Saiz Huruf  Kecilkan saiz huruf  Set semula saiz huruf  Besarkan saiz huruf     Tukar ke variasi asal Tukar ke variasi biru Tukar ke variasi hijau
Keluaran Statistik

Sektor ICT terus berkembang (Kemas kini: 26/4/2010)

 

Berdasarkan kepada Penyiasatan Pertubuhan Perkhidmatan Industri ICT pada tahun 2007 yang telah dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan sebanyak 1,450 perniagaan telah beroperasi sehingga akhir Disember 2007. Nilai output yang dihasilkan oleh perniagaan ini adalah RM52.1 bilion, dengan pertumbuhan 10.0 peratus, selepas perkembangan 13.3 peratus pada tahun 2006.

Penyiasatan ini meliputi perkhidmatan komputer seperti perkhidmatan perundingan dan pembekalan perisian; perkhidmatan perundingan perkakasan komputer; pemprosesan data; aktiviti pangkalan data serta pembaikan & penyelenggaran peralatan pejabat, perakaunan dan pengira. Manakala perkhidmatan telekomunikasi pula merujuk kepada perkhidmatan telefon; perkhidmatan pemancar televisyen & radio dan perkhidmatan komunikasi data.

Industri perkhidmatan komputer dan telekomunikasi mengalami pertumbuhan sebanyak 21.3 peratus dan 6.6 peratus bagi tahun 2007. Penyumbang utama kepada industri perkhidmatan komputer adalah perkhidmatan perundingan perkakasan komputer iaitu RM2.9 bilion atau menaik 55.1 peratus dan perkhidmatan perundingan dan pembekalan perisian pula sebanyak RM7.3 bilion atau menaik12.1 peratus. Bagi perkhidmatan telekomunikasi, perkhidmatan data komunikasi merupakan perkhidmatan utama dengan sumbangan sebanyak RM8.5 bilion atau meningkat 20.0 peratus, diikuti oleh perkhidmatan pemancar televisyen & radio RM3.2 bilion atau 13.4 peratus.

Pada tahun 2007, trend jumlah pekerja ICT meningkat seramai 91,660 pekerja (10.2 peratus) berbanding 83,159 pekerja pada tahun 2006. Pekerja di dalam perkhidmatan komputer telah meningkat seramai 47,357 orang (21.0 peratus) berbanding 39,146 pekerja pada tahun 2006. Sementara jumlah pekerja di dalam perkhidmatan telekomunikasi meningkat secara marginal 0.7 peratus, iaitu 44,303 pekerja pada tahun 2007 berbanding 44,013 pekerja pada tahun 2006.

Selain daripada data perangkaan utama industri perkhidmatan ICT, penerbitan ini juga merangkumi data sekunder industri pembuatan ICT, data perdagangan luar negeri bagi barangan dan juga data siri masa penunjuk ICT. Ini adalah bagi memastikan bahawa pengguna penerbitan ini boleh mendapat data yang komprehensif untuk sub-sektor yang berkaitan.

You are here