Keluaran Statistik TerkiniMuat Turun PercumaBercetak

Keluaran Dalam Negeri Kasar Suku Ketiga 2012 (Kemaskini : 16/11/2012)


PERTUMBUHAN EKONOMI

Ekonomi Malaysia tumbuh 5.2 peratus berbanding 5.6 peratus pada suku sebelumnya. Dari segi penawaran, semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif kecuali sektor Perlombongan dan Kuari. Sektor Perkhidmatan, Pembuatan dan Pembinaan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan.

Sementara itu, dari segi permintaan, Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) dan Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta terus menjadi pemacu utama.

PERKHIDMATAN

Sektor Perkhidmatan berkembang kepada 7.0 peratus disokong oleh prestasi kukuh subsektor Kewangan & Insurans dan Perdagangan Borong & Runcit. Pertumbuhan 11.8 peratus dalam Kewangan & Insurans disumbangkan oleh perkhidmatan pengantaraan kewangan dan pendapatan premium dalam aktiviti insurans. Selain itu, aktiviti berasaskan yuran juga mencatatkan pertumbuhan dua digit disokong oleh permintaan pembiayaan yang lebih tinggi daripada perniagaan dan isi rumah.

Perdagangan Borong & Runcit meningkat sebanyak 4.4 peratus disokong oleh aktiviti peruncitan selari dengan musim perayaan. Sementara itu, Komunikasi dan Perkhidmatan Perniagaan kekal stabil dengan masing-masing mencatatkan pertumbuhan 9.1 dan 8.1 peratus.

PEMBUATAN

Sektor Pembuatan mencatatkan pertumbuhan 3.3 peratus berbanding 5.6 peratus pada suku lepas. Penyumbang utama adalah Produk Mineral Bukan Logam, Logam Asas dan Produk Logam yang Direka (9.3 peratus) dan ini selari dengan pertumbuhan kukuh dalam aktiviti pembinaan.

Produk Petroleum, Kimia, Getah dan Plastik meningkat 2.8 peratus sebahagian besarnya disebabkan oleh pertumbuhan dua digit dalam produk plastik (11.4 peratus). Selain itu, prestasi yang kukuh dalam pengeluaran pembinaan dan membaiki kapal telah merangsang pertumbuhan dalam Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (4.8 peratus).

PEMBINAAN

Sektor Pembinaan kekal teguh dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit 18.3 peratus daripada 22.2 peratus pada suku sebelumnya. Prestasi kukuh pada suku ini didorong oleh segmen Kejuruteraan Awam dan Kediaman.

Prestasi kukuh Kejuruteraan Awam pada 28.5 peratus didorong oleh projek-projek utama khususnya di Lembah Klang, Johor, Sabah dan Perak. Segmen Kediaman mengekalkan pertumbuhan yang mampan 16.4 peratus didorong oleh gabungan projek-projek pembangunan di Lembah Klang, Sabah, dan Pulau Pinang. Pada suku ini, segmen Bukan Kediaman terus meningkat kepada 13.4 peratus disokong oleh momentum yang signifikan dalam projek-projek perindustrian.

PERTANIAN

Sektor Pertanian kembali positif kepada pertumbuhan marginal 0.5 peratus terutamanya disokong oleh prestasi menggalakkan dalam Ternakan, Perikanan dan Pertanian Lain khususnya sayur-sayuran dan buah-buahan.

Di samping itu, pemulihan dalam pengeluaran minyak kelapa sawit kepada 1.6 peratus daripada negatif 17.5 peratus pada suku sebelumnya telah mendorong pertumbuhan keseluruhan sektor Pertanian.

Walau bagaimanapun, subsektor Getah terus jatuh kepada 15.6 peratus berikutan penurunan harga. Kejatuhan pengeluaran balak yang berterusan telah mengakibatkan prestasi yang lemah bagi Perhutanan pada negatif 12.7 peratus.

PERLOMBONGAN DAN KUARI

Sektor Perlombongan dan Kuari menguncup kepada 1.2 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 2.3 peratus pada suku lepas. Kemerosotan dalam pengeluaran gas asli (-3.3 peratus) dan minyak mentah (-0.4 peratus) telah menyumbang kepada penguncupan ini.

PERBELANJAAN PENGGUNAAN AKHIR

Perbelanjaan Penggunaan Akhir mencatatkan pertumbuhan 7.3 peratus berbanding 9.2 peratus pada suku kedua 2012. Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta tumbuh pada kadar lebih perlahan 8.5 peratus disebabkan oleh perbelanjaan sederhana atas barang-barang separa tahan lama dan tahan lama. Walau bagaimanapun penggunaan atas makanan & minuman dan perkhidmatan pengangkutan & komunikasi meningkat selaras dengan musim perayaan. Di samping itu perbelanjaan berkaitan bayaran kadar faedah dan insurans juga meningkat.

Perbelanjaan Penggunaan Akhir Kerajaan mengecil kepada 2.3 peratus daripada 10.9 peratus suku lepas. Ini adalah disebabkan oleh penurunan perbelanjaan terutamanya bagi bekalan dan perkhidmatan.

PEMBENTUKAN MODAL TETAP KASAR

Pembentukan Modal Tetap Kasar terus mengukuh pada 22.7 peratus dirangsang oleh perbelanjaan bagi Struktur, Jentera & Kelengkapan dan Pengangkutan. Sektor swasta yang menyumbang sebanyak 60 peratus kepada PMTK memacu pertumbuhan dengan mencatatkan pertumbuhan 22.9 peratus. Sementara itu, sektor Awam tumbuh 22.4 peratus.

EKSPORT DAN IMPORT

Eksport jatuh kepada 3.0 peratus disebabkan oleh pertumbuhan lebih rendah bagi produk Jentera & Kelengkapan Pengangkutan, Minyak & Lemak Haiwan & Sayuran dan Barang-barang Keluaran Kilang.

Sementara itu, peningkatan 4.4 peratus dalam Import dipacu oleh permintaan lebih tinggi bagi produk Jentera & Kelengkapan Pengangkutan, Bahan Api Galian & Pelincir dan Barang-barang Keluaran Kilang.

SEMAKAN

Data bagi suku pertama dan kedua telah disemak semula terutamanya dalam sektor-sektor/komponen berikut: Perkhidmatan, Pembuatan dan Perbelanjaan Penggunaan Akhir Kerajaan.

 

Muat Turun:Jadual 1 : Keluaran Dalam Negeri Kasar Pada Harga Semasa - Suku Ketiga 2012
Jadual 2 : Keluaran Dalam Negeri Kasar Pada Harga Malar - Suku Ketiga 2012