| Keluaran Statistik Terkini | Muat Turun Percuma |
Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia 2012 (Kemas kini : 21/08/2013)
Pendahuluan
Pelaksanaan Manual Imbangan Pembayaran dan Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Edisi Keenam (BPM6) diguna pakai di dalam penyusunan IIP 2012, selaras dengan penerbitan statistik BOP suku pertama 2013. Penyusunan sebelum ini adalah berdasarkan manual Imbangan Pembayaran Edisi Kelima (BPM5). Data siri masa dari tahun 2001 juga diterbitkan berdasarkan BPM6.
Adaptasi semasa bagi BPM6 melibatkan pengharmonian klasifikasi dalam aset kewangan dan liabiliti dengan SNA 2008. Klasifikasi, netting dan susunan dalam IIP adalah konsisten dengan struktur akaun kewangan dan akaun pendapatan primer dalam statistik BOP. Penyusunan data pelaburan langsung adalah berdasarkan asas aset dan liabiliti. Untuk memudahkan pengguna, data pelaburan langsung mengikut asas arah aliran (seperti BPM5) juga ditunjukkan dalam penerbitan ini.
Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Keseluruhan
Pada akhir 2012, jumlah aset berkembang sebanyak 7.7 peratus kepada RM1.2 trilion daripada RM1.1 trilion pada 2011. Ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan kedudukan pelaburan langsung sebanyak 7.0 peratus, pelaburan portfolio 21.3 peratus dan pelaburan lain 14.0 peratus. Aset rizab kekal sebagai penyumbang terbesar dalam jumlah keseluruhan aset sebanyak 34.9 peratus, diikuti oleh pelaburan langsung 34.7 peratus, pelaburan lain 16.9 peratus, pelaburan portfolio 12.6 peratus dan derivatif kewangan 0.9 peratus.

Pada masa yang sama, jumlah keseluruhan liabiliti yang terkumpul melebar sebanyak 12.7 peratus kepada RM1.2 trilion berbanding RM1.1 trilion setahun lalu. Dari segi jenis pelaburan, pelaburan portfolio dan pelaburan langsung masing-masing meningkat sebanyak 22.3 peratus dan 8.8 peratus. Peningkatan ini telah mengimbangi pengurangan dalam pelaburan lain sebanyak 1.5 peratus. Daripada jumlah tersebut, pelaburan portfolio mencatatkan sumbangan terbesar 44.6 peratus, diikuti dengan pelaburan langsung 37.3 peratus, pelaburan lain 17.2 peratus dan derivatif kewangan 0.9 peratus.
Pada Disember 2012, paras kedudukan pelaburan antarabangsa bersih Malaysia bertukar arah kepada kedudukan penghutang bersih. Nilai liabiliti Malaysia melebihi aset luar negeri sebanyak RM14.7 bilion berbanding +RM36.6 bilion pada akhir 2011.
Pelaburan Langsung
Pelaburan langsung disusun mengikut asas berikut:
i. Asas aset dan liabiliti

Stok aset pelaburan langsung berkembang sebanyak RM27.8 bilion untuk berada RM425.2 bilion pada 2012 daripada RM397.4 bilion yang dicapai setahun lalu. Peningkatan ini terutamanya disumbangkan oleh instrumen hutang sebanyak RM17.0 bilion. Dari segi nisbah, ekuiti dan dana pelaburan saham mencatatkan 55.5 peratus sementara selebihnya disumbangkan oleh instrumen hutang. Sejumlah besar daripada pelaburan adalah dijana terutamanya oleh syarikat Malaysia dalam sektor kewangan & insurans 27.8 peratus, diikuti oleh sektor minyak & gas 24.3 peratus dan sektor pembuatan 13.2 peratus. Tiga destinasi utama adalah Singapura, Indonesia dan Australia.
Paras liabiliti pelaburan langsung melebar kepada RM461.9 bilion pada 2012 daripada RM424.7 bilion pada 2011, peningkatan sebanyak RM37.2 bilion atau 8.8 peratus. Komponen ekuiti dan dana pelaburan saham membentuk bahagian terbesar berjumlah RM382.4 bilion atau 82.8 peratus. Sektor pembuatan kekal sebagai penerima utama pelaburan langsung 48.3 peratus, diikuti oleh sektor kewangan & insurans 20.1 peratus dan sektor perdagangan borong & runcit 9.2 peratus. Tiga sumber utama pelaburan langsung adalah dari Singapura, Jepun dan USA.
Pada asas bersih, liabiliti pelaburan langsung menunjukkan kedudukan yang lebih tinggi berbanding aset untuk merekodkan kedudukan pelaburan langsung bersih -RM36.7 bilion (2011: -RM27.4 bilion). Ekuiti dan dana pelaburan saham merekodkan kedudukan bersih -RM146.5 bilion (2011: -RM117.5 bilion). Sebaliknya, instrumen hutang menunjukkan kedudukan bersih yang positif RM109.8 bilion daripada RM90.1 bilion pada 2011.
ii. Asas arah aliran

