Keluaran Statistik TerkiniMuat Turun PercumaBercetak


PRESTASI IMBANGAN PEMBAYARAN SUKU TAHUNAN OKTOBER - DISEMBER, 2012 (Kemas kini: 20/02/2013)


AKAUN SEMASA


Imbangan akaun semasa merekodkan lebihan yang lebih tinggi RM22.8 bilion untuk tempoh Oktober - Disember 2012, berbanding RM9.5 bilion pada suku sebelumnya. Lebihan yang lebih tinggi ini dicerminkan oleh:

  • akaun barangan: lebihan yang lebih tinggi RM34.5 bilion (S3 2012: RM25.5 bilion);
  • akaun perkhidmatan: bayaran bersih yang lebih rendah RM2.7 bilion (S3 2012: -RM3.4 bilion);
  • akaun pendapatan: bayaran bersih yang lebih rendah RM5.5 bilion (S3 2012: -RM7.9 bilion); dan
  • pindahan semasa: bayaran bersih menurun kepada RM3.5 bilion (S3 2012: -RM4.7 bilion).

Tahun-ke-tahun, lebihan imbangan akaun semasa meningkat sedikit RM0.4 bilion untuk mencatat RM22.8 bilion daripada RM22.4 bilion pada S4 2011. Senario ini disebabkan oleh bayaran bersih yang lebih rendah pada kedua-dua akaun perkhidmatan dan pindahan semasa, masing-masing sebanyak RM1.1 bilion dan RM1.8 bilion. Sementara itu, akaun barangan merekodkan lebihan yang lebih rendah sebanyak RM2.3 bilion daripada RM36.8 bilion pada S4 2011.

Pada tempoh Januari - Disember 2012, imbangan akaun semasa merekodkan RM60.0 bilion, berkurang sebanyak RM37.1 bilion daripada RM97.1 bilion dicatatkan pada 2011. Ini disebabkan oleh:

  • akaun barangan: lebihan yang lebih rendah RM125.2 bilion (2011: RM148.1 bilion);
  • akaun perkhidmatan: defisit yang lebih tinggi RM13.4 bilion (2011: -RM8.0 bilion); dan
  • akaun pendapatan: bayaran bersih yang lebih tinggi RM33.7 bilion (2011: -RM22.0 bilion).

Akaun Barangan
Pada suku kajian, akaun barangan mencatatkan lebihan yang lebih tinggi RM34.5 bilion berbanding RM25.5 bilion pada suku sebelumnya. Ini disebabkan oleh peningkatan pada eksport f.o.b. sebanyak 1.4 peratus berbanding penurunan pada import f.o.b. sebanyak 4.4 peratus.

  • Eksport f.o.b. meningkat kepada RM176.9 bilion berbanding RM174.4 bilion pada S3 2012. Ini terutamanya disumbangkan oleh peningkatan eksport bagi petroleum mentah dan minyak sawit & hasil keluaran berasaskan minyak sawit. Tiga destinasi utama eksport ialah Singapura, Republik Rakyat China, dan Jepun.
  • Import f.o.b. berkurang kepada RM142.4 bilion (S3 2012: RM148.9 bilion). Ini terutamanya disebabkan oleh penurunan import bagi barangan perantaraan. Tiga sumber utama import ialah Republik Rakyat China, Singapura, dan Jepun.

Tahun-ke-tahun, lebihan pada akaun barangan berkurang sebanyak RM2.3 bilion kepada RM34.5 bilion daripada RM36.8 bilion yang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas. Ini disebabkan oleh penurunan yang lebih besar pada eksport f.o.b. sebanyak 2.4 peratus kepada RM176.9 bilion (S4 2011: RM181.2 bilion) berbanding import f.o.b. sebanyak 1.4 peratus kepada RM142.4 bilion (S4 2011: RM144.4 bilion).

Bagi tahun 2012, eksport f.o.b. meningkat sebanyak RM6.3 bilion atau 0.9 peratus kepada RM702.9 bilion sementara import f.o.b. meningkat sebanyak 5.3 peratus atau RM29.2 bilion kepada RM577.7 bilion. Ini menyebabkan lebihan yang lebih rendah pada akaun barangan RM125.2 bilion daripada RM148.1 bilion pada 2011.


