| Keluaran Statistik Terkini | Muat Turun Percuma | Bercetak |
PRESTASI IMBANGAN PEMBAYARAN SUKU TAHUNAN APRIL - JUN, 2013 (Kemas kini: 21/08/2013)
AKAUN SEMASA
Akaun semasa mencatatkan lebihan yang lebih rendah RM2.6 bilion bagi tempoh April - Jun 2013, berbanding suku tahun sebelumnya. Lebihan yang lebih rendah ini terutamanya disumbangkan oleh:
- akaun barangan: lebihan yang lebih rendah RM18.7 bilion (S1 2013: RM24.7 bilion);
- akaun perkhidmatan: defisit yang lebih tinggi RM3.7 bilion (S1 2013: -RM3.4 bilion); dan
- akaun pendapatan sekunder: aliran keluar bersih yang lebih tinggi RM4.1 bilion (S1 2013: -RM3.8 bilion).
Tahun-ke-tahun, lebihan pada akaun semasa berkurang sebanyak RM5.4 bilion daripada RM7.9 bilion yang direkodkan pada suku sama tahun lepas. Ini terutama disebabkan oleh lebihan yang lebih rendah pada akaun barangan sebanyak RM11.1 bilion daripada RM29.8 bilion tahun lepas.
Bagi enam bulan pertama 2013, imbangan akaun semasa menunjukkan lebihan yang lebih rendah iaitu RM11.2 bilion (1H 2012: RM24.8 bilion), menurun sebanyak RM13.6 bilion. Ini disebabkan oleh lebihan yang lebih rendah pada akaun barangan RM43.3 bilion (1H 2012: RM65.7 bilion).
Akaun Barangan
Pada suku tahun kajian, akaun barangan merekodkan lebihan yang lebih rendah RM18.7 bilion daripada RM24.7 bilion suku lepas, yang mana:
- eksport f.o.b. merekodkan RM163.2 bilion daripada RM169.4 bilion suku lepas. Eksport terutamanya disumbangkan oleh barangan elektrik & elektronik, minyak sawit & hasil keluaran minyak sawit dan gas asli cecair (LNG). Tiga destinasi utama eksport ialah Singapura, Republik Rakyat China dan Jepun.
- import f.o.b. mencatatkan RM144.5 bilion daripada RM144.8 bilion pada suku lepas. Ini terutamanya disumbangkan oleh import barang perantaraan. Tiga sumber utama import ialah Republik Rakyat China, Singapura dan Jepun.
Tahun-ke-tahun, akaun barangan merekodkan lebihan yang lebih rendah sebanyak RM11.1 bilion daripada RM29.8 bilion setahun lalu. Ini disebabkan oleh penurunan pada eksport f.o.b. sebanyak RM14.9 bilion.
Separuh tahun pertama 2013, lebihan pada akaun barangan mencatatkan RM43.3 bilion, berkurang sebanyak RM22.4 bilion daripada RM65.7 bilion pada tempoh yang sama 2012. Eksport f.o.b. menurun sebanyak RM19.5 bilion daripada RM352.1 bilion, sementara import f.o.b. meningkat kepada RM289.3 bilion daripada RM286.4 bilion.
Akaun Perkhidmatan
Pada S2 2013, eksport perkhidmatan mencatatkan RM30.5 bilion daripada RM29.8 bilion pada S1 2013, terutamanya terdiri daripada komponen berikut:
- perjalanan RM16.5 bilion (S1 2013: RM16.1 bilion);
- perkhidmatan perniagaan lain RM6.4 bilion (S1 2013: RM6.2 bilion);
- pengangkutan RM3.4 bilion (S1 2013: RM3.3 bilion); dan
- perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat RM2.3 bilion (S1 2013: RM2.1 bilion).
Sementara itu, import perkhidmatan meningkat sebanyak RM1.0 bilion kepada RM34.2 bilion daripada RM33.2 bilion pada suku lepas, di mana:
- pengangkutan RM11.0 bilion (S1 2013: RM10.2 bilion);
- perjalanan RM9.2 bilion (S1 2013: RM9.2 bilion);
- perkhidmatan perniagaan lain RM6.7 bilion (S1 2013: RM7.1 bilion); dan
- perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat RM2.4 bilion (S1 2013: RM2.2 bilion).
Pada asas bersih, akaun perkhidmatan merekodkan bayaran bersih yang lebih tinggi RM3.7 bilion (S1 2013: -RM3.4 bilion).
Tahun-ke-tahun, eksport perkhidmatan merekodkan terimaan yang lebih tinggi sebanyak RM1.9 bilion (6.6 peratus) daripada RM28.6 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas. Sementara itu, import merekodkan bayaran yang lebih tinggi sebanyak RM1.2 bilion (3.6 peratus) daripada RM33.0 bilion.
