Saiz Huruf  Kecilkan saiz huruf  Set semula saiz huruf  Besarkan saiz huruf     Tukar ke variasi asal Tukar ke variasi biru Tukar ke variasi hijau

Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia 2008


Keseluruhan

 



Pada Disember 2008, aras kedudukan pelaburan antarabangsa bersih Malaysia telah bertambah baik sehingga mencapai kedudukan negara pemiutang bersih. Nilai pegangan aset Malaysia di luar negara melebihi nilai liabiliti asing Malaysia sebanyak RM133.9 bilion berbanding –RM18.5 bilion pada akhir 2007. Kedudukan ini disebabkan oleh aset asing yang bertambah kukuh iaitu RM769.4 bilion (2007: RM742.9 bilion) dan penurunan ketara dalam liabiliti asing iaitu RM635.5 bilion (2007: RM761.4 bilion).

 

Aset Asing

Pada Disember 2008, jumlah aset asing telah meningkat sebanyak RM26.5 bilion atau 3.6% kepada RM769.4 bilion, daripada RM742.9 bilion yang telah dicatatkan pada 2007. Peningkatan ini disebabkan oleh pelaburan langsung di luar negara (DIA) bertambah baik yang berupaya mengimbangi penurunan di dalam aset rizab dan pelaburan lain.

Aset rizab terus kekal menjadi komponen terbesar di dalam aset asing diikuti oleh DIA, pelaburan lain, pelaburan portfolio dan derivatif kewangan.

 

Liabiliti Asing

Pada Disember 2008, jumlah liabiliti kewangan menguncup sebanyak RM126.0 bilion atau 16.5% kepada RM635.5 bilion (2007: RM761.4 bilion) terutamanya disebabkan oleh kedudukan pelaburan portfolio dan pelaburan lain yang rendah.

Pelaburan langsung di Malaysia (FDI) merupakan komponen terbesar kepada jumlah liabiliti asing, diikuti oleh pelaburan portfolio, pelaburan lain dan derivatif kewangan.

 

Pelaburan Langsung

Tahun 2008 menyaksikan DIA telah berkembang lebih tujuh kali ganda berbanding tujuh tahun lalu. Aras pelaburannya melonjak kepada RM234.1 bilion (2007: RM192.5 bilion), peningkatan sebanyak RM41.6 bilion atau 21.6%, berikutan pertumbuhan positif di dalam modal ekuiti dan perolehan dilabur semula sebanyak RM35.7 bilion atau 31.6% untuk mencatatkan RM149.0 bilion (2007: RM113.3 bilion). Sebahagian besar pelaburan ini dijana daripada sektor minyak & gas, 32.3% diikuti oleh sektor perantaraan kewangan, 24.2% dan sektor pembuatan sebanyak 9.8%.

Sementara itu, semenjak 2001 FDI di Malaysia berkembang hampir dua kali ganda untuk mencatat RM253.8 bilion (34.4% daripada GDP 2008). Komponen modal ekuiti & pelaburan dilabur semula merupakan penyumbang terbesar di dalam FDI iaitu sebanyak RM238.3 bilion. Sektor pembuatan mengekalkan kedudukannya sebagai penerima FDI tertinggi iaitu 48.9%, diikuti oleh sektor perantaraan kewangan, 20.4% dan sektor minyak & gas sebanyak 7.6%.

 

Pelaburan Portfolio

Pada Disember 2008, aset pelaburan portfolio berjumlah RM56.2 bilion (2007: RM50.7 bilion), peningkatan sebanyak RM5.5 bilion atau 10.8%. Ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan di dalam sekuriti hutang yang dimiliki residen iaitu sebanyak RM6.7 bilion atau 72.7%. Sementara itu, pelaburan sekuriti ekuiti mencatatkan sedikit penurunan berjumlah RM40.2 bilion (2007: RM41.4 bilion).

Jumlah liabiliti pelaburan portfolio, yang diterbitkan oleh sektor awam dan swasta jatuh menjunam sebanyak RM118.4 bilion atau 34.7% kepada RM222.9 bilion (2007: RM341.3 bilion). Penarikan balik yang tinggi di dalam pegangan sekuriti ekuiti oleh bukan residen adalah selaras dengan prestasi pasaran saham yang telah mendorong penurunan sebanyak RM129.5 bilion atau 57.5% kepada RM95.9 bilion (2007: RM225.5 bilion).

 

Pelaburan Lain

Aset pelaburan lain bernilai RM154.0 bilion (2007: RM162.2 bilion), pengurangan sederhana sebanyak RM8.2 bilion atau 5.1% yang dicerminkan oleh penurunan di dalam instrumen mata wang & deposit dan aset lain.

Sama seperti aset pelaburan lain, liabiliti pelaburan lain juga menunjukkan penurunan kepada RM151.4 bilion (2007: RM165.0 bilion), iaitu berkurang sebanyak RM13.6 bilion atau 8.3%.

 

Muat Turun: Jadual Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia 2008

You are here