Saiz Huruf  Kecilkan saiz huruf  Set semula saiz huruf  Besarkan saiz huruf     Tukar ke variasi asal Tukar ke variasi biru Tukar ke variasi hijau
Keluaran Statistik TerkiniMuat Turun PercumaBercetak



PRESTASI IMBANGAN PEMBAYARAN SUKU TAHUNAN JANUARI - MAC, 2013 (Kemas kini: 15/05/2013)


PENGENALAN


Bermula suku pertama 2013, DOSM mula melaksanakan standard statistik antarabangsa yang terkini seperti yang ditetapkan dalam Manual Imbangan Pembayaran Edisi Keenam (BPM6), 2009 oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Penyusunan sebelum ini adalah berasaskan Manual Imbangan Pembayaran Edisi Kelima (BPM5), 1993 yang diterbitkan oleh organisasi yang sama. Data siri masa dari suku pertama 2005 juga diterbitkan berdasarkan BPM6.


Adaptasi semasa bagi BPM6 terutamanya melibatkan pengkelasan semula dan penelitian kepada data sedia ada. Pengkelasan semula yang utama dan format penerbitan antara BPM5 dan BPM6 masing-masing ditunjukkan di Lampiran I dan Lampiran II. Bagi tujuan memudahkan pengguna, data pelaburan langsung ditunjukkan mengikut asas aset & liabiliti (seperti BPM6) dan asas arah aliran (seperti BPM5).



AKAUN SEMASA


Pada tempoh Januari – Mac 2013, akaun semasa merekodkan lebihan yang lebih rendah RM8.7 bilion daripada RM22.9 bilion suku lepas. Ini terutamanya disebabkan oleh:

  • Akaun barangan
    Lebihan yang lebih rendah RM24.7 bilion (S4 2012: RM34.3 bilion); dan
  • Akaun pendapatan primer
    Aliran keluar bersih yang lebih tinggi RM8.8 bilion (S4 2012: -RM5.6 bilion).


Tahun-ke-tahun, lebihan pada akaun semasa berkurang sebanyak RM8.2 bilion kepada RM8.7 bilion daripada RM16.9 bilion dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas. Ini terutamanya disebabkan oleh lebihan yang berkurang pada akaun barangan sebanyak RM11.3 bilion daripada RM36.0 bilion tahun lepas.


Akaun Barangan


Pada suku berakhir Mac 2013, barangan mencatatkan lebihan yang lebih rendah RM24.7 bilion daripada RM34.3 bilion suku lepas. Ini disebabkan oleh nilai eksport f.o.b. yang lebih rendah dan nilai import f.o.b. yang lebih tinggi.

  • Eksport f.o.b. menyusut sebanyak RM7.3 bilion kepada RM169.4 bilion (S4 2012: RM176.7 bilion). Ini disumbangkan oleh permintaan yang perlahan untuk barangan elektrik & elektronik dan minyak sawit & hasil keluaran minyak sawit berbanding suku sebelumnya. Tiga negara utama destinasi eksport ialah Singapura, Jepun, dan Republik Rakyat China.
  • Import f.o.b. meningkat sebanyak RM2.4 bilion kepada RM144.8 bilion (S4 2012: RM142.4 bilion). Ini disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap import penggunaan akhir bagi barang perantaraan. Tiga sumber utama import ialah Republik Rakyat China, Singapura, dan Jepun.


Tahun-ke-tahun, akaun barangan merekodkan lebihan yang lebih rendah sebanyak RM11.3 bilion daripada RM36.0 bilion setahun lalu. Ini disebabkan peningkatan import f.o.b. yang lebih besar berbanding penurunan eksport f.o.b. dimana import f.o.b. meningkat kepada RM144.8 bilion (S1 2012: RM138.1 bilion) dan eksport f.o.b. merekodkan RM169.4 bilion (S1 2012: RM174.1 bilion).


Akaun Perkhidmatan


Pada S1 2013, eksport perkhidmatan mencatatkan RM29.8 bilion daripada RM31.6 bilion pada S4 2012, terutamanya terdiri daripada komponen berikut:

  • perjalanan RM16.1 bilion (S4 2012: RM17.1 bilion);
  • perkhidmatan perniagaan lain RM6.2 bilion (S4 2012: RM6.5 bilion);
  • pengangkutan RM3.3 bilion (S4 2012: RM3.5 bilion); dan
  • Perkhidmatan telekomunikasi, komputer, dan maklumat RM2.1 bilion (S4 2012: RM2.3 bilion).


