dummy dummy

    RSSpodcasteBook Facebook Jabatan Perangkaan Malaysia twitter twitter
    Font Size decrease font size reset font size increase font size + Change default theme Change blue theme Change green theme

Keluaran Statistik Terkini
Untitled Document<span style="font-size: 10pt;" ></span>

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Mengikut Negeri, 2009 (Kemas kini: 25/11/2010)

 

PENEMUAN UTAMA
KELUARAN DALAM NEGERI KASAR (KDNK) MENGIKUT NEGERI, 2009

1. Krisis kewangan global telah membawa kepada penguncupan ekonomi global secara mendadak pada tahun 2009. Kemerosotan ekonomi dicatatkan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, kawasan Euro, Jepun, Singapura, termasuk Malaysia. Ekonomi Malaysia menguncup kepada 1.7 peratus kesan daripada kejatuhan mendadak dalam sektor Pembuatan (-9.4 peratus) dan penyusutan sektor Perlombongan dan Kuari sebanyak 3.8 peratus. Namun begitu, trend positif yang dicatatkan oleh sektor Perkhidmatan dan Pembinaan telah mengimbangi momentum penyusutan secara keseluruhan.

2. Selari dengan penguncupan pertumbuhan nasional, prestasi peringkat negeri menunjukkan beberapa variasi dengan sebilangan besar negeri mencatatkan pertumbuhan negatif. Carta 1 menunjukkan penyusutan tertinggi KDNK pada tahun 2009 direkodkan oleh Pulau Pinang iaitu -10.8 peratus kesan kejatuhan mendadak sektor Pembuatan (-20.2 peratus). Subsektor yang menyumbang kepada penurunan ini ialah Pembuatan Kelengkapan Pejabat, Perakaunan & Komputer dan Pembuatan Peralatan dan Kelengkapan Radio, Televisyen & Komunikasi. Senario ini sejajar dengan pertumbuhan negatif kedua-dua subsektor tersebut di peringkat Malaysia dengan masing-masing mencatatkan penurunan yang besar sebanyak -29.1 peratus dan -15.2 peratus.

Carta 1: Pertumbuhan KDNK (%) mengikut Negeri pada Harga Malar 2000 Tahun 2009


3. Kejatuhan segmen Elektrik & Elektronik turut memberi impak negatif kepada ekonomi negeri yang mempunyai pergantungan signifikan dengan industri tersebut. Selangor yang sebelum ini merekodkan pertumbuhan KDNK tertinggi juga terjejas dengan gelombang penyusutan ini. KDNK Selangor menguncup kepada -1.6 peratus berbanding pertumbuhan memberangsangkan 8.4 peratus pada tahun 2008. Selain itu, Johor merekodkan penurunan kepada -4.2 peratus, Kedah (-1.6 peratus) dan Perak (-1.0 peratus). Sungguhpun begitu, Negeri Sembilan dan Melaka merekodkan pertumbuhan positif walaupun sektor Pembuatan mengalami penguncupan. Ia didorong oleh pertumbuhan bagi sektor Pembinaan, Pertanian dan Perkhidmatan.

4. Prestasi ekonomi WP Kuala Lumpur kekal positif dengan pertumbuhan 3.8 peratus dipacu oleh pertumbuhan yang menggalakkan bagi sektor Perkhidmatan. Pertumbuhan kedua tertinggi direkodkan oleh negeri Sabah sebanyak 3.3 peratus dirangsang oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah yang menggalakkan. Manakala bagi negeri Kelantan, peningkatan sebanyak 3.1 peratus telah dicatatkan dengan kadar pertumbuhan disokong oleh sektor Perkhidmatan dan Pembinaan.

5. Kebergantungan kepada aktiviti ekonomi yang tertentu mewujudkan kesan pertumbuhan KDNK yang berbeza. Sektor Perkhidmatan merupakan penyumbang utama kepada KDNK WP Kuala Lumpur (88.9 peratus), WP Labuan (74.2 peratus), Kelantan (74.1 peratus), Perak (66.1 peratus), Selangor (58.1 peratus), Perlis (57.9 peratus) dan Johor (52.3). Sumbangan sektor Pembuatan pula didominasi oleh Pulau Pinang dengan 47.7 peratus, Negeri Sembilan (48.6 peratus) dan Melaka (44.6 peratus). Selaras dengan penyusutan sektor ini di peringkat nasional, peratus sumbangan sektor ini kepada negeri-negeri tersebut dilihat semakin mengecil berbanding tahun sebelumnya. Secara umumnya, sektor Perkhidmatan dan Pembuatan menyumbang lebih 90.0 peratus dari keseluruhan KDNK sesebuah negeri. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa buah negeri yang mempunyai ciri berlainan antaranya negeri Sabah, Sarawak, Pahang, Kedah dan Terengganu. Sektor Perlombongan dan Pertanian turut merupakan sebahagian daripada agen pertumbuhan ekonomi negeri.

6. Jika dilihat dari sudut sektor pula, sebanyak 47.0 peratus dari sektor Perkhidmatan di Malaysia disumbangkan oleh WP Kuala Lumpur dan Selangor (rujuk Jadual 1). WP Kuala Lumpur mencatatkan nilai ditambah tertinggi sebanyak RM 68.5 bilion pada harga malar bagi tahun 2009. Subsektor yang merangsang pertumbuhan ini adalah Kewangan & Insurans, Perkhidmatan Perniagaan dan Hartanah.

Jadual 1: Pembahagian Peratus (%) mengikut Negeri pada Harga Malar 2000 Tahun 2009

7. Selangor merupakan penyumbang tertinggi bagi sektor Pembuatan diikuti oleh Pulau Pinang, Johor dan Sarawak. Jumlah sumbangan bagi negeri-negeri ini adalah sebanyak 64.6 peratus dari keseluruhan nilai ditambah. Selain daripada pertumbuhan negatif subsektor Elektrikal & Elektronik oleh kebanyakan negeri antara subsektor lain yang turut menyumbang kepada penurunan sektor Pembuatan adalah Kenderaan Bermotor & Kelengkapan Pengangkutan, Produk Keluaran Kayu, Logam Asas dan Pembuatan Makanan, Minuman & Tembakau.

8. Sektor Pertanian kekal didominasi oleh Sabah dan Sarawak dengan jumlah sumbangan 38.3 peratus dari nilai KDNK Malaysia. Walau bagaimanapun pada tahun 2009, Sabah merekodkan pertumbuhan negatif 5.0 peratus manakala Sarawak berkembang perlahan 0.6 peratus disebabkan oleh penurunan subsektor Kelapa Sawit dan Perhutanan & Pembalakan. Sementara itu, Johor yang mencatatkan pertumbuhan 4.7 peratus, Pahang (1.0 peratus) dan Perak (1.9 peratus) turut memberikan sumbangan signifikan kepada sektor Pertanian. Pertumbuhan ini antara lain disokong oleh aktiviti Tanaman Makanan dan Perikanan.

9. Bagi sektor Pembinaan, pertumbuhan bagi negeri Selangor (4.5 peratus), WP Kuala Lumpur (9.2 peratus) dan Johor (14.0 peratus) menggambarkan keseluruhan senario di peringkat nasional (5.8 peratus). Sektor ini didominasi oleh Selangor dengan sumbangan sebanyak 37.8 peratus, WP Kuala Lumpur 15.8 peratus dan Johor 10.5 peratus. Kebanyakan negeri turut menunjukkan peningkatan positif kesan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi pertama dan kedua.

 

You are here