| Keluaran Statistik Terkini | Muat Turun Percuma | Bercetak |
Keluaran Dalam Negeri Kasar Suku Pertama 2012 (Kemaskini : 23/05/2012)
PERTUMBUHAN EKONOMI
Ekonomi Malaysia tumbuh 4.7 peratus pada suku ini berbanding 5.2 peratus pada suku sebelumnya.Dari segi penawaran, kesemua sektor ekonomi merekodkan pertumbuhan positif dengan sektor Perkhidmatan dan Pembuatan kekal sebagai pemangkin utama.
Dari segi permintaan, Penggunaan Akhir Swasta dan Pembentukan Modal Tetap Kasar yang kukuh telah mendorong pertumbuhan ekonomi.
PERKHIDMATAN
Sektor Perkhidmatan merekodkan pertumbuhan 5.0 peratus didorong oleh Perdagangan Borong & Runcit dan Komunikasi. Pertumbuhan 6.4 peratus dalam Perdagangan Borong & Runcit disokong oleh peningkatan dalam segmen Runcit terutamanya bagi kelengkapan & peralatan rumah, produk kesihatan dan produk penjagaan diri. Manakala Komunikasi yang berkembang kepada 9.4 peratus disokong oleh peningkatan penggunaan dalam perkhidmatan telefon bimbit dan data komunikasi. Aktiviti pembinaan dan cari gali minyak & gas yang kukuh pada suku ini telah merangsang pertumbuhan dalam Perkhidmatan Perniagaan.
PEMBUATAN
Sektor Pembuatan meningkat kepada 4.2 peratus pada suku ini. Pertumbuhan ini disokong terutamanya dengan pertumbuhan 5.6 peratus dalam Produk Petroleum, Kimia, Getah dan Plastik disebabkan oleh pemulihan dalam pengeluaran produk petroleum bertapis. Produk Mineral Bukan Logam, Logam Asas & Logam terus mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 10.2 peratus diterajui oleh pertumbuhan yang kukuh dalam produk logam yang direka dan mineral bukan logam.
PEMBINAAN
Pertumbuhan kukuh 15.5 peratus telah direkodkan dalam sektor Pembinaan susulan daripada pertumbuhan 7.5 peratus pada suku lepas. Pertumbuhan ini diterajui oleh prestasi kukuh dalam Kediaman, Kejuruteraan Awam, Bukan Kediaman dan Pertukangan Khas. Kediaman terus mengukuh kepada 24.1 peratus didorong oleh projek kediaman mewah.
PERTANIAN
Sektor Pertanian tumbuh dengan kadar lebih perlahan 2.1 peratus berbanding 6.9 peratus pada suku sebelumnya. Pertumbuhan perlahan ini didorong oleh kejatuhan dalam pengeluaran Getah dan Perikanan. Walau bagaimanapun, Ternakan masih menunjukkan pertumbuhan menggalakkan 11.0 peratus sementara Perhutanan kembali positif kepada 5.4 peratus berbanding negatif 6.3 peratus yang dicatatkan pada suku lepas. Kelapa Sawit mencatatkan pertumbuhan 3.5 peratus pada suku ini.
PERLOMBONGAN DAN KUARI
Perlombongan dan Kuari pulih daripada negatif 3.8 peratus kepada 0.3 peratus disebabkan oleh pemulihan dalam pengeluaran minyak mentah kepada 1.3 peratus. Penurunan yang kecil direkodkan dalam pengeluaran gas asli (-0.2 peratus), manakala pengeluaran kondensat kekal lemah dengan mencatatkan negatif 4.2 peratus.
PERBELANJAAN PENGGUNAAN AKHIR
Perbelanjaan Penggunaan Akhir mencatatkan pertumbuhan 7.1 peratus berbanding 11.1 peratus pada suku sebelumnya.
Perbelanjaan Penggunaan Akhir Swasta mengekalkan pertumbuhan 7.4 peratus. Pengembangan ini disokong terutamanya oleh perbelanjaan ke atas Makanan & Minuman Bukan Beralkohol, Komunikasi dan Pelbagai Barang & Perkhidmatan. Sementara itu, Perbelanjaan Penggunaan Akhir Kerajaan tumbuh 5.9 peratus.
PEMBENTUKAN MODAL TETAP KASAR
Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) melonjak kepada 16.1 peratus pada suku ini berbanding 8.4 peratus pada suku sebelumnya. Peningkatan kukuh ini disokong oleh perbelanjaan ke atas Struktur dan Jentera & Kelengkapan di mana ini selari dengan pertumbuhan pesat sektor Pembinaan.
Sektor Swasta yang meningkat kepada 19.8 peratus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan PMTK. Sementara itu, sektor Awam meningkat kepada 10.3 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 1.9 peratus pada suku sebelumnya. Pada suku ini, sumbangan PMTK bagi sektor Swasta ialah 63.9 peratus manakala sektor Awam ialah 36.1 peratus.
EKSPORT DAN IMPORT
Eksport merekodkan pertumbuhan 2.8 peratus pada suku ini, disumbangkan terutamanya oleh produk Petroleum, Barang-barang Keluaran Kilang dan Bahan Kimia.
Sementara itu, peningkatan 6.8 peratus dalam Import dipacu oleh peningkatan import bagi Jentera & Kelengkapan Pengangkutan, Bahan Api Galian & Pelincir dan Bahan Kimia.
SEMAKAN
Data daripada suku pertama 2005 sehingga suku keempat 2011 telah disemak selari dengan pengasasan semula KDNK kepada tahun asas 2005.
| Muat Turun: | Jadual 1 : Keluaran Dalam Negeri Kasar Pada Harga Semasa - Suku Pertama 2012 |
| Jadual 2 : Keluaran Dalam Negeri Kasar Pada Harga Malar - Suku Pertama 2012 |



