIDMATAN

Sektor Perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 6.3 peratus didorong oleh Kewangan & Insurans pada 10.9 peratus yang disokong oleh aktiviti insurans dan berasaskan yuran. Pada suku ini, Perdagangan Borong & Runcit tumbuh 2.2 peratus disumbangkan oleh perniagaan runcit yang stabil. Sementara itu, Perkhidmatan Perniagaan mencatatkan pertumbuhan 7.3 peratus didorong oleh segmen profesional yang berkaitan dengan aktiviti pembinaan dan minyak & gas. Komunikasi terus kukuh kepada 8.5 peratus disokong oleh penggunaan data komunikasi yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, Perkhidmatan Kerajaan meningkat 11.4 peratus daripada 11.0 peratus pada suku lepas.

Pada tahun 2012, sektor Perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 6.4 peratus berbanding 7.0 peratus pada tahun sebelumnya. Kewangan & Insurans adalah penggerak utama sektor Perkhidmatan dalam tahun semasa.

 

PEMBUATAN

Sektor Pembuatan berkembang kukuh kepada 5.8 peratus pada suku ini selepas mencatatkan 3.3 peratus pada suku yang lepas. Semua subsektor mencatatkan pertumbuhan positif kecuali produk Tekstil, Pakaian, Kulit & Kasut. Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain yang menyumbang 16.0 peratus kepada sektor Pembuatan, mencatatkan pertumbuhan 10.7 peratus pada suku ini. Di samping itu, produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik terus meningkat kepada 5.2 peratus dipacu oleh produk kimia dan petroleum bertapis. Prestasi kukuh produk Mineral Bukan Logam, Logam Asas & produk Logam Yang Direka pada 10.6 peratus sebahagian besarnya disumbangkan oleh produk logam yang direka selari dengan pertumbuhan teguh dalam aktiviti pembinaan.

Pertumbuhan tahunan bagi sektor ini berkembang kepada 4.8 peratus disokong terutamanya oleh produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik (5.5 peratus).



PEMBINAAN

Sektor Pembinaan terus mengembang kepada 18.1 peratus disokong sebahagian besarnya oleh Kejuruteraan Awam dan Kediaman. Prestasi kukuh Kejuruteraan Awam pada 26.9 peratus didorong oleh aktiviti infrastruktur dan minyak & gas. Peningkatan projek pembangunan perumahan bernilai tinggi telah mengukuhkan pertumbuhan Kediaman kepada 22.9 peratus.

Pertumbuhan teguh 18.5 peratus direkodkan oleh sektor Pembinaan pada tahun 2012 diterajui oleh Kejuruteraan Awam pada 27.6 peratus.

 

PERTANIAN

Pada suku ini, subsektor Kelapa Sawit, Ternakan dan Perikanan mempengaruhi pertumbuhan 5.6 peratus dalam sektor Pertanian.

Subsektor Kelapa Sawit meningkat 11.7 peratus disokong terutamanya oleh peningkatan dalam pengeluaran kelapa sawit mentah. Permintaan kukuh bagi ayam & itik dan lembu & kerbau pada musim perayaan dan cuti sekolah telah menyebabkan pertumbuhan 11.7 peratus dalam subsektor Ternakan. Subsektor Perikanan meningkat kepada 5.6 peratus lanjutan daripada pengeluaran perikanan laut yang lebih tinggi.

Sektor Pertanian tumbuh perlahan kepada marginal 0.8 peratus pada asas tahunan berbanding 5.9 peratus pada tahun 2011.

 

PERLOMBONGAN DAN KUARI

Sektor Perlombongan dan Kuari pulih kepada 4.3 peratus, merupakan pertumbuhan tertinggi sejak suku kedua 2007. Pemulihan dalam pengeluaran gas asli (6.0 peratus) dan minyak mentah (3.9 peratus) telah merangsang aktiviti perlombongan pada suku ini.

Sektor ini mencapai pertumbuhan 1.4 peratus pada tahun ini berbanding negatif 5.7 peratus pada tahun lepas.

 

PERBELANJAAN PENGGUNAAN AKHIR

Perbelanjaan Penggunaan Akhir tumbuh lebih perlahan kepada 4.8 peratus berbanding 7.3 peratus pada suku lepas. Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta tumbuh kepada 6.1 peratus yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan makanan & minuman, perumahan & utiliti, komunikasi dan pengangkutan.

Perbelanjaan Penggunaan Akhir Kerajaan tumbuh sederhana kepada 1.1 peratus daripada 2.3 peratus pada suku ketiga 2012. Pertumbuhan yang sederhana disebabkan oleh penguncupan dalam perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan.

Selepas mencatatkan 8.9 peratus pertumbuhan tahunan pada tahun 2011, Perbelanjaan Penggunaan Akhir tumbuh lebih perlahan kepada 7.1 peratus tahun ini.

 

PEMBENTUKAN MODAL TETAP KASAR

PMTK dengan pertumbuhan kukuh 15.0 peratus pada suku ini meneruskan momentum dua digit dirangsang oleh Struktur dan Jentera & Kelengkapan. Sektor Swasta yang menyumbang 44.2 peratus daripada PMTK mencatatkan pertumbuhan sebanyak 20.2 peratus pada suku ini. Sementara itu, sektor Awam meningkat kepada 11.1 peratus.

PMTK merekodkan pertumbuhan yang memberangsangkan 19.9 peratus pada 2012 selepas mencatatkan 6.5 peratus pada tahun 2011. Bagi keseluruhan tahun 2012, sektor Swasta menerajui pelaburan dengan sumbangan 58.0 peratus.

 

EKSPORT DAN IMPORT

Eksport kekal susut pada negatif 1.5 peratus iaitu pertumbuhan yang lebih baik daripada negatif 3.0 peratus pada suku sebelumnya. Import mengalami penurunan marginal 0.9 peratus, paling rendah sejak suku ketiga 2009.

Kesan daripada permintaan luaran yang lebih perlahan pada tahun 2012, Eksport merekodkan pertumbuhan 0.1 peratus manakala Import mencatatkan 4.5 peratus.

 

SEMAKAN

Data bagi suku ketiga 2012 telah disemak semula terutamanya dalam sektor-sektor berikut: Perkhidmatan dan Pembuatan.

 

 

Muat Turun:Jadual 1 : Keluaran Dalam Negeri Kasar Pada Harga Semasa - Suku Keempat 2012
Jadual 2 : Keluaran Dalam Negeri Kasar Pada Harga Malar - Suku Keempat 2012