Sementara itu, import perkhidmatan berkurang sebanyak RM0.6 bilion kepada RM33.2 bilion daripada RM33.8 bilion pada suku lepas, di mana:

  • pengangkutan RM10.2 bilion (S4 2012: RM10.2 bilion);
  • perjalanan RM9.2 bilion (S4 2012: RM9.5 bilion);
  • perkhidmatan perniagaan lain RM7.1 bilion (S4 2012: RM6.7 bilion); dan
  • perkhidmatan telekomunikasi, komputer, dan maklumat RM2.2 bilion (S4 2012: RM2.4 bilion).


Pada asas bersih, akaun perkhidmatan merekodkan bayaran bersih yang lebih tinggi RM3.4 bilion (S4 2012: -RM2.2 bilion).


Tahun-ke-tahun, eksport perkhidmatan   merekodkan   terimaan yang   lebih   tinggi   sebanyak    RM3.1 bilion   (11.5 peratus) daripada RM26.8 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas. Sementara itu, import merekodkan pembayaran yang lebih tinggi sebanyak RM1.4 bilion (4.4 peratus) daripada RM31.8 bilion.


Akaun Pendapatan Primer


Pada suku semasa, terimaan pendapatan primer (kredit) mencatatkan RM9.9 bilion daripada RM12.2 bilion pada S4 2012, yang mana:

  • pampasan pekerja RM1.0 bilion (S4 2012: RM1.1 bilion); dan
  • pendapatan pelaburan RM8.8 bilion (S4 2012: RM11.1 bilion).


Terimaan pendapatan pelaburan diperoleh daripada:

  • pelaburan langsung RM3.8 bilion (S4 2012: RM5.6 bilion), terutamanya dijana daripada sektor minyak & gas, kewangan & insurans, dan hiburan & rekreasi;
  • pelaburan portfolio RM0.4 bilion (S4 2012: RM1.2 bilion); dan
  • pelaburan lain RM4.7 bilion (S4 2012: RM4.3 bilion).


Sebaliknya, bayaran pendapatan primer (debit) mencatatkan RM18.7 bilion daripada RM17.8 bilion pada S4 2012, yang mana:

  • pampasan pekerja RM2.0 bilion (S4 2012: RM1.9 bilion); dan
  • pelaburan pendapatan RM16.7 bilion (S4 2012: RM15.8 bilion).


Bayaran pendapatan pelaburan adalah daripada:

  • pelaburan langsung RM13.3 bilion (S4 2012: RM12.1 bilion), terutamanya dijana daripada sektor pembuatan, minyak & gas, dan kewangan & insurans;
  • pelaburan portfolio RM3.0 bilion (S4 2012: RM3.0 bilion); dan
  • pelaburan lain RM0.4 bilion (S4 2012: RM0.7 bilion).


Pada asas bersih, aliran keluar pendapatan primer melebar sebanyak RM3.2 bilion kepada RM8.8 bilion daripada RM5.6 bilion direkodkan pada suku sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh aliran keluar bersih pendapatan pelaburan yang lebih tinggi RM7.9 bilion daripada RM4.7 bilion.


Tahun-ke-tahun, terimaan pendapatan primer meningkat sebanyak RM0.1 bilion (0.7 peratus) daripada RM9.8 bilion, terutamanya disebabkan oleh pendapatan pelaburan langsung yang lebih tinggi. Pada masa yang sama, bayaran pendapatan primer meningkat sebanyak RM0.2 bilion (1.2 peratus) daripada RM18.5 bilion tahun lepas. Pada asas bersih, akaun pendapatan primer merekodkan bayaran bersih yang lebih tinggi sebanyak RM0.1 bilion daripada RM8.7 bilion setahun lalu.


Pendapatan Sekunder


Pada tiga bulan pertama 2013, terimaan pendapatan sekunder menurun kepada RM1.5 bilion (S4 2012: RM1.7 bilion) manakala bayaran menunjukkan peningkatan RM5.3 bilion (S4 2012: RM5.2 bilion). Pendapatan sekunder merekodkan bayaran bersih lebih tinggi RM3.8 bilion (S4 2012: -RM3.5 bilion).


