| Keluaran Statistik Terkini | Muat Turun Percuma | Bercetak |
Ringkasan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Mei 2013 (Kemas kini: 12/07/2013)
1. PENGELUARAN
Pada Mei 2013, pengeluaran getah asli dicatat sebanyak 50,016 tan metrik. Pengeluaran meningkat sebanyak 7,135 tan metrik (+16.6%) daripada April 2013, manakala bagi tahun atas tahun, pengeluaran jatuh 19,857 tan metrik (-28.4%). Sektor kebun kecil adalah pengeluar utama getah asli sebanyak 92.8 peratus manakala sektor estet menyumbang 7.2 peratus. Kedah mencatatkan pengeluaran getah asli yang tertinggi di estet (26.8%), diikuti oleh Perak (17.7%) dan Negeri Sembilan (17.2%).
2. EKSPORT
Sebanyak 63,429 tan metrik getah asli dieksport pada Mei 2013, kenaikan sebanyak 2,301 tan metrik (+3.8%) berbanding April 2013. Perbandingan dengan bulan yang sama pada 2012 menunjukkan eksport meningkat sebanyak 614 tan metrik (+1.0%). Getah Mutu Malaysia (G.M.M.) mendominasi 93.6 peratus daripada keseluruhan eksport getah asli di mana G.M.M. 20 merupakan yang tertinggi, 48.9 peratus.
Getah asli dieksport terutamanya ke Rep. Rakyat China (38.9%), diikuti oleh Jerman (14.0%), Rep. Islam Iran (7.8%), Amerika Syarikat (4.5%), Finland (4.2%), Brazil (2.9%), Afrika Selatan (2.2%) dan Portugal (2.1%). Jumlah eksport ke negara tersebut merangkumi 76.6 peratus daripada keseluruhan eksport getah asli.
3. IMPORT
Pada Mei 2013, jumlah getah asli yang diimport adalah sebanyak 71,264 tan metrik, bertambah 15,662 tan metrik (+28.2%) dari April 2013 dan 8,876 tan metrik (+14.2%) dari Mei 2012. Lateks Pekat dan Getah Berpiawaian merupakan jenis getah asli yang utama diimport, masing-masing sebanyak 38.9 peratus dan 36.4 peratus.
Getah asli diimport terutamanya dari Thailand sebanyak 51.3 peratus dan Viet Nam 16.1 peratus. Kedua-dua negara tersebut merangkumi 67.4 peratus daripada keseluruhan import getah asli pada Mei 2013.
4. PENGGUNAAN DOMESTIK
Jumlah penggunaan domestik getah asli direkod sebanyak 36,791 tan metrik pada Mei 2013. Berbanding April 2013, penggunaan domestik getah asli meningkat 1,441 tan metrik (+4.1%). Perbandingan tahun atas tahun juga menunjukkan kenaikan sebanyak 370 tan metrik (+1.0%).
Industri utama yang menggunakan getah asli pada Mei 2013 adalah sarung tangan getah 71.3 peratus, benang getah 8.3 peratus dan tayar & tiub 6.9 peratus. Ketiga-tiga industri ini merangkumi lebih separuh dari keseluruhan penggunaan getah asli negara dengan jumlah sebanyak 31,783 tan metrik (86.5%).
5. STOK
Pada Mei 2013, paras stok getah asli direkod sebanyak 122,908 tan metrik, jatuh sebanyak 19,104 tan metrik (-13.5%) berbanding paras stok pada bulan lepas. Namun begitu, paras stok mencatatkan peningkatan sebanyak 11.1 peratus apabila dibanding bulan yang sama tahun lepas.
6. HARGA PURATA BULANAN SEKILOGRAM
(Sebut Harga Pada Waktu Tengah Hari - "F.O.B")
Harga purata bulanan getah asli pada Mei 2013 menunjukkan kenaikan yang kecil berbanding bulan lepas. Harga purata lateks pekat dicatat sebanyak 584.02 sen, naik 2.77 sen (+0.5%) dari bulan April 2013 tetapi jatuh 135.03 sen (-18.8%) apabila dibandingkan dengan Mei 2012.
Harga purata bulanan bagi G.M.M. 20 pula direkod sebanyak 744.88 sen pada Mei 2013, susut 0.6 peratus bagi bulan atas bulan dan 27.7 peratus bagi tahun atas tahun.
7. GUNA TENAGA
Bilangan orang yang diambil bekerja di estet getah pada akhir Mei 2013 adalah seramai 12,868 orang di mana 12,864 adalah pekerja bergaji dengan gaji & upah yang dibayar sebanyak RM14.4 juta. Jumlah pekerja bergaji berkurangan sebanyak 0.2 peratus dari sebulan yang lepas tetapi naik 2.4 peratus dari setahun yang lepas.
8. PRODUKTIVITI
Produktiviti pengeluaran getah asli di estet meningkat sebanyak 31.8 peratus kepada 85.4 kilogram sehektar pada Mei 2013 berbanding dengan April 2013. Walau bagaimanapun, produktiviti menunjukkan penurunan yang kecil sebanyak 3.3 peratus bagi tahun atas tahun.
Nota:
1. Laporan ini boleh diperoleh daripada laman sesawang Jabatan Perangkaan Malaysia (http://www.statistics.gov.my) di bawah ruangan: Keluaran Statistik.
2. Data bagi bulan Mei 2013 merupakan data awalan. Data ini akan dikemaskini berdasarkan data terkini yang diperoleh dan akan diterbitkan dalam penerbitan Jun 2013.
Dikeluarkan oleh:
PEJABAT KETUA PERANGKAWAN MALAYSIA
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
12 JULAI 2013