Separuh tahun pertama, eksport akaun perkhidmatan meningkat kepada RM60.3 bilion daripada RM55.4 bilion. Begitu juga, import perkhidmatan merekodkan RM67.4 bilion daripada RM64.8 bilion. Ini disebabkan oleh bayaran bersih yang lebih rendah pada akaun perkhidmatan sebanyak RM2.4 bilion, untuk mencatatkan RM7.1 bilion daripada RM9.5 bilion pada tempoh yang sama 2012.
Akaun Pendapatan Primer
Pada suku semasa, sejumlah RM10.9 bilion telah dicatatkan oleh terimaan pendapatan primer (kredit) berbanding RM9.9 bilion pada S1 2013, di mana:
- pampasan pekerja RM1.1 bilion (S1 2013: RM1.0 bilion); dan
- pendapatan pelaburan RM9.9 bilion (S1 2013: RM8.8 bilion).
Pendapatan pelaburan diperoleh daripada:
- pelaburan langsung RM4.8 bilion (S1 2013: RM3.8 bilion), terutamanya dijana daripada sektor minyak & gas, kewangan & insurans dan borong & runcit;
- pelaburan portfolio RM1.4 bilion (S1 2013: RM0.4 bilion); dan
- pelaburan lain RM3.7 bilion (S1 2013: RM4.7 bilion).
Sementara itu, bayaran pendapatan primer (debit) mencatatkan RM19.3 bilion daripada RM18.7 bilion pada S1 2013, yang mana:
- pampasan pekerja RM2.0 bilion (S1 2013: RM2.0 bilion); dan
- pendapatan pelaburan RM17.3 bilion (S1 2013: RM16.7 bilion).
Pendapatan pelaburan diperoleh daripada:
- pelaburan langsung RM12.9 bilion (S1 2013: RM13.3 bilion), terutamanya dijana daripada sektor pembuatan, kewangan & insurans dan minyak & gas;
- pelaburan portfolio RM3.7 bilion (S1 2013: RM3.0 bilion); dan
- pelaburan lain RM0.7 bilion (S1 2013: RM0.4 bilion).
Pada asas bersih, aliran keluar pendapatan primer berkurang sebanyak RM0.4 bilion kepada RM8.4 bilion daripada RM8.8 bilion direkodkan pada suku sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh aliran keluar bersih yang lebih rendah pada pendapatan pelaburanRM7.4 bilion daripada RM7.9 bilion.
Tahun-ke-tahun, terimaan pendapatan primer meningkat sebanyak RM1.7 bilion daripada RM9.2 bilion, terutamanya disebabkan pendapatan pelaburan langsung yang lebih tinggi. Sebaliknya, bayaran pendapatan primer berkurang sebanyak RM2.8 bilion daripada RM22.0 bilion tahun lepas. Pada asas bersih, akaun pendapatan primer merekodkan bayaran bersih yang lebih rendah sebanyak RM4.4 bilion daripada RM12.8 bilion setahun lalu.
Pada enam bulan pertama 2013, defisit pada akaun pendapatan primer mengecil kepada RM17.2 bilion (1H 2012: -RM21.5 bilion). Ini disumbangkan oleh aliran keluar bersih yang lebih rendah pada pendapatan pelaburan sebanyak RM4.8 bilion untuk merekod RM15.3 bilion (1H 2012: -RM20.1 bilion).
Akaun Pendapatan Sekunder
Pada suku semasa, pendapatan sekunder merekodkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi RM4.1 bilion (S1 2013: RM 3.8 bilion).
Tahun-ke-tahun, bayaran bersih pada pendapatan sekunder menurun sebanyak RM0.6 bilion daripada RM4.6 bilion setahun lalu. Separuh tahun pertama, aliran keluar bersih mengecil sebanyak RM2.1 bilion daripada RM10.0 bilion yang direkodkan pada tempoh sama 2012.
AKAUN MODAL
Pada S2 2013, akaun modal merekodkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi RM8.0 juta daripada RM6.0 juta pada S1 2013. Ini terutamanya disebabkan oleh bayaran bersih yang lebih tinggi pada perolehan aset bukan kewangan bukan pengeluaran sebanyak RM11.0 juta.
Tahun-ke-tahun, akaun modal menunjukkan aliran keluar bersih yang lebih rendah sebanyak RM31.0 juta (S2 2012: -RM40.0 juta). Pada separuh tahun pertama 2013, aliran keluar bersih mengecil sebanyak RM173.0 juta kepada RM14.0 juta daripada RM187.0 juta dicatatkan pada tempoh yang sama 2012.
AKAUN KEWANGAN
Akaun kewangan merekodkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi RM5.2 bilion daripada RM1.0 bilion pada suku lepas. Ini disebabkan oleh perubahan arah pada pelaburan lain kepada RM10.8 bilion daripada aliran keluar bersih RM1.0 bilion.
Tahun-ke-tahun, akaun kewangan mencatatkan aliran masuk bersih yang lebih rendah sebanyak RM1.3 bilion daripada RM6.5 bilion setahun lalu. Ini disumbangkan oleh perubahan haluan pada pelaburan langsung kepada aliran keluar bersih RM7.9 bilion daripada aliran masuk bersih RM4.6 bilion.
