Perutusan daripada Ketua Perangkawan Malaysia
 | |
Assalamualaikum wbt. Salam Sejahtera. Salam 1Malaysia. Selamat datang ke laman web Jabatan Perangkaan Malaysia. Peningkatan terhadap keperluan statistik kesan daripada perubahan pantas struktur ekonomi dalam dan luar negara serta perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah mewujudkan kelompok komuniti pengguna yang sentiasa menuntut penjanaan maklumat yang berintegriti, bertepatan masa dan relevan serta capaian dalam bentuk real time. Keperluan komuniti pengguna yang dinamik dan kompleks memberi cabaran kepada Jabatan untuk memastikan fungsi memungut, mentafsir dan menyebar perangkaan dilaksanakan dengan lebih efisien. Visi untuk menjadi sebuah organisasi statistik yang terbilang di dunia menjelang 2020 menjadi platform kepada Jabatan untuk mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan perangkaan setanding dengan organisasi statistik negara maju. Justeru itu, melalui Pelan Strategik 2010-2014, Jabatan merangka pelbagai program untuk mempertingkatkan kecekapan pengurusan dan penggunaan teknologi maklumat agar aktiviti pengumpulan, pentafsiran dan penyebaran statistik kepada pengguna data sama ada pihak Kerajaan, swasta atau pun dari luar negara dilaksanakan dengan efektif. Jabatan juga sentiasa menerapkan budaya inovasi dan kreativiti di kalangan anggota sebagai inisiatif untuk memenuhi keperluan pengguna yang pelbagai dalam persekitaran global yang dinamik dan mencabar. Dengan aspirasi Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Jabatan berusaha meningkatkan kebolehcapaian pengguna kepada pelbagai data melalui laman web ini dengan penyediaan kemudahan muat turun percuma. Bagi memenuhi keperluan capaian data yang lebih interaktif Jabatan kini sedang membangunkan portal yang mesra pengguna. Statistik yang dipaparkan dikemas kini secara berterusan seiring dengan ketersediaan maklumat terkini yang diperoleh. Laman web ini bukan sahaja menyediakan informasi berkaitan statistik yang dijana oleh Jabatan malah pelbagai pautan yang berguna disediakan sebagai rujukan kepada pengunjung. Terima kasih kerana melawat Laman Web Jabatan Perangkaan Malaysia. Maklum balas ke arah penambahbaikan daripada aspek pengisian dan penyampaian laman web ini amat dialu-alukan. “Penjana Statistik Negara”
Dr. Haji Abdul Rahman Hasan Ketua Perangkawan Malaysia abrahmanh@stats.gov.my | |