Stok DIA meningkat sebanyak RM30.0 bilion untuk berada pada RM368.2 bilion pada 2012 daripada RM338.2 bilion dicapai setahun lalu. Modal ekuiti dan perolehan dilabur semula berjumlah RM235.9 bilion dan modal lain RM132.3 bilion.
Paras FDI di Malaysia meningkat kepada RM404.9 bilion pada 2012 daripada RM365.6 bilion pada 2011, peningkatan sebanyak RM39.4 bilion atau 10.8 peratus. Modal ekuiti dan perolehan dilabur semula berjumlah RM382.4 bilion dan modal lain RM22.5 bilion.
Pelaburan Portfolio

Tahun 2012 menyaksikan aset pelaburan portfolio berjumlah RM154.7 bilion (2011: RM127.6 bilion), meningkat sebanyak RM27.1 bilion atau 21.3 peratus. Kedua-dua ekuiti dan dana pelaburan saham dan sekuriti hutang yang dipegang oleh residen masing-masing menyumbang RM100.1 bilion (64.7 peratus) dan RM54.6 bilion (35.3 peratus).
Jumlah nilai stok liabiliti pelaburan portfolio melebar kepada RM552.3 bilion (2011: RM451.8 bilion) disebabkan perolehan asing bagi kedua-dua ekuiti dan dana pelaburan saham dan sekuriti hutang yang diterbitkan oleh residen. Kedua-dua instrumen masing-masing meningkat sebanyak RM36.4 bilion kepada RM247.9 bilion dan RM64.1 bilion kepada RM304.4 bilion. Daripada jumlah liabiliti pelaburan portfolio, ekuiti dan dana pelaburan saham membentuk 44.9 peratus manakala sekuriti hutang 55.1 peratus.
Pada asas bersih, pelaburan portfolio menunjukkan kedudukan liabiliti bersih sebanyak RM397.6 bilion (2011: -RM324.2 bilion), di mana liabiliti bersih ekuiti dan dana pelaburan saham adalah RM147.7 bilion (2011: -RM127.3 bilion) dan liabiliti bersih sekuriti hutang adalah RM249.9 bilion (2011: -RM197.0 bilion).
Pelaburan Lain

Kedudukan aset pelaburan lain pada akhir Disember 2012 berada pada RM206.2 bilion, pertumbuhan positif sebanyak RM25.3 bilion atau 14.0 peratus dari tahun sebelumnya. Sejumlah besar pelaburan terkumpul telah disumbangkan oleh mata wang & deposit dan juga pinjaman.
Pada akhir tahun semasa, liabiliti pelaburan lain bernilai RM213.4 bilion (2011: RM216.5 bilion), berkurang sebanyak RM3.1 bilion atau 1.5 peratus dicerminkan oleh penurunan dalam mata wang & deposit, lain-lain akaun belum bayar dan kredit perdagangan & pendahuluan.
Pada asas bersih, pelaburan lain terus merekodkan kedudukan liabiliti bersih RM7.2 bilion daripada RM35.6 bilion pada 2011.
Aset Rizab

Kedudukan aset rizab meningkat sebanyak RM3.9 bilion untuk berada pada RM427.2 bilion (2011: RM423.3 bilion).
| Muat Turun : | Jadual : Malaysia - Kedudukan Pelaburan Antarabangsa, 2001-2012 | ||
| Nota Teknikal | |||





