Skip to content


http://www.statistics.gov.my/portal/

Pilihan Bahasa

Increase font size Decrease font size Default font size default color orange color green color
Untitled Document
Penjana Statistik Negara                                              Maklumat Berkualiti, Budaya Kami
Merujuk kepada semua pihak yang memerlukan maklumat statistikMerujuk kepada isi rumah, pertubuhan atau enterpris yang terpilih dalam penyiasatan atau banci yang dijalankan oleh Jabatan dan dikehendaki untuk memberi maklumat berdasarkan kepada soal selidik yang digunakanUntuk warga Jabatan Perangkaan sahaja
Untuk bantuan cara untuk menggunakan laman web
Selasa , 7 September , 2010
/ 28 Ramadhan 1431 H
Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia Mei 2010 (Kemaskini:09/07/2010) Cetak E-mail
Jumaat, 09 Julai 2010 12:01

I. MEI 2010

1. Import dan eksport Malaysia pada bulan Mei 2010 terus mencatatkan pertumbuhan dua digit, berasaskan tahun ke tahun. Eksport melonjak sebanyak 21.9% kepada RM52.3 bilion, manakala import meningkat sebanyak 34.2% kepada RM44.2 bilion. Berbanding dengan bulan April 2010, eksport dan import masing-masing mencatatkan peningkatan kecil sebanyak 0.5% dan 3.3% daripada RM52.0 bilion dan RM42.8 bilion.

2. Berdasarkan klasifikasi produk, peningkatan eksport sebanyak 21.9% (RM9.4 bilion) disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E); petroleum, keluaran petroleum & bahan yang berkaitan; gas, asli dan buatan; alat dan radas saintifik, profesional dan kawalan dan getah mentah (termasuk sintetik dan reclaimed) yang telah menyumbangkan 73.4% atau RM6.9 bilion daripada jumlah peningkatan, berasaskan tahun ke tahun.

3. Peningkatan import sebanyak 34.2% (RM11.2 bilion) disumbangkan oleh kenaikan import barangan E&E; petroleum, keluaran petroleum & bahan yang berkaitan; logam bukan besi; besi dan keluli; kelengkapan pengangkutan yang lain dan bijih logam dan serpihan logam yang telah menyumbangkan 70.5% atau RM7.9 bilion daripada jumlah peningkatan, berbanding bulan yang sama tahun 2009.

4. Pertumbuhan eksport Malaysia disumbangkan oleh kenaikan eksport ke Jepun, Republik Rakyat China, Australia, Thailand, Republik Singapura, Kesatuan Eropah dan Republik Korea yang telah menyumbangkan RM6.9 bilion (73.4%) daripada jumlah kenaikan, berbanding Mei 2009.

5. Jumlah perdagangan pada bulan Mei 2010 bernilai RM96.4 bilion, merekodkan peningkatan positif sebanyak 27.2% berbanding tahun lalu. Berasaskan bulan ke bulan, jumlah perdagangan turut meningkat sebanyak 1.8% atau RM1.7 bilion.

6. Lebihan dagangan bernilai RM8.1 bilion telah direkodkan pada bulan Mei 2010. Ini merupakan bulan ke-151 lebihan dagangan dicatatkan sejak November 1997. Walau bagaimanapun, lebihan dagangan ini menunjukkan penurunan sebanyak 18.7% berbanding dengan RM10.0 bilion yang telah direkodkan pada bulan yang sama tahun 2009. Berbanding dengan April 2010, ia turut menunjukkan penurunan sebanyak 12.1%.

7. Barangan E&E terus kekal sebagai penyumbang terbesar pendapatan eksport, bernilai RM20.1 bilion atau 38.4% daripada jumlah eksport. Eksport barangan E&E meningkat sebanyak RM2.3 bilion (12.8%), berbanding bulan yang sama tahun lalu. Walau bagaimanapun, berbanding dengan bulan lepas, ia mencatatkan penurunan sebanyak RM588.4 juta (-2.8%).

8. Minyak kelapa sawit & hasil keluaran kelapa sawit, kekal sebagai sumber pendapatan eksport kedua terbesar, yang menyumbangkan RM4.7 bilion atau 8.9% kepada jumlah eksport pada bulan Mei 2010. Eksport minyak kelapa sawit, iaitu komoditi utama daripada kumpulan produk ini meningkat sebanyak 15.9% kepada RM3.4 bilion, berasaskan tahun ke tahun. Ini disebabkan oleh kenaikan dalam volum eksport dan purata nilai seunit yang masing-masing menokok sebanyak 13.2% kepada 1.3 juta tan dan 2.3% kepada RM2,585 per tan. Berasaskan bulan ke bulan, eksport minyak kelapa sawit meningkat sedikit sebanyak 1.3% disebabkan oleh peningkatan kecil dalam purata nilai seunit (+0.8%) dan volum eksport (+ 0.5%).

