| Keluaran Statistik Terkini | Muat Turun Percuma | Bercetak |
Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia Disember 2012 (Kemaskini:08/02/2013)
PRESTASI BULAN DISEMBER 2012
1. NILAI JUALAN
Nilai jualan pada Disember 2012 mencatatkan peningkatan sebanyak 6.0% (RM2.9 bilion) kepada RM51.9 bilion berbanding RM48.9 bilion yang dilaporkan tahun sebelumnya. Manakala bulan ke bulan, nilai jualan juga meningkat sebanyak 1.9% (RM0.9 bilion) pada bulan Disember 2012 berbanding bulan November 2012. Nilai jualan pada bulan November 2012 dikemaskini kepada positif 7.1% tahun ke tahun kepada RM50.9 bilion.
Berdasarkan pelarasan musim, nilai jualan pada bulan Disember 2012 mencatatkan penurunan sebanyak 1.7% berbanding bulan sebelumnya.
Pertumbuhan nilai jualan pada bulan semasa berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya adalah disebabkan oleh peningkatan dalam 59 daripada 116 industri (50.9%) yang diliputi dalam penyiasatan. Nilai jualan juga meningkat pada bulan semasa berbanding bulan sebelumnya akibat peningkatan dalam 56 daripada 116 industri (48.3%). Jadual 1 dan 2 berikut menunjukkan peratus perubahan nilai jualan bagi lima (5) industri utama.
2. BILANGAN PEKERJA
Jumlah pekerja pada bulan Disember 2012 adalah seramai 1,020,265 orang, menurun sebanyak 1,166 orang atau 0.1% berbanding dengan bulan sebelumnya. Tahun ke tahun, bilangan pekerja pula mencatatkan peningkatan sebanyak 16,339 orang atau 1.6% berbanding dengan 1,003,926 orang pada Disember 2011. Bilangan pekerja pada bulan November 2012 dikemaskini kepada positif 1.4% tahun ke tahun kepada 1,021,431 orang.
3. GAJI & UPAH
Berdasarkan bulan ke bulan, nilai gaji & upah yang dibayar pada bulan Disember 2012 meningkat sebanyak 6.9% (RM178.6 juta) kepada RM2,760.3 juta. Sementara, jumlah gaji & upah yang dibayar pada bulan Disember 2012 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya juga telah meningkat sebanyak 6.1% (RM157.9 juta). Nilai gaji & upah yang dibayar pada bulan November 2012 dikemaskini kepada positif 9.8% tahun ke tahun kepada RM2,581.7 juta.
4. PURATA GAJI & UPAH SETIAP PEKERJA
Berdasarkan bulan ke bulan, purata gaji & upah yang dibayar bagi setiap pekerja pada bulan Disember 2012 meningkat sebanyak 7.0% kepada RM2,705. Purata gaji & upah setiap pekerja pada bulan Disember 2012 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya juga mencatatkan peningkatan sebanyak 4.4%. Purata gaji & upah pada bulan November 2012 dikemaskini kepada positif 8.3% tahun ke tahun kepada RM2,528.
5. PRODUKTIVITI
Berdasarkan bulan ke bulan, purata nilai jualan bagi setiap pekerja atau produktiviti pada bulan Disember 2012 meningkat sebanyak 2.0% kepada RM50,834. Manakala produktiviti pada bulan Disember 2012 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya juga mencatatkan peningkatan sebanyak 4.3%. Nilai produktiviti pada bulan November 2012 dikemaskini kepada positif 5.6% tahun ke tahun kepada RM49,847.
PRESTASI DALAM TEMPOH JANUARI – DISEMBER 2012
Pada tempoh Januari - Disember 2012, nilai jualan sektor Pembuatan mencatatkan peningkatan sebanyak 5.5% (RM32.2 bilion) kepada RM622.3 bilion seperti ditunjukkan dalam Jadual 3. Bilangan pekerja juga meningkat sebanyak 1.6% (16,339 orang) kepada 1,020,265 orang. Secara kumulatif, produktiviti atau purata nilai jualan bagi setiap pekerja pada tempoh rujukan turut meningkat sebanyak 3.8% kepada RM609,986.
Nota :
* 1. Laporan ini boleh diperoleh daripada laman sesawang Jabatan Perangkaan Malaysia (http://www.statistics.gov.my) di bawah ruangan: Keluaran Statistik.
2. Data bagi bulan Disember 2012 merupakan data awalan. Data ini akan dikemaskini dalam penerbitan bulan Januari 2013.



