| Keluaran Statistik Terkini |
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Mengikut Negeri, 2008 (Kemas kini: 17/05/2010)
PENEMUAN UTAMA
KELUARAN DALAM NEGERI KASAR (KDNK) MENGIKUT NEGERI, 2008
1. Pada tahun 2008, Selangor menyumbang peratusan tertinggi kepada KDNK nasional dengan 22.1 peratus, diikuti oleh WP Kuala Lumpur (13.9 peratus), Johor (9.5 peratus), Sarawak (9.4 peratus) dan Pulau Pinang (8.8 peratus). Secara keseluruhannya, lima negeri yang menyumbang peratusan tertinggi kepada KDNK nasional kekal tidak berubah seperti yang ditunjukkan dalam Carta 1.
Carta 1: Pembahagian Peratus mengikut Negeri pada Harga Malar 2000 Tahun 2008

2. Pertumbuhan tertinggi KDNK pada tahun 2008 direkodkan oleh Selangor iaitu 8.3 peratus dan ia dirangsang oleh pertumbuhan dua digit sektor pertanian dan pembuatan di mana pertumbuhan sektor pembuatan dipacu oleh industri pembuatan kenderaan bermotor dan kelengkapan pengangkutan. Sabah merekodkan pertumbuhan kedua tertinggi sebanyak 7.8 peratus disokong oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah yang menggalakkan (lihat Carta 2).
Carta 2: Pertumbuhan KDNK mengikut Negeri pada Harga Malar 2000 Tahun 2008

3. Prestasi ekonomi WP Kuala Lumpur mengecil kepada 5.9 peratus berbanding pertumbuhan 9.3 peratus pada tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, Pahang merekodkan pertumbuhan kukuh 6.3 peratus pada tahun 2008 berbanding 2.7 peratus pada tahun sebelumnya. Ini berikutan peningkatan dalam sektor pertanian dan pembuatan yang masing-masing merekodkan kadar pertumbuhan 4.2 peratus dan 4.3 peratus. Perak dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan kadar pertumbuhan 5.9 peratus dan 4.8 peratus. Negeri-negeri ini mencatatkan pertumbuhan melebihi paras KDNK nasional (4.6 peratus).
4. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang utama kepada KDNK WP Kuala Lumpur (88.9 peratus), Kelantan (73.2 peratus), WP Labuan (74.3 peratus), Perak (64.2 peratus), Selangor (56.1 peratus) dan Perlis (55.1 peratus). Bagi negeri-negeri tersebut, sumbangan sektor perkhidmatan adalah lebih tinggi dari peringkat nasional (55.0 peratus).
5. Sumbangan sektor pembuatan adalah lebih dominan di Pulau Pinang dengan 53.6 peratus, Negeri Sembilan (50.9 peratus) dan Melaka (47.9 peratus) walaupun peratus sumbangan sektor ini mengecil berbanding tahun sebelumnya. Struktur ekonomi negeri-negeri ini turut diterajui sektor perkhidmatan (masing-masing sebanyak 42.2 peratus, 40.3 peratus dan 44.7 peratus) yang mana kedua-dua sektor menyumbang lebih 90.0 peratus dari keseluruhan KDNK. Senario ini juga dapat dilihat kepada WP Kuala Lumpur (95.7 peratus), WP Labuan (94.4 peratus) dan Selangor (90.4 peratus).
6. Jika dilihat dari sudut sektor pula, Selangor dan WP Kuala Lumpur terus menjadi pendorong utama kepada sektor perkhidmatan di Malaysia dengan jumlah sumbangan sebanyak 46.8 peratus. Pada tahun 2008, Selangor mencatatkan nilai ditambah tertinggi sebanyak RM 65.5 bilion yang sebelum ini diterajui oleh WP Kuala Lumpur. Penurunan di WP Kuala Lumpur ini antaranya disebabkan oleh penyusutan dalam pasaran dagangan saham yang terus memberikan kesan yang signifikan kepada aktiviti broker saham. Oleh itu, ia memperlahankan pertumbuhan perkhidmatan perantaraan di negeri ini.
7. Johor dan Pulau Pinang yang masing-masing menyumbang 8.9 peratus dan 7.1 peratus kepada jumlah keseluruhan sektor perkhidmatan di Malaysia mencatatkan pertumbuhan sederhana di dalam sektor tersebut berbanding dengan tahun sebelumnya. Selain itu, sektor perkhidmatan di Terengganu dan Perlis juga mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan pada tahun 2008.
8. Selangor merupakan penyumbang tertinggi bagi sektor pembuatan, diikuti oleh Pulau Pinang dan Johor. Sumbangan bagi kedua-dua negeri ini adalah 56.5 peratus dari keseluruhan nilai ditambah. Bagi negeri Selangor, pertumbuhan sektor pembuatan kukuh kepada 4.8 peratus berbanding 1.4 peratus pada tahun 2007. Ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan di dalam sub sektor kenderaan bermotor dan kelengkapan pengangkutan. Sementara itu, sektor pembuatan di Johor menguncup kepada 4.6 peratus dan Kedah 11.1 peratus. Pertumbuhan negatif di kedua-dua negeri ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kejatuhan sub sektor elektrikal dan elektronik.
9. Sektor pertanian didominasi terutama oleh Sabah dan Sarawak dengan sumbangan 39.4 peratus dari nilai KDNK nasional tahun 2008. Sabah mencatatkan pertumbuhan negatif 1.8 peratus disebabkan oleh kejatuhan sub sektor perhutanan dan pembalakan. Johor dan Pahang yang merupakan penyumbang utama di dalam sektor pertanian, masing-masing meningkat 13.6 peratus dan 4.2 peratus pada tahun 2008 berbanding pertumbuhan negatif pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan di dalam pengeluaran dan harga kelapa sawit yang tinggi. Walau bagaimanapun, sektor pertanian di Perlis mencatatkan kejatuhan yang ketara disebabkan oleh pertumbuhan negatif pada perikanan laut.
10. Bagi sektor pembinaan, prestasi Selangor (1.3 peratus), WP Kuala Lumpur (5.5 peratus) dan Johor (-1.6 peratus) menggambarkan keseluruhan senario sektor pembinaan di peringkat nasional (2.1 peratus). Ketiga-tiga negeri ini mendominasi sektor ini dengan Selangor menyumbang sebanyak 37.5 peratus, WP Kuala Lumpur 16.0 peratus dan Johor 9.9 peratus.
Muat Turun | Jadual 1 : | ||
| Jadual 2 : | KDNK Per Kapita Mengikut Negeri pada Harga Semasa, Kadar Pertumbuhan Tahunan dan Peratus Sumbangan kepada KDNK Malaysia 2008 | ||

