| Keluaran Statistik Terkini | Muat Turun Percuma | Bercetak |
PRESTASI SUKU TAHUNAN IMBANGAN PEMBAYARAN JULAI - SEPTEMBER, 2012 (Kemas kini: 16/11/2012)
AKAUN SEMASA
Imbangan akaun semasa merekodkan lebihan yang lebih rendah RM9.5 bilion untuk tempoh Julai - September 2012, berbanding RM9.6 bilion pada suku sebelumnya. Lebihan yang lebih rendah ini dicerminkan oleh:
- Akaun barangan: lebihan yang lebih rendah RM25.5 bilion (S2 2012: RM29.4 bilion); dan
- Pindahan semasa: bayaran bersih melebar kepada RM4.7 bilion (S2 2012: -RM4.6 bilion).
Sementara itu, akaun pendapatan dan perkhidmatan merekodkan bayaran bersih yang lebih rendah masing-masing sebanyak RM7.9 bilion (S2 2012: -RM11.7 bilion) dan RM3.4 bilion (S2 2012: -RM3.6 bilion).
Tahun-ke-tahun, lebihan pada imbangan akaun semasa menurun sebanyak RM17.9 bilion untuk mencatat RM9.5 bilion daripada RM27.4 bilion pada S3 2011. Ini disebabkan oleh lebihan yang lebih rendah pada akaun barangan, berkurang RM12.2 bilion, dan aliran keluar bersih yang lebih tinggi pada kedua-dua akaun pendapatan dan perkhidmatan, masing-masing meningkat sebanyak RM4.0 bilion dan RM2.3 bilion. Sementara itu, pindahan semasa merekod bayaran bersih yang lebih rendah, berkurang RM0.5 bilion daripada -RM5.3 bilion pada S3 2011.
Pada tempoh Januari - September 2012, imbangan akaun semasa merekodkan RM37.2 bilion, berkurang sebanyak RM37.6 bilion daripada RM74.7 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama 2011. Ini disebabkan oleh:
- Akaun barangan: lebihan yang lebih rendah RM90.7 bilion (2011: RM111.2 bilion);
- Akaun perkhidmatan: bayaran bersih yang lebih tinggi RM10.7 bilion (2011: -RM4.3 bilion); dan
- Akaun pendapatan: bayaran bersih yang lebih tinggi RM28.2 bilion (2011: -RM16.6 bilion).
Akaun Barangan
Pada suku kajian, akaun barangan mencatatkan lebihan yang lebih rendah RM25.5 bilion berbanding RM29.4 bilion pada suku lepas. Ini disebabkan oleh penurunan eksport f.o.b sebanyak 1.8 peratus berbanding peningkatan pada import f.o.b sebanyak 0.5 peratus.
- Eksport f.o.b menurun kepada RM174.4 bilion berbanding RM177.7 bilion pada S2 2012. Ini terutamanya disebabkan oleh penurunan eksport bagi petroleum mentah, minyak sawit & hasil keluaran berasaskan minyak sawit, dan barangan getah. Tiga destinasi utama eksport adalah Singapura, Republik Rakyat China, dan Jepun.
- Import f.o.b meningkat sedikit kepada RM148.9 bilion (S2 2012: RM148.2 bilion). Pembahagian peratus import penggunaan-akhir bagi tiga kategori utama iaitu barang perantaraan (64.3 peratus), barang modal (16.5 peratus), dan barang penggunaan (8.0 peratus). Tiga sumber utama import ialah Republik Rakyat China, Singapura, dan Jepun.
Tahun-ke-tahun, lebihan pada akaun barangan berkurang sebanyak RM12.2 bilion kepada RM25.5 bilion daripada RM37.7 bilion yang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas. Ini disebabkan peningkatan pada import f.o.b sebanyak RM10.0 bilion kepada RM148.9 bilion (S3 2011: RM138.9 bilion) dan penurunan pada eksport f.o.b sebanyak RM2.3 bilion kepada RM174.4 bilion (S3 2011: RM176.7 bilion).
Secara kumulatif untuk tiga suku tahun, eksport f.o.b meningkat sebanyak RM10.6 bilion atau 2.1 peratus kepada RM526.1 bilion, manakala import f.o.b meningkat sebanyak 7.7 peratus atau RM31.1 bilion kepada RM435.3 bilion. Ini menyebabkan lebihan yang rendah pada akaun barangan RM90.7 bilion daripada RM111.2 bilion pada tempoh yang sama 2011.
