| Keluaran Statistik Terkini | Muat Turun Percuma |
Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia 2011 (Kemas kini : 06/06/2012)
Keseluruhan
Pada akhir 2011, jumlah aset di luar negeri berkembang sebanyak 19.2 peratus kepada RM1.1 trilion daripada RM901.6 bilion pada 2010. Ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan kedudukan aset rizab sebanyak 28.8 peratus, pelaburan portfolio 15.7 peratus, pelaburan lain 13.2 peratus, dan DIA 12.9 peratus. Aset rizab kekal sebagai penyumbang terbesar dalam jumlah aset di luar negeri sebanyak 39.4 peratus, diikuti oleh DIA 31.4 peratus, pelaburan lain 16.7 peratus, pelaburan portfolio 11.9 peratus, dan derivatif kewangan 0.6 peratus. Jumlah aset di luar negeri melebar hampir lima kali ganda daripada RM226.6 bilion yang direkodkan sedekad yang lalu.

Sementara itu, jumlah liabiliti asing yang terkumpul meningkat sebanyak 16.7 peratus kepada RM1.0 trilion berbanding RM888.4 bilion setahun lalu. Dari segi jenis pelaburan, pelaburan lain meningkat 23.2 peratus, FDI 16.3 peratus, dan pelaburan portfolio 14.0 peratus. Daripada jumlah itu, pelaburan portfolio merupakan penyumbang terbesar iaitu 43.6 peratus, diikuti oleh FDI 35.1 peratus, pelaburan lain 20.7 peratus, dan derivatif kewangan 0.6 peratus. Bagi tempoh 2001 hingga 2011, jumlah liabiliti asing berkembang sebanyak 184.7 peratus daripada RM364.2 bilion pada 2001.
Dengan itu, IIP Malaysia 2011 mencatatkan kedudukan aset bersih RM37.7 bilion (4.3 peratus daripada KDNK pada harga semasa), meningkat sebanyak RM24.6 bilion daripada RM13.1 bilion pada 2010. Ini merupakan tahun keempat berturut-turut di mana jumlah aset di luar negeri melebihi jumlah liabiliti asing.
Pelaburan Langsung
Stok DIA berkembang sebanyak RM38.7 bilion untuk berada pada RM337.5 bilion pada 2011 daripada RM298.8 bilion yang dicapai setahun lalu. Peningkatan tersebut terutamanya disebabkan oleh modal ekuiti & pendapatan dilabur semula sebanyak RM23.7 bilion (11.7 peratus). Dari segi nisbah, modal ekuiti & pendapatan dilabur semula menyumbang 66.9 peratus sementara selebihnya disumbang oleh modal lain. Sejumlah besar daripada pelaburan dijana terutamanya oleh syarikat Malaysia dalam sektor kewangan & insurans sebanyak 28.9 peratus, diikuti sektor minyak & gas 27.3 peratus, dan sektor pertanian 10.1 peratus. Tiga destinasi utama DIA adalah Singapura, Indonesia, dan Mauritius.

Paras FDI di Malaysia pada 2011 meningkat kepada RM363.9 bilion daripada RM313.0 bilion pada 2010, iaitu peningkatan sebanyak RM50.9 bilion atau 16.3 peratus. Komponen modal ekuiti & pendapatan dilabur semula merupakan bahagian terbesar berjumlah RM341.6 bilion atau 93.9 peratus. Sektor pembuatan kekal sebagai penerima utama FDI sebanyak 47.5 peratus, diikuti oleh sektor kewangan & insurans 22.4 peratus, dan sektor perdagangan borong & runcit 8.3 peratus. Tiga sumber teratas FDI adalah dari Singapura, Jepun, dan USA.
Pada asas bersih, FDI menunjukkan kedudukan yang lebih tinggi berbanding DIA untuk mencatat kedudukan pelaburan langsung bersih -RM26.5 bilion (2010: -RM14.2 bilion). Modal ekuiti & pendapatan dilabur semula merekodkan kedudukan bersih -RM115.7 bilion (2010: -RM91.8 bilion). Sebaliknya, modal lain menunjukkan kedudukan bersih yang positif iaitu +RM89.2 bilion daripada +RM77.5 bilion pada 2010.
Pelaburan Portfolio

Bagi tempoh 2001 - 2011, kedudukan aset pelaburan portfolio meningkat daripada RM6.2 bilion kepada RM128.0 bilion. Tahun-ke-tahun, kedudukan portfolio meningkat sebanyak RM17.3 bilion atau 15.7 peratus daripada RM110.7 bilion. Kedua-dua sekuriti ekuiti dan sekuriti hutang yang dipegang oleh residen masing-masing menyumbang sebanyak RM84.4 bilion (65.9 peratus) dan RM43.6 bilion (34.1 peratus).
Pada 2011, jumlah nilai stok liabiliti pelaburan portfolio melebar kepada RM451.8 bilion (2010: RM396.3 bilion) disebabkan perolehan asing bagi kedua-dua sekuriti ekuiti dan sekuriti hutang yang diterbitkan oleh residen. Kedua-dua sekuriti ekuiti dan sekuriti hutang masing-masing meningkat sebanyak RM8.3 bilion kepada RM211.5 bilion dan RM47.2 bilion kepada RM240.3 bilion. Daripada jumlah liabiliti pelaburan portfolio, sekuriti ekuiti membentuk 46.8 peratus sementara sekuriti hutang 53.2 peratus.
Pada asas bersih, pelaburan portfolio menunjukkan kedudukan liabiliti bersih RM323.8 bilion (2010: -RM285.6 bilion), yang mana liabiliti bersih sekuriti ekuiti berjumlah RM127.1 bilion (2010: -RM126.0 bilion) dan liabiliti bersih sekuriti hutang RM196.7 bilion (2010: -RM159.7 bilion).
Pelaburan Lain

Kedudukan aset pelaburan lain pada akhir Disember 2011 meningkat kepada RM179.1 bilion, pertumbuhan positif sebanyak RM20.9 bilion atau 13.2 peratus daripada tahun sebelumnya. Sebahagian besar pelaburan terkumpul telah disumbangkan oleh deposit dan juga pinjaman.
Pada akhir tahun semasa, kedudukan liabiliti pelaburan lain meningkat kepada RM214.9 bilion (2010: RM174.5 bilion), naik sebanyak RM40.5 bilion atau 23.2 peratus. Deposit dari luar negeri yang disimpan di bank tempatan merupakan komponen terbesar dalam pelaburan lain.
Pada asas bersih, pelaburan lain terus mencatat kedudukan liabiliti bersih RM35.8 bilion daripada RM16.3 bilion pada 2010.
Aset Rizab

Kedudukan aset rizab meningkat sebanyak RM94.7 bilion atau 28.8 peratus untuk berada pada RM423.3 bilion (2010: RM328.6 bilion).
| Muat Turun : | Jadual : Malaysia - Kedudukan Pelaburan Antarabangsa, 2001-2011 | ||
| Nota Teknikal | |||