9. Gas asli cecair (LNG) yang merupakan sumber pendapatan eksport ketiga terbesar, mewakili 6.24% atau RM3.3 bilion daripada jumlah eksport pada bulan Mei 2010. Jumlah eksport LNG melonjak sebanyak 92.0% daripada RM1.7 bilion, berasaskan tahun ke tahun. Ini disebabkan oleh peningkatan purata nilai seunit sebanyak 55.2% kepada RM1,716 per tan, dan volum eksport sebanyak 23.7% kepada 1.9 juta tan. Berasaskan bulan ke bulan, ia berkembang sebanyak 26.2% disebabkan oleh peningkatan volum eksport sebanyak 28.5% daripada 1.5 juta tan walaupun purata nilai seunit turun sebanyak 1.8% daripada RM1,747 per tan.

10. Petroleum mentah, komoditi eksport keempat terbesar, bernilai RM3.2 bilion atau 6.17% daripada jumlah eksport, meningkat sebanyak 72.8%, berasaskan tahun ke tahun. Pertumbuhan ini disebabkan oleh peningkatan purata nilai seunit dan volum eksport sebanyak 52.0% kepada RM1,917 per tan dan 13.7% kepada 1.7 juta tan. Berbanding April 2010, ia menokok sebanyak 19.4% berikutan pengembangan dalam volum eksport sebanyak 19.6% manakala purata nilai seunit turun sebanyak 0.2%.

11. Keluaran petroleum, komoditi eksport kelima terbesar yang bernilai RM2.0 bilion atau 3.9% kepada jumlah eksport, meningkat sebanyak 51.6% berasaskan tahun ke tahun, dan merekodkan pertumbuhan sebanyak 23.5%, berasaskan bulan ke bulan.

12. Kayu & hasil keluaran kayu adalah eksport keenam terbesar berjumlah RM1.6 bilion atau 3.1% daripada jumlah eksport. Nilai eksport produk ini bertambah sebanyak 2.5% daripada RM1.6 bilion berbanding dengan bulan rujukan yang sama tahun 2009. Walau bagaimanapun, berbanding dengan bulan lalu, ia merekodkan penyusutan sebanyak 9.7% daripada RM1.8 bilion.

13. Import bagi barang pengantara yang merupakan 69.6% daripada jumlah import, melonjak sebanyak 35.8% kepada RM30.7 bilion, berasaskan tahun ke tahun. Berbanding bulan lalu, ia bertambah sebanyak 5.0% daripada RM29.3 bilion.

 

 

II. JANUARI - MEI 2010

A. PERDAGANGAN

14. Bagi tempoh Januari - Mei 2010, jumlah eksport dan import meningkat sebanyak 28.0% kepada RM263.0 bilion dan 33.1% kepada RM206.7 bilion berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu. Hasilnya, imbangan perdagangan luar Malaysia mencatatkan lebihan sebanyak RM56.3 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM6.2 bilion (12.4%) berbanding RM50.1 bilion bagi tempoh Januari - Mei 2009. Jumlah perdagangan Malaysia bernilai RM469.7 bilion, berkembang sebanyak 30.2% berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2009.

B. EKSPORT

15. Barangan E&E, yang menyumbangkan 39.0% (RM102.5 bilion) kepada jumlah eksport bagi lima bulan pertama 2010, kekal sebagai eksport Malaysia yang terbesar. Eksport daripada kumpulan produk ini melonjak sebanyak RM22.4 bilion atau 28.0% berbanding tahun lalu. Komponen utama iaitu barangan litar bersepadu elektronik yang menyumbangkan RM28.2 bilion atau 27.5% daripada jumlah eksport barangan E&E, turut mencatatkan kenaikan sebanyak 18.1% berbanding tahun lepas.

16. Minyak kelapa sawit & hasil keluaran kelapa sawit, kekal sebagai sumber pendapatan eksport kedua terbesar dengan nilai gabungan berjumlah RM24.4 bilion atau 9.3% daripada jumlah eksport. Komoditi utama daripada kumpulan produk ini iaitu minyak kelapa sawit meningkat sebanyak 32.0% kepada RM18.0 bilion. Pertumbuhan ini disebabkan oleh kenaikan purata nilai seunit dan volum eksport, yang masing-masing meningkat sebanyak 21.9% kepada RM2,564 per tan dan 8.2% kepada 7.0 juta tan.

17. LNG, mewakili 6.0% daripada jumlah eksport, merupakan eksport ketiga terbesar. Jumlah eksport LNG meningkat sebanyak 4.0% kepada RM15.9 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Ini disebabkan oleh peningkatan volum eksport sebanyak 3.6% kepada 9.8 juta tan dan purata nilai seunit sebanyak 0.4% kepada RM1,624 per tan.

18. Petroleum mentah, komoditi keempat terbesar mewakili 5.6% daripada jumlah eksport, melonjak sebanyak RM6.3 bilion atau 74.8% kepada RM14.8 bilion bagi tempoh lima bulan pertama 2010. Peningkatan purata nilai seunit sebanyak 59.1% kepada RM1,908 per tan dan volum eksport sebanyak 9.9% kepada 7.8 juta tan telah menyumbangkan kepada kenaikan ini.

