Keluaran Dalam Negeri Kasar Suku Kedua 2012 (Kemas kini : 15/08/2012)
PERTUMBUHAN EKONOMI
Ekonomi Malaysia mengukuh kepada 5.4 peratus berbanding 4.9 peratus pada suku sebelumnya diterajui oleh pengembangan berterusan dalam sektor Perkhidmatan dan Pembuatan. Dari segi permintaan, pertumbuhan yang memberangsangkan dipacu oleh Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK).
PERKHIDMATAN
Sektor Perkhidmatan meningkat kepada 6.3 peratus disokong oleh Perdagangan Borong & Runcit dan Kewangan & Insurans. Pertumbuhan 5.9 peratus Perdagangan Borong & Runcit diterajui oleh segmen Runcit. Di samping itu, pertumbuhan segmen Kenderaan Bermotor meningkat kepada 8.4 peratus pada suku ini (S1 2012: 0.2 peratus) disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor yang lebih tinggi.
Kewangan & Insurans berkembang kepada 6.6 peratus dirangsang oleh pendapatan berasaskan fi yang lebih tinggi bagi aktiviti perbankan dan peningkatan dalam pendapatan premium bagi aktiviti insurans. Sementara itu, Perkhidmatan Perniagaan meningkat kepada 8.8 peratus didorong oleh perkhidmatan profesional yang berkaitan dengan aktiviti kejuruteraan.
PEMBUATAN
Sektor Pembuatan meningkat kepada 5.6 peratus pada suku ini. Produk Petroleum, Kimia, Getah dan Plastik (9.6 peratus) merupakan pemangkin utama susulan daripada pengeluaran yang lebih tinggi dalam produk petroleum bertapis.
Selain itu, Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain mencatatkan pertumbuhan 7.5 peratus diterajui oleh pertumbuhan dua digit pengeluaran kenderaan bermotor. Elektrik & Elektronik tumbuh 3.5 peratus berbanding marginal 0.4 peratus pada suku yang lepas. Pertumbuhan ini selaras dengan permintaan yang semakin baik terutamanya dari Amerika Syarikat, Jepun dan China.
PEMBINAAN
Sektor Pembinaan menunjukkan perkembangan sangat baik pada 22.2 peratus berbanding 15.5 peratus pada suku lepas. Pertumbuhan ini diterajui oleh prestasi kukuh dalam Kejuruteraan Awam dan Kediaman.
Pertumbuhan memberangsangkan bagi Kejuruteraan Awam 39.8 peratus didorong oleh projek infrastruktur utama khususnya di Sabah, Melaka, Pulau Pinang dan Perak. Pada suku ini, momentum Kediaman terus mengukuh 20.1 peratus didorong oleh projek-projek kediaman mewah di Lembah Klang.
PERLOMBONGAN DAN KUARI
Pertumbuhan nilai ditambah sebanyak 2.3 peratus dalam sektor Perlombongan dan Kuari disokong oleh pengeluaran minyak mentah yang lebih tinggi pada 8.8 peratus. Walau bagaimanapun, pengeluaran gas asli semakin menurun kepada 4.4 peratus.
PERTANIAN
Sektor Pertanian menguncup kepada 4.7 peratus disebabkan oleh penurunan pengeluaran Kelapa Sawit, Perhutanan dan Getah. Kelapa Sawit mencatatkan pertumbuhan negatif 17.5 peratus disebabkan oleh kemerosotan hasil buah tandan segar. Penurunan yang lebih kecil 2.1 peratus dicatatkan Perhutanan berikutan daripada kejatuhan pengeluaran balak pada 3.5 peratus. Musim luruh dan penurunan harga telah menyumbang kepada pertumbuhan negatif Getah 2.1 peratus.
Walau bagaimanapun, Pertanian Lain meningkat kepada 9.6 peratus disokong oleh sayur-sayuran, padi dan buah-buahan. Ternakan merekodkan pertumbuhan 7.7 peratus disokong oleh ternakan ayam & itik dan lembu.
PERBELANJAAN PENGGUNAAN AKHIR
Perbelanjaan Penggunaan Akhir tumbuh sebanyak 8.9 peratus daripada 7.4 peratus pada suku pertama 2012.
Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta mencatatkan pertumbuhan 8.8 peratus diterajui oleh Pengangkutan, Komunikasi dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol. Prestasi Pengangkutan (10.1 peratus) yang memberangsangkan disokong oleh peningkatan pembelian kenderaan bermotor. Perbelanjaan yang semakin meningkat bagi peralatan telekomunikasi, jalur lebar dan perkhidmatan internet digambarkan dalam Komunikasi (13.3 peratus). Sementara itu, Perbelanjaan Penggunaan Akhir Kerajaan meningkat 9.4 peratus disebabkan oleh perbelanjaan yang lebih tinggi bagi bekalan dan perkhidmatan.
PEMBENTUKAN MODAL TETAP KASAR
Pembentukan Modal Tetap Kasar mencapai tingkat pertumbuhan lebih tinggi 26.1 peratus daripada 16.1 peratus pada suku sebelumnya. Peningkatan dirangsang oleh perbelanjaan bagi Struktur dan Jentera & Kelengkapan yang selari dengan prestasi memberangsangkan dalam sektor Pembinaan. Di samping itu, pelaburan yang signifikan dalam aktiviti minyak & gas telah meningkatkan lagi pertumbuhan PMTK.
Sektor swasta memacu pertumbuhan PMTK pada 24.6 peratus dengan sumbangan sebanyak 64.8 peratus. Sementara itu, sektor Awam meningkat kepada 28.9 peratus dengan sumbangan sebanyak 35.2 peratus kepada PMTK.
EKSPORT DAN IMPORT
Eksport mencatatkan pertumbuhan 2.1 peratus disokong terutamanya oleh produk Jentera & Kelengkapan Pengangkutan; Bahan Api Galian & Pelincir dan Bahan Kimia.
Sementara itu, Import meningkat kepada 8.1 peratus didorong oleh peningkatan import Jentera & Kelengkapan Pengangkutan dan Bahan Api Galian & Pelincir.
SEMAKAN
Data bagi suku pertama 2012 telah disemak semula terutamanya dalam sektor-sektor berikut: Perkhidmatan, Pembuatan, Perbelanjaan Penggunaan Akhir Kerajaan dan Import.