Akaun Perkhidmatan
Pada S3 2012, eksport perkhidmatan kekal sama seperti suku sebelumnya untuk mencatat RM28.9 bilion. Ini terdiri daripada:
- pengangkutan: RM3.4 bilion (S2 2012: RM3.3 bilion);
- perjalanan: RM14.8 bilion (S2 2012: RM14.4 bilion); dan
- perkhidmatan lain: RM10.7 bilion (S2 2012: RM11.0 bilion), terutamanya disumbangkan oleh perkhidmatan perniagaan lain RM6.2 bilion, perkhidmatan komputer dan informasi RM1.5 bilion, dan perkhidmatan pembinaan RM1.0 bilion.
Sementara itu, import perkhidmatan merekodkan RM32.3 bilion, menurun RM0.1 bilion daripada RM32.4 bilion yang dicatatkan pada suku lepas. Komponen yang menyumbang kepada jumlah bayaran akaun perkhidmatan adalah:
- pengangkutan: RM10.2 bilion (S2 2012: RM10.4 bilion);
- perjalanan: RM9.1 bilion (S2 2012: RM9.0 bilion); dan
- perkhidmatan lain: RM12.8 bilion (S2 2012: RM12.8 bilion), terutamanya disumbangkan oleh perkhidmatan perniagaan lain RM6.2 bilion, perkhidmatan pembinaan RM1.6 bilion, dan kedua-dua perkhidmatan royalti & yuran lesen dan komputer & informasi masing-masing RM1.2 bilion.
Pada asas bersih, akaun perkhidmatan merekodkan bayaran bersih yang lebih rendah RM3.4 bilion daripada RM3.6 bilion pada suku lepas. Ini terutamanya disebabkan oleh bayaran bersih yang lebih rendah pada akaun pengangkutan sebanyak RM0.3 bilion dan terimaan bersih yang lebih tinggi pada akaun perjalanan sebanyak RM0.2 bilion.
Tahun-ke-tahun, eksport perkhidmatan meningkat sedikit 0.3 peratus kepada RM28.9 bilion daripada RM28.8 bilion pada S3 2011, sementara import perkhidmatan merekodkan bayaran yang lebih tinggi sebanyak 7.8 peratus kepada RM32.3 bilion daripada RM29.9 bilion setahun lalu. Ini mendorong kepada bayaran bersih yang lebih tinggi sebanyak RM2.3 bilion kepada -RM3.4 bilion daripada -RM1.1 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas. Ini terutamanya disebabkan oleh terimaan bersih yang lebih rendah pada akaun perjalanan sebanyak RM2.2 bilion.
Pada sembilan bulan pertama 2012, eksport perkhidmatan melebar kepada RM85.7 bilion, meningkat 5.7 peratus daripada RM81.1 bilion, sementara import merekod RM96.4 bilion (2011: RM85.3 bilion), peningkatan sebanyak 13.0 peratus. Pada asas bersih, akaun perkhidmatan menunjukkan bayaran bersih yang lebih tinggi RM10.7 bilion daripada RM4.3 bilion. Ini disebabkan oleh terimaan bersih yang lebih rendah pada akaun perjalanan sebanyak RM3.4 bilion dan bayaran bersih yang lebih tinggi pada kedua-dua akaun pengangkutan dan perkhidmatan lain, masing-masing sebanyak RM1.9 bilion dan RM1.2 bilion.
Akaun Pendapatan
Pada tempoh Julai - September 2012, terimaan pendapatan merekodkan RM11.4 bilion meningkat sebanyak RM2.5 bilion daripada RM9.0 bilion pada S2 2012. Pampasan pekerja kekal pada RM1.0 bilion dan pendapatan pelaburan mencapai RM10.4 bilion (S2 2012: RM8.0 bilion). Pendapatan pelaburan terdiri daripada:
- pelaburan langsung di luar negeri (DIA): terimaan yang lebih tinggi sebanyak RM3.8 bilion (S2 2012: RM3.5 bilion), terutamanya dijana daripada sektor kewangan & insurans, minyak & gas, dan maklumat & komunikasi;
- pelaburan portfolio: terimaan yang lebih tinggi sebanyak RM1.3 bilion (S2 2012: RM0.8 bilion); dan
- pelaburan lain: terimaan yang lebih tinggi sebanyak RM5.4 bilion (S2 2012: RM3.6 bilion).
Walau bagaimanapun, bayaran pendapatan (debit) merekodkan RM19.4 bilion, berkurang sebanyak RM1.3 bilion daripada RM20.7 bilion pada S2 2012. Daripada jumlah bayaran, pampasan pekerja merekod RM1.8 bilion (S2 2012: RM1.6 bilion) sementara pendapatan pelaburan mencatat RM17.6 bilion (S2 2012: RM19.0 bilion). Pendapatan pelaburan diperoleh daripada:
- Pelaburan langsung asing di Malaysia (FDI): bayaran yang lebih rendah sebanyak RM14.6 bilion (S2 2012: RM15.4 bilion), terutamanya dijana daripada sektor pembuatan, kewangan & insurans, dan minyak & gas;
- Pelaburan portfolio: bayaran yang lebih rendah sebanyak RM2.5 bilion (S2 2012: RM2.8 bilion); dan
- Pelaburan lain: bayaran yang lebih rendah sebanyak RM0.4 bilion (S2 2012: RM0.8 bilion).
