| 1. | Apakah definisi untuk import? Sesuatu barang dianggap sebagai import apabila ianya dibawa masuk ke dalam negara, sama ada terus ataupun disimpan di gudang gudang yang dikawal tanpa mengira sama ada barang tersebut adalah untuk kegunaan sendiri, diproses, digunakan dalam perkilangan ataupun untuk dieksport semula ke negara lain. Ia juga diistilahkan sebagai `import umum'. |
| 2. | Apakah definisi untuk eksport? Sesuatu barang (keluaran atau buatan tempatan atau diimport untuk dieksport semula) dianggap sebagai eksport apabila ianya dibawa keluar dari negara. Ia juga diistilahkan sebagai `eksport umum'. |
| 3. | Apakah definisi untuk eksport semula? Sesuatu barang dianggap sebagai eksport semula apabila ianya dibawa keluar dari negara dalam keadaan seperti mana ianya diimport tanpa mengalami sebarang perubahan rupa. Proses membungkus semula, menyisih atau menggred tidak dikira sebagai satu proses perubahan rupa. |
| 4. | Apakah penilaian untuk import? Import dinilaikan mengikut c.i.f. (cost, insurance and freight kos, insuran dan tambang), iaitu, nilai barangan di pasaran di sempadan perangkaan/kastam negara pengimport, termasuk semua perbelanjaan insuran dan tambang semasa dalam perjalanan tetapi kos pemunggahan dari alat pengangkutan tidak diambil kira kecuali kos tersebut ditanggung sendiri oleh pengangkut. |
| 5. | Apakah penilaian untuk eksport? Eksport dinilaikan mengikut f.o.b. (free on board), iaitu, nilai barangan di pasaran di sempadan perangkaan/kastam negara pengeksport, termasuk semua perbelanjaan pengangkutan ke sempadan tersebut, duti eksport dan duti lain yang kena bayar serta kos untuk memunggah barang ke atas alat pengangkutan kecuali kos terakhir itu ditanggung sendiri oleh pengangkut. |
| 6. | Apakah imbangan perdagangan? Imbangan perdagangan ialah perbezaan antara nilai eksport dan import. Apabila eksport melebihi import lebihan direkodkan manakala defisit pula dicatatkan apabila import melebihi eksport. |
| 7. | Apakah imbangan pembayaran? Imbangan pembayaran meliputi semua transaksi ekonomi diantara residen Malaysia dan bukan residen ( residen negara lain) dalam dua akaun iaitu akaun semasa dan akaun modal & kewangan. Akaun semasa meliputi transaksi dalam barangan, perkhidmatan, pendapatan dan pindahan semasa, manakala akaun kewangan merekodkan perubahan dalam aset kewangan dan liabiliti asing negara ini. |
| 8. | Di mana boleh saya peroleh data terkini imbangan pembayaran? Laporan Imbangan Pembayaran Suku Tahunan menyediakan anggaran suku tahunan imbangan pembayaran dan komponen-komponennya yang boleh didapati di laman web Jabatan Perangkaan Malaysia dan dimuat turun secara percuma. |
| 9. | Siapakah yang dianggap sebagai residen dan bukan residen? Residen ialah individu, syarikat atau organisasi lain yang lazimnya terletak di Malaysia untuk jangka masa sekurang-kurangnya satu tahun. Cawangan dan/atau subsidiari syarikat asing yang beroperasi di Malaysia dianggap sebagai residen. Bukan residen ialah individu, syarikat atau organisasi lain yang lazimnya terletak di negara selain Malaysia. Cawangan dan/atau subsidiari syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negeri dianggap sebagai bukan residen. |
| 10. | Apakah perbezaan diantara data aliran transaksi dan data kedudukan pelaburan? Data aliran transaksi merujuk kepada transaksi ekonomi dengan negara lain dalam satu jangkamasa (iaitu suku tahunan). Data kedudukan pelaburan adalah berorientasikan ukuran stok yang menyediakan penyata imbangan lembaran (aset kewangan dan liabiliti) ekonomi Malaysia dengan negara lain pada satu titik masa (biasanya pada akhir tahun). |
| 11. | Apakah Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung di luar negeri (DIA)? FDI merujuk kepada pelaburan dalam bentuk instrumen kewangan iaitu modal ekuiti, perolehan dilabur semula dan modal lain (pinjaman antara syarikat, kredit perdagangan, pendahuluan dll) oleh pelabur langsung asing di dalam enterpris pelabur langsung mereka (subsidiary, cawangan atau syarikat bersekutu) di Malaysia. Pelabur langsung ialah entiti asing (individu atau syarikat) yang memiliki secara langsung atau tidak langsung, sekurang-kurangnya 10 peratus ekuiti modal (dalam bentuk saham biasa atau kuasa mengundi) bagi enterpris di Malaysia.
Sebaliknya, DIA merujuk kepada pelaburan (iaitu modal ekuiti, perolehan dilabur semula dan modal lain) yang dilakukan oleh syarikat Malaysia (pelabur langsung) di dalam affiliate mereka (subsidiari, cawangan atau syarikat bersekutu) di luar negeri dimana mereka memiliki sekurang-kurangnya 10 peratus modal ekuiti (saham biasa atau kuasa mengundi). |
| 12. | Di mana boleh saya peroleh statistik FDI dan DIA? Statistik FDI dan DIA bersih boleh didapati di dalam Laporan Imbangan Pembayaran Suku Tahunan, yang boleh dimuat turun daripada Laman Web Jabatan Perangkaan Malaysia. Statistik terperinci FDI & DIA mengikut negara dan sektor boleh diperoleh di dalam Statistik Buletin Bulanan Bank Negara Malaysia, yang boleh didapati di laman web Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my). Sumber datanya adalah dari Jabatan Perangkaan Malaysia dan BNM. |