Tahun-ke-tahun, bayaran bersih pendapatan sekunder mengecil sebanyak RM1.5 bilion atau 28.5 peratus daripada RM5.4 bilion pada suku yang sama tahun lepas.



AKAUN MODAL


Pada S1 2013, akaun modal beralih arah kepada aliran keluar bersih   RM6.0 juta daripada aliran masuk   bersih   RM372.0 juta   pada S4 2012. Ini terutamanya disebabkan oleh bayaran bersih lebih tinggi pada pindahan modal sebanyak RM6.0 juta. Tahun-ke-tahun, akaun modal menunjukkan aliran keluar bersih yang lebih rendah sebanyak RM141.0 juta (S1 2012: -RM147.0 juta).



AKAUN KEWANGAN


Sepanjang Januari - Mac 2013, akaun kewangan beralih arah kepada aliran masuk bersih RM1.0 bilion daripada aliran keluar bersih RM10.3 bilion dilaporkan pada suku sebelumnya. Perubahan ini terutamanya disumbangkan oleh:

  • pelaburan langsung: aliran keluar bersih yang lebih rendah RM2.2 bilion daripada RM18.4 bilion; dan
  • pelaburan lain: aliran keluar bersih yang lebih rendah RM1.0 bilion daripada RM2.3 bilion.


Tahun-ke-tahun, akaun kewangan bertukar haluan kepada aliran masuk bersih sebanyak RM11.2 bilion daripada aliran keluar bersih RM10.3 bilion setahun lepas. Ini terutamanya disebabkan oleh:

  • pelaburan lain: aliran keluar bersih yang lebih rendah RM1.0 bilion daripada RM25.9 bilion; dan
  • pelaburan langsung: aliran keluar bersih yang lebih rendah RM2.2 bilion daripada RM9.5 bilion.


Pelaburan Langsung


Pelaburan langsung mencatatkan aliran keluar bersih RM2.2 bilion daripada RM18.4 bilion suku sebelumnya. Pecahan terperinci bagi pelaburan langsung disusun mengikut asas berikut:


i. Pelaburan langsung mengikut asas aset dan liabiliti:

  • Aset : aliran keluar RM11.5 bilion (S4 2012: -RM16.5 bilion); dan
  • Liabiliti : aliran masuk RM9.4 bilion (S4 2012: -RM1.9 bilion).


ii. Pelaburan langsung mengikut asas arah aliran:

  • DIA: aliran keluar bersih RM11.3 bilion (S4 2012: -RM24.3 bilion). Sektor utama yang menyumbang kepada DIA ialah kewangan & insurans, hiburan & rekreasi, dan pembuatan. Tiga negara utama pelaburan immediate adalah Isle of Man, United Kingdom, dan Singapura.
  • FDI di Malaysia: aliran masuk bersih yang lebih tinggi RM9.1 bilion (S4 2012: RM5.9 bilion). Aliran masuk FDI terutamanya disalurkan ke dalam sektor pembuatan, minyak & gas, dan kewangan & insurans. Tiga sumber utama FDI adalah Belanda, Singapura, dan Jepun.


Tahun-ke-tahun,   pelaburan   langsung   mencatatkan   aliran   keluar   bersih   yang   lebih   rendah sebanyak   RM7.3 bilion   daripada RM9.5 bilion pada S1 2012. Ini disumbangkan oleh:

  • DIA: aliran keluar bersih yang lebih rendah sebanyak RM6.7 bilion kepada RM11.3 bilion (S1 2012: RM18.0 bilion); dan
  • FDI di Malaysia: aliran masuk bersih yang lebih tinggi sebanyak RM0.5 bilion kepada RM9.1 bilion (S1 2012: RM8.6 bilion).


Pelaburan Portfolio


Pelaburan portfolio mencatatkan aliran masuk bersih yang lebih rendah RM3.9 bilion daripada RM10.4 bilion sebelumnya, di mana:

  • Aset : aliran keluar RM5.3 bilion (S4 2012: -RM4.1 bilion); dan
  • Liabiliti : aliran masuk RM9.2 bilion (S4 2012: RM14.5 bilion).


Tahun-ke-tahun, pelaburan portfolio mencatatkan aliran masuk bersih yang lebih rendah daripada RM25.1 bilion kepada RM3.9 bilion.