Akaun Perkhidmatan
Pada S4 2012, eksport perkhidmatan mencatatkan RM31.4 bilion, meningkat RM2.5 bilion daripada RM28.9 bilion yang direkodkan suku sebelumnya. Ini terdiri daripada:

  • pengangkutan: RM3.3 bilion (S3 2012: RM3.4 bilion);
  • perjalanan: RM16.9 bilion (S3 2012: RM14.8 bilion); dan
  • perkhidmatan lain: RM11.1 bilion (S3 2012: RM10.7 bilion), terutamanya disumbangkan oleh perkhidmatan perniagaan lain RM6.4 bilion, perkhidmatan komputer & informasi RM1.7 bilion, dan perkhidmatan pembinaan RM1.0 bilion.

Sementara itu, import perkhidmatan merekodkan RM34.1 bilion, meningkat RM1.8 bilion daripada RM32.3 bilion yang dicatatkan pada suku lepas. Komponen yang menyumbang kepada jumlah bayaran akaun perkhidmatan adalah:
  • pengangkutan: RM10.3 bilion (S3 2012: RM10.2 bilion);
  • perjalanan: RM10.0 bilion (S3 2012: RM9.1 bilion); dan
  • perkhidmatan lain: RM13.6 bilion (S3 2012: RM12.8 bilion), terutamanya disumbangkan oleh perkhidmatan perniagaan lain RM6.6 bilion, perkhidmatan pembinaan RM1.9 bilion, perkhidmatan komputer & informasi RM1.3 bilion, dan royalti & yuran lesen RM1.2 bilion. 

Pada asas bersih, akaun perkhidmatan merekodkan defisit yang lebih rendah sebanyak RM0.7 bilion untuk merekod RM2.7 bilion daripada RM3.4 bilion pada suku lepas. Ini terutamanya disebabkan oleh terimaan bersih yang lebih tinggi pada akaun perjalanan sebanyak RM1.3 bilion.

Tahun-ke-tahun, eksport perkhidmatan meningkat sebanyak 8.3 peratus kepada RM31.4 bilion daripada RM29.0 bilion pada S4 2011, sementara import perkhidmatan merekodkan bayaran yang lebih tinggi sebanyak 4.0 peratus kepada RM34.1 bilion daripada RM32.8 bilion setahun lepas. Ini menyebabkan defisit yang lebih rendah sebanyak RM1.1 bilion kepada -RM2.7 bilion daripada -RM3.8 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas. Ini terutamanya disebabkan oleh bayaran bersih yang lebih rendah pada perkhidmatan perniagaan lain sebanyak RM1.1 bilion.


Pada 2012, kedua-dua eksport dan import perkhidmatan masing-masing melebar sebanyak 6.4 peratus dan 10.5 peratus untuk mencatat RM117.1 bilion (2011: RM110.1 bilion) dan RM130.5 bilion (2011: RM118.1 bilion). Pada asas bersih, akaun perkhidmatan menunjukkan bayaran bersih yang lebih tinggi RM13.4 bilion daripada RM8.0 bilion. Ini disebabkan oleh terimaan bersih yang lebih rendah pada akaun perjalanan sebanyak RM3.2 bilion dan bayaran bersih yang lebih tinggi pada kedua-dua akaun pengangkutan sebanyak RM2.1 bilion dan perkhidmatan pembinaan sebanyak RM1.5 bilion.


Akaun Pendapatan
Pada tempoh Oktober - Disember 2012, terimaan pendapatan merekodkan RM12.2 bilion meningkat sebanyak RM0.8 bilion daripada RM11.4 bilion pada S3 2012. Pampasan pekerja kekal RM1.0 bilion dan pendapatan pelaburan mencapai RM11.2 bilion (S3 2012: RM10.4 bilion). Pendapatan pelaburan terdiri daripada: 

  • pelaburan langsung di luar negeri (DIA): terimaan yang lebih tinggi RM5.7 bilion (S3 2012: RM3.8 bilion), terutamanya dijana daripada sektor minyak & gas, kewangan & insurans, dan hiburan & rekreasi;
  • pelaburan portfolio: terimaan yang lebih rendah sebanyak RM1.2 bilion (S3 2012: RM1.3 bilion); dan
  • pelaburan lain: terimaan yang lebih rendah sebanyak RM4.3 bilion (S3 2012: RM5.4 bilion).