19. Keluaran petroleum yang merupakan komoditi eksport kelima terbesar bernilai RM8.8 bilion atau 3.4% daripada jumlah eksport, meningkat sebanyak 36.1% daripada RM6.5 bilion bagi tempoh Januari - Mei 2010.

20. Kayu & hasil keluaran kayu, eksport keenam terbesar bernilai RM8.5 bilion atau 3.2% daripada jumlah eksport, bertambah sebanyak RM1.3 bilion berbanding tempoh rujukan yang sama tahun lalu.

 

C. IMPORT

21. Nilai bagi produk import utama adalah seperti di bawah:-

a. mesin dan alat kelengkapan pengangkutan (RM102.8 bilion atau 49.7% daripada jumlah import);

b. barang-barang dan alat-alat keluaran kilang (RM37.8 bilion atau 18.3% daripada jumlah import);

c. bahan kimia (RM19.9 bilion atau 9.6% daripada jumlah import);

d. bahan api mineral, pelincir, dsb., (RM19.0 bilion atau 9.2% daripada jumlah import); dan

e. makanan (RM12.0 bilion atau 5.8% daripada jumlah import).

22. Komposisi import mengikut penggunaan-akhir bagi tiga kategori import terbesar adalah seperti berikut:-

a. barang pengantara
RM141.5 bilion (68.5% daripada jumlah import); komponen utama ialah alat ganti & aksesori barang modal (kecuali alat kelengkapan pengangkutan) bernilai RM62.6 bilion atau 44.2% daripada jumlah barang pengantara;
b. barang modal
RM28.8 bilion (13.9% daripada jumlah import); dan
c. barang penggunaan
RM13.9 bilion (6.7% daripada jumlah import).


23. Apabila dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun 2009, kumpulan barangan berkenaan telah mencatatkan perubahan nilai seperti yang ditunjukkan di bawah:-

a. barang pengantara
RM36.8 bilion (35.1%);
b. barang modal
RM3.8 bilion (15.1%); dan
c. barang penggunaan
RM1.9 bilion (15.7%).


D. ARAH HALA PERDAGANGAN

24. Sepuluh destinasi eksport utama Malaysia adalah Republik Singapura, Republik Rakyat China, Kesatuan Eropah, Jepun, Amerika Syarikat, Thailand, Hong Kong, Republik Korea, Australia dan India. Negara-negara ini menyumbang sebanyak RM206.1 bilion atau 78.3% daripada jumlah eksport Malaysia bagi tempoh lima bulan pertama 2010.

25. Sepuluh sumber import utama Malaysia ialah Republik Rakyat China, Jepun, Republik Singapura, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Thailand, Republik Indonesia, Republik Korea, Taiwan dan Hong Kong. Import dari kesemua negara tersebut bernilai RM171.4 bilion atau 82.9% daripada jumlah import Malaysia.

26. Sepuluh rakan dagangan utama Malaysia ialah Republik Rakyat China, Republik Singapura, Jepun, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Thailand, Republik Korea, Republik Indonesia, Hong Kong dan Taiwan. Negara-negara ini secara keseluruhannya menyumbang 79.8% (RM374.8 bilion) kepada jumlah perdagangan Malaysia.

27. Eksport ke Asia Timur Laut bernilai RM91.8 bilion atau 34.9% daripada jumlah eksport bagi tempoh Januari - Mei 2010, berkembang sebanyak 34.5% daripada RM68.3 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Peningkatan sebanyak 34.5% atau RM23.6 bilion ini disumbangkan oleh kenaikan eksport ke Republik Rakyat China (RM11.2 bilion), Jepun (RM5.1 bilion) dan Hong Kong (RM3.2 bilion).

28. Eksport Malaysia ke ASEAN bernilai RM68.7 bilion (26.1%) direkodkan bagi tempoh lima bulan pertama 2010. Ia mencatatkan peningkatan sebanyak 32.0% daripada RM52.1 bilion, berasaskan tahun ke tahun. Kenaikan sebanyak RM16.6 bilion (32.0%) ini disebabkan oleh eksport yang tinggi ke Republik Singapura (RM6.5 bilion), Thailand (RM4.9 bilion) dan Viet Nam (RM2.1 bilion).

29. Eksport ke Kesatuan Eropah berjumlah RM27.9 bilion (10.6%) daripada jumlah eksport bagi tempoh Januari - Mei 2010. Ia meningkat sebanyak 25.8% daripada RM22.2 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2009. Bagi kawasan ini, Belanda dan Republik Persekutuan Jerman telah mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak RM2.2 bilion dan RM1.7 bilion.

30. Eksport ke Amerika Utara bernilai RM26.6 bilion atau 10.1% daripada jumlah eksport, meningkat sebanyak 9.3% atau RM2.3 bilion bagi tempoh lima bulan pertama 2010. Pertumbuhan ini disumbangkan oleh eksport yang tinggi ke Amerika Syarikat (RM1.9 bilion) dan Kanada (RM345.8 juta).

 

Untuk maklumat penerbitan, sila klik di sini

Muat Turun Percuma


Nota: @ Data bulan Mei 2010 ini tidak disahkan sepenuhnya; data yang disahkan akan dikemaskini dalam penerbitan Jun 2010.