Pelaburan Lain


Pada suku semasa, pelaburan lain mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih rendah RM1.0 bilion daripada -RM2.3 bilion. Ini disebabkan oleh aliran keluar bersih yang lebih kecil pada sektor swasta kepada RM0.2 bilion daripada RM1.7 bilion.


Sementara   tahun-ke-tahun,   pelaburan   lain   mencatat   aliran   keluar   bersih yang   lebih   rendah   sebanyak RM24.9 bilion daripada -RM25.9 bilion.



ASET RIZAB


Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia sehingga akhir Mac 2013 adalah RM431.2 bilion, peningkatan sebanyak RM4.0 bilion berbanding suku sebelumnya.

 

Lampiran I

PENGKELASAN SEMULA YANG UTAMA DARIPADA BPM5 KEPADA BPM6

 

ITEM DALAM BPM5

PENGKELASAN SEMULA KE BPM6

Pembaikan barangan di bawah akaun Barangan

Dikelaskan semula di bawah akaun Perkhidmatan dan dinamakan sebagai Penyenggaraan dan pembaikan t.t.t.l.

Perdagangan merchanting di bawah Perkhidmatan perniagaan lain

Dikelaskan semula kepada akaun Barangan dan dinamakan sebagai Eksport bersih di bawah merchanting

Perkhidmatan pos dan kurier termasuk di bawah Perkhidmatan komunikasi

Dikelaskan semula kepada Pengangkutan

Royalti dan yuran lesen

Dinamakan semula kepada Caj penggunaan harta intelek t.t.t.l

i. Perkhidmatan komunikasi
ii. Perkhidmatan komputer dan informasi

Digabungkan kepada kategori baru Perkhidmatan telekomunikasi, komputer, dan informasi

Pendapatan

Dinamakan semula kepada Pendapatan primer

Pindahan semasa

Dinamakan semula kepada Pendapatan sekunder

Pindahan migran di bawah akaun Modal

Pindahan migran di keluarkan daripada akaun Modal

Pelaburan langsung disusun mengikut asas aliran

Pelaburan langsung disusun mengikut asas aset dan liabiliti

 

 

Lampiran II

 

FORMAT PENERBITAN IMBANGAN PEMBAYARAN DALAM BPM5 DAN BPM6

 

BPM 5

BPM 6

AKAUN SEMASAAKAUN SEMASA
BaranganBarangan
PerkhidmatanPerkhidmatan
 Perkhidmatan penyenggaraan dan pembaikan t.t.t.l.
PengangkutanPengangkutan
PerjalananPerjalanan
PembinaanPembinaan
Perkhidmatan insurans dan pencenPerkhidmatan insurans dan pencen
Perkhidmatan kewanganPerkhidmatan kewangan

Perkhidmatan komunikasi

Perkhidmatan komputer dan maklumat

Perkhidmatan telekomunikasi, komputer, dan maklumat
Royalti dan yuran lesenCaj penggunaan harta intelek t.t.t.l.
Perkhidmatan perniagaan lainPerkhidmatan perniagaan lain
Perkhidmatan personal, kebudayaan, dan rekreasiPerkhidmatan personal, kebudayaan, dan rekreasi
Urus niaga kerajaan t.t.t.l.Barangan dan perkhidmatan kerajaan t.t.t.l.
PendapatanPendapatan primer
Pampasan pekerjaPampasan pekerja
Pendapatan pelaburanPendapatan pelaburan
Pindahan semasaPendapatan sekunder
AKAUN MODAL AKAUN MODAL
Pindahan modalPindahan modal
Pembelian/penjualan aset bukan kewangan bukan pengeluaranPembelian/penjualan kasar aset bukan kewangan bukan pengeluaran
AKAUN KEWANGAN AKAUN KEWANGAN
Pelaburan langsungPelaburan langsung
Di luar negeriAset
Di MalaysiaLiabiliti
Pelaburan portfolio Pelaburan portfolio
 Aset
 Liabiliti
Derivatif kewanganDerivatif kewangan
Pelaburan lainPelaburan lain
ASET RIZABASET RIZAB

 

Muat Turun:
Jadual 1: Imbangan Pembayaran Suku Tahunan (Bersih), 2010 - 2013
Jadual 2: Akaun Semasa, 2010 - 2013
Jadual 3: Akaun Modal, Akaun Kewangan Dan Aset Rizab, 2010 - 2013



You are here