| Keluaran Statistik Terkini | Muat Turun Percuma | Bercetak |
Ringkasan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Februari 2013 (Kemas kini: 12/04/2013)
1. PENGELUARAN
Pada Februari 2013, pengeluaran getah asli adalah sebanyak 77,137 tan metrik, menurun 11,329 tan metrik (-12.8%) daripada Januari 2013. Perbandingan tahun atas tahun juga menunjukkan penurunan sebanyak 10,940 tan metrik (-12.4%). Sektor Estet hanya menyumbang sebanyak 5.6 peratus daripada keseluruhan pengeluaran manakala sumbangan daripada sektor kebun kecil adalah sebanyak 94.4 peratus. Negeri yang mengeluarkan getah asli tertinggi di estet adalah Negeri Sembilan (21.9%), diikuti Kedah (19.2%) dan Perak (17.5%).
2. EKSPORT
Pada Februari 2013, eksport getah asli negara berjumlah 61,599 tan metrik, iaitu menurun sebanyak 9.7 peratus berbanding dengan bulan sebelumnya. Walau bagaimanapun, ia menurun sebanyak 3.8 peratus (2,444 tan metrik) jika dibandingkan bulan yang sama bagi tahun 2012. Dari keseluruhan eksport getah asli tersebut, 93.7 peratus disumbang oleh Getah Mutu Malaysia (G.M.M.) dengan 65.4 peratus terdiri dari G.M.M. 20.
Getah asli dieksport terutamanya ke Rep. Rakyat China (50.7%), diikuti oleh Jerman (13.5%), Rep. Korea (3.9%), Rep. Islam Iran (3.6%), Amerika Syarikat (2.5%), Portugal (2.2%), Brazil dan Finland masing-masing 2.0 peratus.
3. IMPORT
Pada Februari 2013, sebanyak 75,680 tan metrik getah asli telah diimport, pengurangan sebanyak 15,801 tan metrik (-17.3%) dari bulan sebelumnya. Namun begitu, import meningkat 17.6 peratus apabila dibanding dengan Februari 2012. Getah Berpiawaian dan Lateks Pekat merupakan jenis getah asli yang utama diimport, masing-masing sebanyak 24.0 peratus dan 32.8 peratus.
Pembekal utama getah asli adalah Thailand (60.5%) dan Viet Nam (12.7%). Kedua-dua negara tersebut merangkumi 73.2 peratus daripada keseluruhan import getah asli.
4. PENGGUNAAN DOMESTIK
Penggunaan domestik getah asli pada Februari 2013 adalah sebanyak 33,587 tan metrik, turun 4,069 tan metrik (-10.8%) daripada Januari 2013. Begitu juga, pengurangan sebanyak 1,447 tan metrik (-4.1%) telah direkod apabila dibanding dengan bulan yang sama setahun yang lepas.
Industri terbesar yang mengguna getah asli adalah industri sarung tangan dengan jumlah sebanyak 24,033 tan metrik (71.6%), diikuti benang getah (9.0%) dan tayar & tiub (5.8%). Ketiga-tiga industri ini merangkumi lebih separuh dari keseluruhan penggunaan getah asli negara dengan jumlah sebanyak 29,003 tan metrik (86.4%).
5. STOK
Pada akhir Februari 2013, paras stok getah asli meningkat sebanyak 3,982 tan metrik (+2.1%) daripada paras stok bulan Januari 2013 kepada 192,879 tan metrik. Stok meningkat sebanyak 34,924 tan metrik (+22.1%) berbanding bulan yang sama tahun lepas.
6. STOKHARGA PURATA BULANAN SEKILOGRAM
(Sebut Harga Pada Waktu Tengah Hari - "F.O.B")
Pada Februari 2013, harga purata bulanan lateks pekat direkod sebanyak 615.26 sen sekilogram, naik 1.06 sen (+0.2%) daripada bulan lepas tetapi jatuh 160.74 sen (-20.7%) apabila dibanding dengan Februari 2012.
Harga purata bulanan bagi G.M.M. 20 pula dicatat sebanyak 926.38 sen sekilogram, naik 16.40 sen (+1.8%) daripada Januari 2013. Berbanding dengan setahun lepas, harga purata G.M.M. pada bulan ini masih rendah sebanyak 183.12 sen (-16.5%).
7. GUNA TENAGA
Pada akhir Februari 2013, jumlah pekerja yang diambil bekerja di estet getah adalah seramai 12,537 orang. Daripada jumlah ini, bilangan pekerja bergaji adalah seramai 12,533 orang dengan gaji & upah berjumlah RM14.1 juta. Bilangan pekerja bergaji susut 2.0 peratus dari bulan lepas dan 1.8 peratus dari setahun lepas.
8. PRODUKTIVITI
Produktiviti pengeluaran getah asli di estet dicatat sebanyak 103.5 kilogram sehektar pada Februari 2013. Produktiviti pengeluaran menunjukkan penurunan apabila dibanding bulan atas bulan dan tahun atas tahun dengan masing-masing sebanyak 45.1 kilogram sehektar (-30.3%) dan 23.0 kilogram sehektar (-18.2%).
Nota:
1. Laporan ini boleh didapati daripada Laman Web Jabatan Perangkaan Malaysia (http://www.statistics.gov.my) di bawah ruangan: Keluaran Statistik.
2. Data bagi bulan Februari 2013 merupakan data awalan. Data ini akan dikemaskini berdasarkan data terkini yang diperoleh dan akan diterbitkan dalam penerbitan bulan Mac 2013.