Walau bagaimanapun, bayaran pendapatan (debit) merekodkan RM17.7 bilion, berkurang sebanyak RM1.6 bilion daripada RM19.4 bilion pada S3 2012. Daripada jumlah bayaran, pampasan pekerja merekodkan RM1.9 bilion (S3 2012: RM1.8 bilion) manakala pendapatan pelaburan mencatat RM15.8 bilion (S3 2012: RM17.6 bilion). Pendapatan pelaburan diperoleh daripada:
  • pelaburan langsung asing (FDI): bayaran yang lebih rendah RM12.1 bilion (S3 2012: RM14.6 bilion), terutamanya dijana daripada sektor pembuatan, minyak & gas, dan perdagangan borong & runcit;
  • pelaburan portfolio: bayaran yang lebih tinggi sebanyak RM2.9 bilion (S3 2012: RM2.5 bilion); dan
  • pelaburan lain: bayaran yang lebih tinggi sebanyak RM0.7 bilion (S3 2012: RM0.4 bilion).

Pada asas bersih, defisit akaun pendapatan menurun kepada RM5.5 bilion daripada RM7.9 bilion sebelumnya. Ini terutamanya disebabkan oleh bayaran bersih yang lebih rendah pada pendapatan pelaburan berjumlah RM4.6 bilion (S3 2012: -RM7.2 bilion), sementara pampasan pekerja merekodkan bayaran bersih yang lebih tinggi RM0.9 bilion (S3 2012: -RM0.7 bilion).

Tahun-ke-tahun, terimaan pendapatan (kredit) menurun sebanyak RM2.8 bilion kepada RM12.2 bilion daripada RM15.1 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas. Sementara itu, bayaran pendapatan (debit) berkurang sebanyak RM2.7 bilion kepada RM17.7 bilion daripada RM20.4 bilion sebelumnya. Ini menyebabkan bayaran bersih yang lebih tinggi sebanyak RM0.1 bilion kepada RM5.5 bilion daripada RM5.3 bilion pada S4 2011.


Secara kumulatif, bagi tempoh Januari - Disember 2012, terimaan pendapatan (kredit) menyusut sebanyak RM10.2 bilion kepada RM42.3 bilion (2011: RM52.4 bilion) manakala bayaran pendapatan (debit) meningkat sebanyak RM1.6 bilion kepada RM76.0 bilion (2011: RM74.4 bilion). Ini menyebabkan bayaran bersih yang lebih tinggi sebanyak RM11.7 bilion kepada RM33.7 bilion (2011: -RM22.0 bilion).


Pindahan Semasa
Pada suku keempat 2012, terimaan pada pindahan semasa berjumlah RM1.7 bilion (S3 2012: RM1.4 bilion) sementara bayaran merekodkan RM5.2 bilion (S3 2012: RM6.1 bilion). Pada asas bersih, akaun ini merekodkan bayaran bersih yang lebih rendah RM3.5 bilion (S3 2012: -RM4.7 bilion).


Tahun-ke-tahun, bayaran bersih mengecil sebanyak RM1.8 bilion daripada RM5.4 bilion setahun yang lalu. Terimaan pindahan semasa merekod RM1.7 bilion (S4 2011: RM1.4 bilion), manakala bayaran mencatat RM5.2 bilion (S4 2011: RM6.7 bilion). Pada 2012, bayaran bersih pada pindahan semasa berkurang sebanyak 13.3 peratus kepada RM18.2 bilion daripada RM21.0 bilion yang direkodkan pada 2011.


AKAUN MODAL


Pada S4 2012, akaun modal mencatatkan aliran masuk bersih RM339.0 juta, berubah haluan daripada aliran keluar bersih RM42.0 juta pada suku lepas. Ini disebabkan oleh perubahan haluan pada aset bukan kewangan bukan pengeluaran kepada aliran masuk bersih RM377.0 juta daripada aliran keluar bersih RM18.0 juta pada S3 2012.


Tahun-ke-tahun, akaun modal beralih arah kepada aliran masuk bersih RM339.0 juta daripada aliran keluar bersih RM55.0 juta pada S4 2011. Sementara itu, pada tempoh Januari - Disember 2012, akaun modal berubah arah kepada aliran masuk bersih RM64.0 juta daripada aliran keluar bersih RM193.0 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas.


AKAUN KEWANGAN


Pada suku semasa, akaun kewangan merekodkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi RM9.0 bilion daripada RM8.7 bilion yang dilaporkan sebelumnya. Ini disebabkan oleh perubahan haluan pada pelaburan langsung daripada aliran masuk bersih RM1.9 bilion kepada aliran keluar bersih RM17.9 bilion dan aliran masuk bersih yang lebih rendah pada pelaburan portfolio RM11.3 bilion (S3 2012: RM27.6 bilion). Kedua-dua faktor ini dapat mengimbangi aliran keluar bersih yang lebih rendah pada pelaburan lain sebanyak RM35.7 bilion kepada RM2.4 bilion (S3 2012: -RM38.1 bilion).


