Saiz Huruf  Kecilkan saiz huruf  Set semula saiz huruf  Besarkan saiz huruf     Tukar ke variasi asal Tukar ke variasi biru Tukar ke variasi hijau

 

Keluaran Statistik TerkiniMuat Turun PercumaBercetak


Keluaran Dalam Negeri Kasar Suku Pertama 2013 (Kemas kini : 15/05/2013)


PERTUMBUHAN EKONOMI

Ekonomi Malaysia terus kekal stabil pada suku ini dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.1 peratus. Dari segi penawaran, semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif kecuali Perlombongan dan Pengkuarian. Pemangkin utama bagi ekonomi adalah sektor Perkhidmatan dan Pembinaan dengan pertumbuhan 5.9 peratus dan 14.7 peratus. Pada suku ini, Pembuatan mencatatkan pertumbuhan marginal 0.3 peratus.

Sementara itu, Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta (7.5 peratus) dan Pembentukan Modal Tetap Kasar (13.2 peratus) terus menjadi pendorong utama dari segi permintaan.


PERKHIDMATAN

Sektor Perkhidmatan berkembang kepada 5.9 peratus disokong oleh prestasi kukuh subsektor Perdagangan Borong & Runcit dan Kewangan & Insurans. Pertumbuhan Perdagangan Borong & Runcit pada 5.9 peratus didorong oleh aktiviti Runcit yang meningkat 6.9 peratus. Di samping itu, aktiviti Kewangan & Insurans meningkat 6.2 peratus dirangsang oleh pertumbuhan dua digit dalam aktiviti Insurans (16.8 peratus), terutamanya dalam insurans hayat.

Sementara itu, Komunikasi meningkat 9.0 peratus sebahagian besarnya disokong oleh perkhidmatan data komunikasi menerusi kadar penembusan jalur lebar yang semakin meningkat.


PEMBINAAN


Bagi tempoh lima suku tahunan berturut-turut, sektor Pembinaan terus mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Sektor ini mencatatkan pertumbuhan kukuh 14.7 peratus pada suku ini. Kejuruteraan Awam kekal sebagai pemangkin utama dengan pertumbuhan 36.2 peratus yang disokong oleh projek infrastruktur.

Selain itu, Kediaman meningkat 9.8 peratus dirangsang oleh projek pembangunan perumahan terutamanya di Lembah Klang dan Pulau Pinang.


PERTANIAN


Sektor Pertanian mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus disokong oleh Kelapa Sawit, Pertanian Lain dan Perikanan. Pengeluaran kelapa sawit yang tinggi telah menyumbang kepada pertumbuhan nilai ditambah Kelapa Sawit yang memberangsangkan sebanyak 14.6 peratus pada suku ini. Pertumbuhan kukuh bagi sayur-sayuran dan buah-buahan telah meningkatkan momentum Pertanian Lain, yang menyumbang 19.4 peratus kepada jumlah Pertanian.


PEMBUATAN

Sektor Pembuatan tumbuh pada kadar perlahan 0.3 peratus disebabkan oleh penurunan dalam subsektor produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik dan momentum yang lebih perlahan dalam subsektor yang lain.

Subsektor produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik menunjukkan penurunan prestasi kepada negatif 2.3 peratus sejak suku tahun kedua 2009. Pertumbuhan lemah ini adalah disebabkan oleh penurunan dalam pengeluaran petroleum bertapis. Walau bagaimanapun, pertumbuhan yang menggalakkan dalam Peralatan Pengangkutan & Pembuatan Lain dan produk Mineral Bukan Logam, Logam Asas & produk Logam yang Direka menyokong kepada pertumbuhan positif sektor ini.


PERLOMBONGAN DAN PENGKUARIAN


Sektor Perlombongan dan Pengkuarian menyusut kepada 1.9 peratus disebabkan oleh kejatuhan pengeluaran minyak mentah (-2.8 peratus) dan kondensat (-6.5 peratus). Di samping itu, pertumbuhan marginal gas asli tidak dapat mengimbangi kemerosotan prestasi sektor ini.


PERBELANJAAN PENGGUNAAN AKHIR


Perbelanjaan Penggunaan Akhir
mencatatkan pertumbuhan 6.1 peratus dari 4.9 peratus pada suku lepas.

Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta
meningkat 7.5 peratus berbanding 6.2 peratus pada suku keempat 2012. Pengembangan ini didorong oleh prestasi yang lebih baik dalam kebanyakan jenis perbelanjaan terutamanya pengangkutan & komunikasi, perumahan & utiliti dan makanan & minuman.

Perbelanjaan Penggunaan Akhir Kerajaan
tumbuh pada kadar lebih rendah 0.1 peratus berbanding 1.2 peratus pada suku sebelumnya. Pertumbuhan kecil ini disebabkan oleh kejatuhan dalam perbelanjaan ke atas bekalan dan perkhidmatan.


PEMBENTUKAN MODAL TETAP KASAR

Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) kekal kukuh 13.2 peratus dirangsang oleh perbelanjaan ke atas Struktur dan Jentera & Kelengkapan. Sektor Swasta yang menyumbang 62.4 peratus memacu PMTK dengan mencatatkan pertumbuhan 10.9 peratus. Sementara itu, sektor Awam tumbuh 17.3 peratus.


EKSPORT DAN IMPORT

Eksport jatuh kepada 0.6 peratus kesan daripada kelembapan prestasi dalam eksport barangan. Eksport barangan menyumbang 84.8 peratus kepada jumlah Eksport.

Di samping itu, Import meningkat 3.6 peratus, didorong oleh import barangan yang lebih tinggi terutamanya Jentera & Kelengkapan Pengangkutan, Bahan Api Galian & Pelincir dan Barang-barang Keluaran Kilang.


SEMAKAN

Anggaran KDNK tahunan pada tahun 2010 telah disemak berdasarkan kepada data daripada Banci Ekonomi 2011 (tahun rujukan 2010) dan sumber data lain.

Bagi tahun 2011, data berikut telah dimasukkan: Banci Petroleum dan Gas Asli; maklumat akaun tahunan bagi subsektor Utiliti dan Kewangan & Insurans; maklumat tahunan bagi ternakan, perikanan, perhutanan dan pertanian lain; Perangkaan Imbangan Pembayaran bagi Eksport & Import; Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta; dan PMTK.

Anggaran tahunan bagi tahun 2012 kekal sebagai jumlah empat suku tahunan kecuali perkhidmatan & penggunaan kerajaan, Eksport & Import dan Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta.

 

Muat Turun:Jadual 1 : Keluaran Dalam Negeri Kasar pada Harga Semasa - Suku Pertama 2013
Jadual 2 : Keluaran Dalam Negeri Kasar pada Harga Malar - Suku Pertama 2013


You are here