Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia 2009
Keseluruhan

Kedudukan pelaburan antarabangsa bersih Malaysia adalah RM120.1 bilion, naik RM5.8 bilion atau 5.1 peratus pada 31 Disember 2009 berbanding setahun yang lalu. Peningkatan ini dipacu oleh perkembangan aset asing sebanyak RM101.4 bilion berbanding liabiliti asing sebanyak RM95.6 bilion.
Jumlah aset asing melebar kepada RM860.7 bilion daripada RM759.3 bilion pada 2008. Peningkatan tersebut disumbangkan oleh penambahan pelaburan langsung di luar negeri (DIA) dan pelaburan portfolio. Aset rizab terus kekal menjadi komponen terbesar di dalam aset asing berjumlah 38.5 peratus, diikuti oleh DIA (32.0 peratus), pelaburan lain (17.5 peratus), pelaburan portfolio (11.1 peratus) dan derivatif kewangan (0.9 peratus).


Sementara itu, jumlah liabiliti asing berada pada kedudukan RM740.6 bilion (2008: RM645.0 bilion), disebabkan oleh peningkatan dalam kedudukan stok pelaburan portfolio. Dari segi sumbangan, pelaburan portfolio menjadi komponen yang terbesar berjumlah 39.2 peratus, diikuti oleh pelaburan langsung di Malaysia (FDI) sebanyak 36.4 peratus, pelaburan lain (23.2 peratus) dan derivatif kewangan (1.2 peratus).
Pelaburan Langsung

Pada akhir 2009, pelaburan langsung mencatatkan kedudukan aset bersih, di mana DIA melebihi FDI sebanyak RM5.7 bilion. DIA meningkat hampir sembilan kali ganda untuk berada pada RM275.6 bilion pada 2009 daripada RM31.7 bilion yang dicapai pada lapan tahun yang lepas. Sementara itu, dalam tempoh setahun, tahap DIA meningkat sebanyak 17.7 peratus atau RM41.5 bilion daripada RM234.1 bilion pada 2008. Perkadaran DIA yang dibentuk oleh modal ekuiti dan perolehan dilabur semula kekal malar (julat antara 55.0 hingga 68.0 peratus) sepanjang 2001-2009. Pada penghujung tahun dalam kajian, modal ekuiti dan perolehan dilabur semula mewakili 67.3 peratus manakala selebihnya adalah modal lain.
FDI di Malaysia berkembang dengan stabil daripada RM129.1 bilion pada 2001 kepada RM270.0 bilion pada 2009, pertumbuhan sebanyak 109.1 peratus. Sementara tahun ke tahun, FDI meningkat sebanyak RM16.2 bilion atau 6.4 peratus. FDI mengalami situasi yang sama seperti DIA di mana komponen modal ekuiti dan perolehan dilabur semula membentuk bahagian terbesar iaitu berjumlah RM250.8 bilion.
Pelaburan Portfolio

Di antara 2001 dan 2009, aset pelaburan portfolio Malaysia tumbuh daripada RM6.2 bilion kepada RM95.2 bilion. Dalam jangka pendek, kedudukan pelaburan meningkat sebanyak RM39.0 bilion atau 69.5 peratus berbanding setahun yang lalu. Daripada jumlah pelaburan portfolio, sekuriti ekuiti yang dipegang oleh warganegara adalah RM69.0 bilion (2008: RM40.1 bilion) sementara sekuriti hutang sebanyak RM26.2 bilion (2008: RM16.0 bilion).
Pada 2009, jumlah liabiliti pelaburan portfolio meningkat kepada RM290.4 bilion, disebabkan oleh pemerolehan asing bagi kedua-dua sekuriti ekuiti dan sekuriti hutang. Tahun semasa memperlihatkan prestasi pasaran sekuriti ekuiti tempatan telah pulih daripada kecairan besar semasa 2008. Ini mendorong kepada penambahan 48.9 peratus pegangan asing dalam instrumen tersebut pada RM142.9 bilion. Semenjak tiga tahun lepas, kenaikan secara beransur-ansur telah dicatat di dalam kedudukan sekuriti hutang untuk mencecah RM147.5 bilion pada akhir 2009.
Pelaburan Lain

Kedudukan aset pelaburan lain pada Disember 2009 berjumlah RM150.8 bilion, meningkat sebanyak RM7.0 bilion atau 4.9 peratus daripada tahun terdahulu. Sejumlah besar daripada pelaburan terkumpul telah disumbangkan oleh matawang dan deposit di luar negeri dalam sektor perbankan dan juga kredit perdagangan serta pinjaman.
Tahap liabiliti pelaburan lain menunjukkan kenaikan kepada RM171.6 bilion (2008: RM160.9 bilion), peningkatan sebanyak RM10.7 bilion atau 6.6 peratus. Deposit dari luar negeri yang dimiliki oleh bank tempatan mewakili komponen terbesar dalam pelaburan tersebut.
Aset Rizab

Pada Disember 2009, aset rizab berada pada kedudukan RM331.3 bilion (2008: RM317.4 bilion). Kedudukan rizab ini cukup untuk membiayai 9.7 bulan import tertangguh.
Kedudukan Bersih Asing

Pada akhir 2009, aset bersih bagi kedudukan pelaburan antarabangsa dicerminkan oleh:
- pelaburan langsung : kedudukan aset bersih sebanyak RM5.7 bilion (2008: -RM19.7 bilion) ;
- pelaburan portfolio : kedudukan liabiliti bersih sebanyak RM195.2 bilion (2008: -RM166.8 bilion); dan
- pelaburan lain : kedudukan aset bersih sebanyak RM20.7 bilion (2008: -RM17.1 bilion).
| Muat Turun | : Jadual Kedudukan Pelaburan Antarabangsa - Malaysia, 2009 |
| : Nota Teknikal |