Bagi separuh tahun pertama 2013, akaun kewangan mencatatkan aliran masuk bersih RM6.2 bilion, bertukar daripada aliran keluar bersih RM3.7 bilion disebabkan oleh perubahan haluan pada pelaburan lain, kepada aliran masuk bersih RM9.9 bilion daripada aliran keluar bersih RM20.0 bilion.
Pelaburan Langsung
i. Pelaburan langsung mengikut asas aset dan liabiliti
Pelaburan langsung mencatatkan aliran keluar bersih RM7.9 bilion daripada RM2.2 bilion suku lepas, di mana:
- aset: aliran keluar RM15.4 bilion (S1 2013: -RM11.5 bilion); dan
- liabiliti: aliran masuk RM7.4 bilion (S1 2013: RM9.4 bilion).
Tahun-ke-tahun, pelaburan langsung merekodkan perubahan arah daripada aliran masuk bersih RM4.6 bilion pada S2 2012. Ini terutamanya disumbangkan oleh aliran keluar bersih aset pelaburan langsung yang lebih tinggi sebanyak RM8.7 bilion daripada RM6.7 bilion.
Separuh tahun pertama, pelaburan langsung mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi RM10.1 bilion daripada RM4.8 bilion pada tempoh yang sama 2012. Ini disebabkan oleh aliran masuk liabiliti pelaburan langsung yang lebih rendah sebanyak RM6.6 bilion kepada RM16.8 bilion daripada RM23.4 bilion.
ii. Pelaburan langsung mengikut asas arah aliran
- DIA: aliran keluar bersih yang lebih tinggi RM17.0 bilion (S1 2013: -RM11.3 bilion). Sektor utama yang menyumbang kepada DIA ialah minyak & gas, kewangan & insurans dan maklumat & komunikasi. Tiga negara utama pelaburan immediate adalah Bermuda, India dan Indonesia.
Tahun-ke-tahun, DIA mencatatkan aliran keluar yang lebih tinggi sebanyak RM14.3 bilion daripada RM2.7 bilion setahun lalu. Separuh tahun pertama, DIA merekodkan aliran keluar yang lebih tinggi RM28.3 bilion daripada RM20.7 bilion pada tempoh yang sama 2012.
- FDI di Malaysia: merekodkan aliran masuk bersih RM9.1 bilion (S1 2013: RM9.1 bilion). Aliran masuk FDI terutamanya disalurkan ke dalam sektor pembuatan, minyak & gas dan kewangan & insurans. Tiga sumber utama FDI adalah Jepun, Bermuda dan Singapura.
Tahun-ke-tahun, FDI mencatatkan aliran masuk yang lebih tinggi sebanyak RM1.7 bilion daripada RM7.4 bilion setahun lalu. Separuh tahun pertama, FDI merekodkan aliran masuk yang lebih tinggi RM18.2 bilion daripada RM15.9 bilion pada tempoh yang sama 2012.
Pelaburan Portfolio
Pelaburan Portfolio mencatatkan aliran masuk bersih RM3.7 bilion daripada RM3.9 bilion pada suku lalu, di mana:
- aset: aliran keluar RM11.0 bilion (S1 2013: -RM5.3 bilion); dan
- liabiliti: aliran masuk RM14.7 bilion (S1 2013: RM9.2 bilion).
Tahun-ke-tahun, pelaburan portfolio mencatatkan perubahan arah daripada aliran keluar bersih RM4.9 bilion. Pada separuh tahun pertama 2013, pelaburan portfolio merekodkan aliran masuk bersih yang lebih rendah RM7.6 bilion daripada RM20.2 bilion pada separuh tahun pertama 2012.
Pelaburan lain
Pelaburan lain bertukar arah kepada aliran masuk bersih RM10.8 bilion daripada aliran keluar bersih RM0.9 bilion suku lepas. Ini disumbangkan oleh perubahan haluan dalam sektor swasta kepada RM12.1 bilion daripada -RM0.2 bilion.
Tahun-ke-tahun, pelaburan lain mencatatkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi sebanyak RM5.0 bilion daripada RM5.9 bilion. Separuh tahun pertama, pelaburan lain mencatatkan aliran masuk bersih RM9.9 bilion, bertukar arah daripada aliran keluar bersih RM20.0 bilion.
Aset Rizab
Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia sehingga akhir Jun 2013 adalah RM432.8 bilion, meningkat RM1.5 bilion pada suku kajian.
Muat Turun: | Jadual 1: Imbangan Pembayaran Suku Tahunan (Bersih), 2011 - 2013 | ||
| Jadual 2: Akaun Semasa, 2011 - 2013 | |||
| Jadual 3: Akaun Modal, Akaun Kewangan Dan Aset Rizab, 2011 - 2013 |