Pada asas bersih, defisit pada akaun pendapatan berkurang kepada RM7.9 bilion daripada RM11.7 bilion sebelumnya. Ini terutamanya disebabkan oleh bayaran bersih yang lebih rendah pada pendapatan pelaburan berjumlah RM7.2 bilion (S2 2012: -RM11.1 bilion), sementara pampasan pekerja merekod bayaran bersih yang lebih tinggi sebanyak RM0.7 bilion (S2 2012: -RM0.6 bilion).
Tahun-ke-tahun, terimaan akaun pendapatan (kredit) berkurang sebanyak RM2.5 bilion kepada RM11.4 bilion daripada RM14.0 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas. Sementara itu, bayaran akaun pendapatan (debit) meningkat sebanyak RM1.4 bilion kepada RM19.4 bilion daripada RM17.9 bilion sebelumnya. Ini menyebabkan kepada bayaran bersih yang lebih tinggi sebanyak RM4.0 bilion kepada RM7.9 bilion daripada RM3.9 bilion.
Pada asas kumulatif, bagi tempoh Januari - September 2012, terimaan akaun pendapatan (kredit) menyusut sebanyak RM7.3 bilion kepada RM30.1 bilion (2011: RM37.4 bilion) manakala bayaran akaun pendapatan (debit) meningkat sebanyak RM4.3 bilion kepada RM58.3 bilion (2011: RM54.0 bilion). Ini menyebabkan bayaran bersih yang lebih tinggi sebanyak RM11.6 bilion kepada RM28.2 bilion (2011: -RM16.6 bilion).
Pindahan Semasa
Pada suku ketiga 2012, kedua-dua terimaan dan bayaran berkurang masing-masing merekod RM1.4 bilion (S2 2012: RM2.3 bilion) dan RM6.1 bilion (S2 2012: RM6.9 bilion). Pada asas bersih, akaun ini merekod bayaran bersih yang lebih tinggi RM4.7 bilion (S2 2012: -RM4.6 bilion).
Tahun-ke-tahun, bayaran bersih mengecil sebanyak RM0.5 bilion daripada RM5.3 bilion setahun yang lalu. Terimaan pindahan semasa merekod RM1.4 bilion (S3 2011: RM1.3 bilion), sementara bayaran mencatat RM6.1 bilion (S3 2011: RM6.5 bilion). Pada sembilan bulan pertama menunjukkan bayaran bersih pada pindahan semasa berkurang sebanyak 6.3 peratus kepada RM14.6 bilion daripada RM15.6 bilion yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas.
AKAUN MODAL
Pada S3 2012, aliran keluar bersih berkurang kepada RM42.0 juta daripada RM67.0 juta suku lepas. Ini disebabkan oleh aliran keluar yang lebih rendah pada kedua-dua pindahan modal dan aset bukan kewangan bukan pengeluaran masing-masing merekodkan RM24.0 juta (S2 2012: -RM34.0 juta) dan RM18.0 juta (S2 2012: -RM33.0 juta).
Tahun-ke-tahun, akaun modal merekod aliran keluar bersih yang lebih rendah sebanyak RM17.0 juta kepada RM42.0 juta daripada RM58.0 juta tahun lalu. Sementara itu, pada tempoh Januari - September 2012, akaun modal mengalami aliran keluar bersih yang lebih tinggi RM275.0 juta daripada RM139.0 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.
AKAUN KEWANGAN
Pada suku tahun semasa, akaun kewangan berubah arah kepada aliran keluar bersih RM8.7 bilion daripada aliran masuk bersih RM5.4 bilion sebelumnya. Ini disebabkan oleh perubahan haluan pada kedua-dua pelaburan portfolio daripada aliran keluar bersih RM5.0 bilion kepada aliran masuk bersih RM27.6 bilion dan pelaburan lain kepada aliran keluar bersih RM38.1 bilion daripada aliran masuk bersih RM5.9 bilion. Sebaliknya, pelaburan langsung merekodkan aliran masuk bersih yang lebih rendah RM1.9 bilion daripada RM3.5 bilion.