Tahun-ke-tahun, akaun kewangan mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi sebanyak RM8.8 bilion daripada RM0.2 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu. Ini terutamanya disebabkan oleh perubahan haluan pada pelaburan lain daripada RM11.0 bilion kepada -RM2.4 bilion dan aliran keluar bersih yang lebih tinggi bagi pelaburan langsung daripada RM8.2 bilion kepada RM17.9 bilion.


Secara tahunan, akaun kewangan berubah arah kepada aliran keluar bersih RM22.5 bilion daripada aliran masuk bersih RM22.3 bilion. Penyumbang utama kepada perubahan tersebut adalah pelaburan lain yang merekodkan aliran keluar bersih RM60.7 bilion daripada aliran masuk bersih RM6.6 bilion pada 2011.


Pelaburan Langsung
Pelaburan langsung bertukar kepada aliran keluar bersih RM17.9 bilion daripada aliran masuk bersih RM1.9 bilion pada suku lepas, di mana:

  • DIA: aliran keluar bersih yang lebih tinggi RM23.8 bilion daripada RM7.7 bilion sebelumnya. Pelaburan ini kebanyakannya ditunjukkan oleh sektor minyak & gas. Negara utama pelaburan immediate adalah Kanada dan Australia.
  • FDI: aliran masuk bersih yang lebih rendah RM5.9 bilion daripada RM9.6 bilion pada S3 2012. Pelaburan ini terutamanya disalurkan ke dalam sektor pembuatan, minyak & gas, dan kewangan & insurans. Tiga sumber utama FDI adalah Jepun, Singapura, dan Belanda.

Tahun-ke-tahun, pelaburan langsung menunjukkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi RM17.9 bilion daripada RM8.2 bilion pada S4 2011. Ini terutamanya disebabkan oleh aliran keluar bersih yang lebih tinggi pada DIA berjumlah RM23.8 bilion daripada RM14.7 bilion tahun lalu.

Pada 2012, pelaburan langsung mengalami aliran keluar bersih yang lebih tinggi sebanyak RM11.8 bilion untuk mencatat RM21.9 bilion (2011: -RM10.1 bilion). Ini disebabkan oleh aliran masuk yang lebih rendah pada FDI sebanyak RM7.6 bilion untuk merekod RM29.1 bilion dan aliran keluar yang lebih tinggi pada DIA sebanyak RM4.3 bilion untuk merekod RM51.0 bilion.


Pelaburan Portfolio
Pelaburan portfolio merekodkan aliran masuk bersih yang lebih rendah RM11.3 bilion daripada RM27.6 bilion yang dicapai pada suku lepas. Tahun-ke-tahun, pelaburan portfolio beralih arah kepada aliran masuk bersih daripada aliran keluar bersih RM2.7 bilion pada S4 2011. Sementara itu, bagi tempoh Januari - Disember 2012, pelaburan portfolio merekodkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi RM59.2 bilion daripada RM25.8 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.


Pelaburan Lain
Pada S4 2012, pelaburan lain mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih rendah RM2.4 bilion daripada RM38.1 bilion yang dicatat pada suku sebelumnya. Ini terutamanya disebabkan oleh aliran keluar bersih yang lebih rendah pada pelaburan sektor swasta RM1.7 bilion (S3 2012: -RM38.0 bilion).


Tahun-ke-tahun, pelaburan lain berubah arah kepada aliran keluar bersih RM2.4 bilion daripada aliran masuk bersih RM11.0 bilion yang dicapai pada tempoh sama 2011. Ini terutamanya disebabkan oleh perubahan arah pelaburan sektor swasta kepada aliran keluar bersih RM1.7 bilion daripada aliran masuk bersih RM11.1 bilion pada S4 2011. Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga Disember 2012, pelaburan lain berubah arah kepada aliran keluar bersih RM60.7 bilion daripada aliran masuk bersih RM6.6 bilion pada 2011.


Aset Rizab
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia meningkat RM5.9 bilion pada S4 2012 berbanding penurunan sebanyak RM7.5 bilion pada S3 2012, mencatat RM427.2 bilion pada akhir Disember 2012.

 

Muat Turun:
Jadual 1: Malaysia - Imbangan Pembayaran Suku Tahunan (Bersih), 2010 - 2012
Jadual 2: Malaysia - Komponen Akaun Semasa, 2010 - 2012
Jadual 3: Malaysia - Komponen Akaun Modal & Kewangan Dan Aset Rizab, 2010 - 2012