Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia 2007
A. Pengenalan
Pada 31 Disember, 2007, kedudukan liabiliti bersih bagi pelaburan antarabangsa Malaysia berada pada tahap RM18.2 bilion, iaitu bertambah baik sebanyak RM4.8 bilion, daripada RM23.0 bilion yang dicatatkan tahun lepas.
Keadaan ini terutamanya dipacu oleh prestasi aset asing yang berjumlah RM742.7 bilion (2006: RM555.4 bilion), iaitu meningkat dengan lebih ketara berbanding liabiliti asing, RM760.9 bilion (2006: RM578.5 bilion).
B. Aset Asing
Pada tahun rujukan, jumlah aset asing telah meningkat sebanyak RM187.3 bilion atau 33.7% kepada RM742.7 bilion, daripada RM555.4 bilion pada 2006. Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh prestasi positif pada pelaburan langsung di luar negara dan pelaburan lain, iaitu masing-masing meningkat sebanyak RM65.0 bilion dan RM55.8 bilion.
Pada tahun 2007, aset rizab yang mencatatkan RM335.7 bilion terus kekal sebagai komponen terbesar aset asing iaitu sebanyak 45.2%. Ia meningkat secara sederhana iaitu sebanyak RM45.3 bilion atau 15.6% daripada tahun sebelumnya. Ini diikuti oleh pelaburan langsung di luar negara (DIA), yang terus kekal sebagai penyumbang kedua terbesar kepada jumlah aset dengan sejumlah RM192.4 bilion (25.9%); iaitu meningkat sebanyak RM65.0 bilion atau 51.0% daripada tahun sebelumnya. Sektor perantaraan kewangan merupakan penyumbang utama kepada DIA (32.5%). Ini diikuti oleh sektor perlombongan & kuari dan sektor pertanian, masing-masing mencatatkan 29.9% dan 9.5%. Sementara itu, modal ekuiti & perolehan dilabur semula merupakan agihan terbesar kepada DIA iaitu berjumlah RM113.4 bilion atau 58.8%.
Pelaburan Lain, yang berjumlah RM162.1 bilion atau 21.8% daripada jumlah aset asing, merupakan penyumbang ketiga terbesar; iaitu meningkat sebanyak RM55.8 bilion atau 52.5% daripada akhir tahun 2006. Peningkatan pada instrumen mata wang & deposit dalam sektor perbankan sejak awal tahun 2007, mengesahkan peningkatan pada pelaburan lain.
Pada akhir tahun 2007, sumbangan pelaburan portfolio dan derivatif kewangan adalah kecil, dengan masing-masing hanya mencatatkan RM50.7 bilion (6.8%) dan RM1.8 bilion (0.2%).
C. Liabiliti Asing
Pada 31 Disember, 2007, jumlah liabiliti asing meningkat dengan ketaranya iaitu sebanyak RM182.5 bilion atau 31.5% kepada RM760.9 bilion, daripada RM578.5 bilion yang dicatatkan pada tahun lepas.
Pasaran saham tempatan amat memberangsangkan sepanjang tahun, sebagaimana ditunjukkan oleh indeks komposit yang terus meningkat. Prestasi ini selaras dengan peningkatan pegangan dalam sekuriti ekuiti oleh pelabur bukan residen. Secara keseluruhannya, keadaan ini telah melonjakkan nilai akhir pelaburan portfolio kepada RM340.8 bilion pada 2007, (2006: RM232.6 bilion); iaitu penyumbang terbesar kepada jumlah liabiliti asing (44.8%).
Pelaburan langsung asing di Malaysia (FDI) yang mencatatkan RM253.8 bilion atau 33.3%, merupakan agihan kedua terbesar daripada jumlah liabiliti asing. Peningkatan sebanyak RM63.7 bilion atau 33.5% daripada tahun sebelumnya, terutamanya dicerminkan oleh peningkatan pada modal ekuiti & perolehan dilabur semula kepada RM242.8 bilion (2006: RM181.5 bilion). Sektor pembuatan terus kekal sebagai penerima utama FDI iaitu 49.1%. Ini diikuti sektor perantaraan kewangan, 17.2%, dan sektor perlombongan & kuari, 9.3%.
Pada 31 Disember, 2007, pelaburan lain merupakan penyumbang yang paling sedikit kepada jumlah liabiliti asing. Ia mencatatkan RM164.6 bilion; iaitu meningkat dengan sederhana atau 6.7% pada akhir 2006.
D. Kedudukan Asing Bersih
Pada akhir 2007, kedudukan asing bersih menunjukkan:
- FDI di Malaysia terus kekal lebih besar daripada DIA sebanyak RM61.4 bilion, walaupun berkurangan RM1.3 bilion berbanding pada tahun 2006;
- kedudukan liabiliti bersih bagi pelaburan portfolio adalah RM290.1 bilion, berkembang sebanyak RM87.0 bilion (42.9%); dan
- kedudukan liabiliti bersih bagi pelaburan lain iaitu RM2.4 bilion, walau bagaimanapun, berkurangan sebanyak RM45.5 bilion berbanding 2006. Peningkatan yang signifikan dalam instrumen aset mata wang & deposit telah mendorong kepada kedudukan bersih liabiliti pelaburan ini yang lebih rendah.
Muat Turun : Jadual Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia 2007