Tahun-ke-tahun, akaun kewangan mencatat aliran keluar bersih yang lebih rendah sebanyak RM13.8 bilion kepada RM8.7 bilion daripada RM22.5 bilion yang dicatat pada tempoh yang sama tahun lalu. Ini terutamanya disebabkan oleh perubahan haluan pada pelaburan portfolio kepada aliran masuk RM27.6 bilion daripada aliran keluar RM28.0 bilion.
Secara kumulatif bagi tiga suku tahun, akaun kewangan berubah arah kepada aliran keluar bersih RM13.6 bilion daripada aliran masuk bersih RM22.5 bilion. Penyumbang utama kepada perubahan tersebut adalah aliran keluar bersih yang lebih tinggi pada pelaburan lain berjumlah RM58.3 bilion (2011: -RM4.4 bilion).
Pelaburan Langsung
Pelaburan langsung mencatat aliran masuk bersih yang lebih rendah RM1.9 bilion daripada RM3.5 bilion pada suku lepas. Kedua-dua DIA dan FDI merekodkan pelaburan yang lebih tinggi, di mana:
- DIA: aliran keluar bersih yang lebih tinggi RM7.7 bilion daripada RM2.5 bilion sebelumnya. Pelaburan ini kebanyakannya ditunjukkan oleh sektor kewangan & insurans, perdagangan borong & runcit, hartanah, dan minyak & gas. Tiga negara utama pelaburan immediate adalah Singapura, United Kingdom, dan Thailand.
- FDI: aliran masuk bersih yang lebih tinggi RM9.6 bilion daripada RM6.1 bilion pada S2 2012. Pelaburan ini terutamanya disalurkan ke dalam sektor pembuatan dan minyak & gas. Tiga sumber utama FDI adalah Singapura, Amerika Syarikat, dan Australia.
Tahun-ke-tahun, pelaburan langsung menunjukkan perubahan kepada aliran masuk bersih RM1.9 bilion daripada aliran keluar bersih RM3.9 bilion. Ini terutamanya disebabkan oleh aliran keluar bersih yang lebih rendah pada DIA berjumlah RM7.7 bilion daripada RM13.0 bilion tahun lalu.
Pada sembilan bulan pertama 2012, pelaburan langsung mengalami aliran keluar bersih yang lebih tinggi sebanyak RM2.2 bilion kepada RM4.0 bilion (2011: -RM1.8 bilion). Kedua-dua DIA dan FDI merekod pelaburan yang lebih rendah masing-masing sebanyak RM27.1 bilion (2011: -RM32.0 bilion) dan RM23.2 bilion (2011: RM30.1 bilion).
Pelaburan Portfolio
Pelaburan portfolio merekod aliran masuk bersih RM27.6 bilion, berubah arah daripada aliran keluar bersih RM5.0 bilion sebelumnya. Begitu juga, tahun-ke-tahun pelaburan portfolio bertukar arah kepada aliran masuk bersih daripada aliran keluar bersih RM28.0 bilion pada S3 2011.
Sementara itu, bagi tempoh Januari - September 2012, pelaburan portfolio merekod aliran masuk bersih yang lebih tinggi sebanyak RM47.9 bilion daripada RM28.4 bilion yang dicatat pada tempoh yang sama tahun lalu.
Pelaburan Lain
Pada S3 2012, pelaburan lain berubah kepada aliran keluar RM38.1 bilion daripada aliran masuk bersih RM5.9 bilion yang dicatatkan suku lalu. Ini terutamanya disebabkan oleh perubahan haluan pada pelaburan sektor swasta kepada aliran keluar bersih RM38.0 bilion daripada aliran masuk bersih RM6.1 bilion.
Tahun-ke-tahun, pelaburan lain berubah arah kepada aliran keluar bersih RM38.1 bilion daripada aliran masuk bersih RM9.7 bilion yang dicapai pada tempoh sama 2011. Keadaan sedemikian hanya disebabkan oleh perubahan haluan pada pelaburan sektor swasta kepada aliran keluar bersih RM38.0 bilion daripada aliran masuk bersih RM10.2 bilion pada S3 2011. Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga September 2012, pelaburan lain merekod aliran keluar yang ketara sebanyak RM58.3 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2011.
Aset Rizab
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berkurang sebanyak RM7.5 bilion pada S3 2012 berbanding peningkatan RM12.7 bilion pada S2 2012, mencatat RM421.3 bilion pada akhir September 2012.
Muat Turun: | Jadual 1: Malaysia - Imbangan Pembayaran Suku Tahunan (Bersih), 2010 - 2012 | ||
| Jadual 2: Malaysia - Komponen Akaun Semasa, 2010 - 2012 | |||
| Jadual 3: Malaysia - Komponen Akaun Modal & Kewangan Dan Aset Rizab, 2010 - 2012 |


