Keluaran Dalam Negeri Kasar Suku Kedua 2013 (Kemas kini : 21/08/2013)
PERTUMBUHAN EKONOMI
Pada suku kedua 2013, ekonomi Malaysia tumbuh pada 4.3 peratus. Dari segi pengeluaran, semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif dengan Perkhidmatan terus menjadi pemangkin utama. Prestasi yang lebih baik dalam Pembuatan serta pertumbuhan kukuh dalam Pembinaan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi pada suku tahun ini.
Peningkatan dari segi perbelanjaan disokong oleh sumbangan positif daripada Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta dan Pembentukan Modal Tetap Kasar. Pengembangan dalam kedua-dua perbelanjaan telah mengimbangi prestasi lemah dalam perdagangan luar negeri.
Komposisi KDNK dari segi pengeluaran diterajui oleh Perkhidmatan dengan sumbangan 54.8 peratus. Sementara itu, Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta menyumbang 51.5 peratus dari segi perbelanjaan.
Buat pertama kali, data pelarasan musim dikeluarkan bagi melengkapi maklumat pertumbuhan ekonomi jangka pendek negara. Bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, KDNK tumbuh 1.4 peratus berbanding negatif 0.4 peratus pada suku pertama 2013.
PERKHIDMATAN
Sektor Perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 4.8 peratus disokong oleh Perdagangan Borong & Runcit dan Komunikasi. Pertumbuhan 5.0 peratus dalam Perdagangan Borong & Runcit didorong oleh aktiviti Runcit yang berkembang kepada 7.3 peratus berbanding 6.9 peratus pada suku tahun sebelumnya. Komunikasi terus kukuh kepada 9.8 peratus berikutan peningkatan perkhidmatan komunikasi data dan telefon.
Pada suku tahun ini, Perkhidmatan Perniagaan meningkat kepada 8.1 peratus (ST1 2013: 7.0 peratus) dirangsang oleh prestasi yang lebih baik dalam perkhidmatan profesional dan komputer.
Walau bagaimanapun, penurunan 0.2 peratus dalam Kewangan & Insurans telah menyumbang kepada prestasi sederhana sektor Perkhidmatan.
PEMBUATAN
Sektor Pembuatan meningkat kepada 3.3 peratus disokong terutamanya oleh Peralatan Pengangkutan & Pembuatan Lain; produk Mineral Bukan Logam, Logam Asas & produk Logam yang Direka; dan produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik.
Peralatan Pengangkutan & Pembuatan Lain berkembang kepada 14.6 peratus didorong oleh pengeluaran yang tinggi dalam kenderaan bermotor, alat ganti & aksesori dan pembaikan & pembinaan kapal. Peningkatan dua digit produk logam yang direka telah menyumbang kepada pertumbuhan 5.8 peratus dalam produk Mineral Bukan Logam, Logam Asas & produk Logam yang Direka.
Produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik meningkat kepada 2.6 peratus (ST1 2013: -2.3 peratus) didorong oleh kenaikan dalam produk petroleum bertapis.
PEMBINAAN
Sektor Pembinaan tumbuh dengan stabil pada 9.9 peratus disokong oleh prestasi kukuh Kediaman pada 21.4 peratus (ST1 2013: 9.8 peratus). Tambahan pula, Kejuruteraan Awam kekal dengan pertumbuhan dua digit 10.4 peratus dipacu oleh projek infrastruktur bagi pengangkutan dan utiliti.
Selaras dengan prestasi Kediaman dan Kejuruteraan Awam, Pertukangan Khas terus mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan pada 8.9 peratus.
PERLOMBONGAN DAN PENGKUARIAN
Sektor Perlombongan dan Pengkuarian pulih kepada momentum positif 4.1 peratus. Pertumbuhan disumbangkan oleh pemulihan dalam pengeluaran gas asli (8.1 peratus), kondensat (2.5 peratus) dan minyak mentah (1.8 peratus).
PERTANIAN
Berikutan prestasi yang lemah dalam Perhutanan & Pembalakan (-10.1 peratus) dan Getah (-26.2 peratus), sektor Pertanian tumbuh sederhana kepada 0.4 peratus pada suku tahun ini. Selain itu, Kelapa Sawit mencatatkan pertumbuhan perlahan 1.2 peratus disebabkan oleh pengeluaran yang lebih rendah.
Namun begitu, Pertanian Lain dan Ternakan masing-masing merekodkan pertumbuhan yang signifikan 11.2 peratus dan 8.1 peratus. Sumbangan utama Pertanian Lain adalah berikutan daripada pengeluaran yang tinggi bagi sayur-sayuran dan buah-buahan.
PERBELANJAAN PENGGUNAAN AKHIR
Perbelanjaan Penggunaan Akhir terus berkembang kepada 8.0 peratus daripada 6.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta kekal stabil pada 7.2 peratus berbanding dengan 7.5 peratus pada suku pertama. Pertumbuhan ini sebahagian besarnya disokong oleh perbelanjaan makanan & minuman, perumahan & utiliti, komunikasi dan rekreasi.
Perbelanjaan Penggunaan Akhir Kerajaan melonjak kepada 11.1 peratus (ST1 2013: 0.1 peratus) berikutan peningkatan perbelanjaan ke atas bekalan dan perkhidmatan pada suku tahun ini.
PEMBENTUKAN MODAL TETAP KASAR
Selepas mencatatkan pertumbuhan dua digit bagi lima suku tahun berturut-turut, Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) tumbuh 6.0 peratus pada suku tahun ini. Pertumbuhan sederhana ini disebabkan oleh penyusutan 0.5 peratus dalam Jentera & Peralatan berbanding 15.1 peratus pada suku tahun sebelumnya. Sementara itu, pertumbuhan keseluruhan PMTK disokong oleh Struktur (10.9 peratus) dan Aset Lain (10.1 peratus).
Sektor Swasta merupakan penggerak utama dalam PMTK yang berkembang 12.7 peratus, manakala sektor Awam menguncup kepada negatif 6.4 peratus.
EKSPORT DAN IMPORT
Eksport terus susut kepada negatif 5.2 peratus kesan daripada penguncupan dalam eksport barangan. Eksport barangan menyumbang 84.1 peratus kepada jumlah Eksport.
Di samping itu, Import mencatatkan pertumbuhan negatif 2.0 peratus disebabkan oleh kejatuhan dalam import barangan terutamanya jentera elektrik dan produk petroleum.
SEMAKAN
Data bagi suku pertama 2013 telah disemak semula terutamanya dalam sektor/ komponen berikut; Pembuatan, Pembinaan, Duti Import, PMTK dan Perubahan inventori.