| Keluaran Statistik Terkini |
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Mengikut Negeri, 2005–2006 (Kemas kini: 09/11/2009)
LATAR BELAKANG
1. Data Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut negeri telah disusun dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan juga mendapat nasihat pakar dari Asian Development Bank (ADB). Ianya telah disusun menggunakan kerangka Sistem Akaun Negara yang diperakukan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
2. Pada masa ini, Jabatan Perangkaan (JP) telah memuktamadkan KDNK mengikut negeri bagi tahun 2005 dan 2006. Manakala KDNK bagi tahun 2007 dijangka dikeluarkan pada Disember 2009 dan KDNK bagi tahun 2008 pada bulan Mac 2010.
PENEMUAN UTAMA KDNK MENGIKUT NEGERI, 2006
1. Negeri Pulau Pinang mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi, iaitu sebanyak 9.9% pada tahun 2006, diikuti oleh Negeri Sembilan (8.9%), WP Kuala Lumpur (8.9%), Melaka (8.4%), Kedah (7.5%), Pahang (6.8%), Terengganu (6.7%) dan Perak (6.6%).
2. Pada tahun 2006, Negeri Selangor telah menyumbang sebanyak 21.2% kepada nilai KDNK nasional, diikuti oleh WP Kuala Lumpur (13.4%), Johor (9.8%), Sarawak (9.6%) dan Pulau Pinang (8.7%). Kesemua negeri ini telah menyumbang sebanyak 62.7% daripada jumlah KDNK nasional.
3. Dari sudut sektoral atau aktiviti ekonomi, sektor pertanian diterajui oleh Sabah dan Sarawak, masing-masing menyumbang sebanyak 20.5% dan 19.8%, diikuti oleh Johor (13.3%) dan Pahang (11.3%). Subsektor kelapa sawit dan pembalakan merupakan penyumbang utama dalam aktiviti pertanian bagi negeri Sabah dan Sarawak. Bagi negeri Johor subsektor kelapa sawit dan tanaman makanan merupakan penyumbang utama, manakala bagi negeri Pahang, subsektor kelapa sawit, perhutanan dan tanaman makanan adalah penyumbang utama dalam aktiviti pertanian.
4. Sektor pembuatan tertumpu kepada tiga buah negeri yang menyumbang kira-kira 56.4% peratus nilai ditambah keseluruhan sektor ini, iaitu Selangor (27.0%), Pulau Pinang (16.7%) dan Johor (12.7%). Subsektor kenderaan bermotor & kelengkapan pengangkutan dan subsektor pembuatan radio, televisyen & peralatan komunikasi & perkakasan adalah dua subsektor yang mendominasi sektor pembuatan di negeri Selangor. Manakala bagi negeri Pulau Pinang disumbangkan oleh subsektor pembuatan mesin pejabat, perakaunan & komputer dan subsektor pembuatan radio, televisyen & peralatan komunikasi & perkakasan. Sementara itu, bagi negeri Johor, subsektor yang dominan adalah pembuatan radio, televisyen & peralatan komunikasi & perkakasan.
5. WP Kuala Lumpur (23.8%) dan Selangor (22.6%) mendominasi sektor perkhidmatan negara, sejajar dengan kedudukan kedua-dua negeri sebagai pusat perdagangan utama yang menempatkan pelbagai pusat perkhidmatan seperti perkhidmatan kewangan, komunikasi dan yang berkaitan perniagaan.
6. KDNK mengikut negeri turut menunjukkan struktur ekonomi negeri yang berbeza dan unik. Pertumbuhan KDNK nasional diterajui oleh sektor perkhidmatan (52.0% daripada KDNK) dan diikuti oleh sektor pembuatan (30.9% daripada KDNK). Bagi negeri Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sumbangan sektor pembuatan adalah lebih tinggi berbanding sektor perkhidmatan.
7. Pertumbuhan ekonomi negeri Pulau Pinang diterajui oleh sektor Pembuatan. Sektor Pembuatan (56.5%) dan Perkhidmatan (39.3%) menyumbang lebih dari 95% KDNK negeri tersebut.
8. Sektor Perkhidmatan menyumbang 88.5% kepada KDNK WP Kuala Lumpur. Begitu juga bagi negeri Kelantan (73.1%), WP Labuan (62.4%) dan Perak (61.8%). Bagi negeri-negeri yang disebutkan di atas, sumbangan sektor perkhidmatan kepada negeri masing-masing adalah lebih tinggi berbanding sumbangan di peringkat nasional (52.0%).
9. Bagi sektor pembinaan, Selangor penyumbang tertinggi (35.5%), diikuti oleh WP Kuala Lumpur (16.6%) dan Johor (10.8%) yang mana ketiga-tiga negeri tersebut menyumbang sebanyak 62.9% dari keseluruhan sektor pembinaan.
10. WP Kuala Lumpur mencatatkan jumlah KDNK per kapita tertinggi sebanyak RM44,341, diikuti oleh Pulau Pinang (RM30,490), Sarawak (RM26,912) dan WP Labuan (RM26,184). Manakala negeri Kelantan mencatatkan jumlah KDNK per kapita terendah pada RM6,012 berbanding tahap nasional sebanyak RM21,563, diikuti oleh Kedah (RM10,386) dan Sabah (RM10,921).

