| Keluaran Statistik Terkini |
Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia 2010 (Kemas kini : 22/06/2011)
Keseluruhan
Pada akhir 2010, kedudukan pelaburan antarabangsa Malaysia berbanding dengan negara-negara lain mencatatkan aset bersih RM13.3 bilion mewakili 1.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada harga semasa. Berbanding tahun lepas, kedudukan aset bersih berkurang sebanyak RM92.5 bilion. Kedudukan aset bersih yang lebih rendah ini disebabkan terutamanya peningkatan ketara pada liabiliti pelaburan portfolio sebanyak 36.5 peratus.
Jumlah aset di luar negeri berkembang sebanyak 5.7 peratus kepada RM901.2 bilion daripada RM852.4 bilion pada 2009. Peningkatan tersebut terutamanya disebabkan oleh pelaburan langsung di luar negeri (DIA), pelaburan portfolio dan pelaburan lain. Sementara itu, aset rizab terus kekal menjadi komponen terbesar di dalam aset di luar negeri berjumlah 36.5 peratus, diikuti oleh DIA 33.1 peratus, pelaburan lain 17.5 peratus, pelaburan portfolio 12.3 peratus dan derivatif kewangan 0.6 peratus. Pada tempoh 2001 hingga 2010, jumlah aset di luar negeri melebar hampir empat kali ganda daripada RM226.6 bilion yang tercatat sembilan tahun lalu.
Sementara itu, jumlah liabiliti asing meningkat sebanyak 18.9 peratus kepada RM887.9 bilion berbanding RM746.6 bilion setahun lalu. Dari segi sumbangan, pelaburan portfolio merupakan komponen terbesar berjumlah 44.6 peratus, diikuti oleh pelaburan langsung asing di Malaysia (FDI) 35.2 peratus, pelaburan lain 19.7 peratus dan derivatif kewangan 0.5 peratus. Pada tempoh 2001 hingga 2010, jumlah liabiliti asing melebar sebanyak 143.8 peratus daripada RM364.2 bilion pada tahun 2001.
Pelaburan Langsung
Stok DIA berkembang sebanyak RM25.8 bilion untuk berada pada RM298.4 bilion pada 2010 daripada RM272.5 bilion yang dicapai pada setahun lalu. Peningkatan tersebut terutamanya disebabkan oleh modal ekuiti & perolehan dilabur semula sebanyak 65.4 peratus. Dari segi perkadaran, modal ekuiti & perolehan dilabur semula mewakili 67.7 peratus sementara selebihnya adalah modal lain. Sejumlah besar daripada pelaburan adalah dijana terutamanya oleh syarikat Malaysia dalam sektor minyak & gas sebanyak 27.6 peratus diikuti oleh sektor kewangan & insurans 24.6 peratus dan sektor informasi & komunikasi 12.3 peratus. Tiga destinasi utama DIA adalah Singapura, Indonesia dan Mauritius.
Stok FDI di Malaysia meningkat daripada RM129.1 bilion pada 2001 kepada RM312.5 bilion pada 2010, pertumbuhan ketara sebanyak 142.1 peratus. Sementara tahun ke tahun, stok FDI meningkat sebanyak RM42.3 bilion atau 15.7 peratus. Komponen modal ekuiti & perolehan dilabur semula membentuk bahagian terbesar berjumlah RM293.7 bilion atau 94.0 peratus. Sektor pembuatan mengekalkan kedudukannya sebagai penerima stok FDI tertinggi sebanyak 46.8 peratus, diikuti oleh sektor kewangan & insurans 23.1 peratus dan sektor perdagangan borong & runcit 8.2 peratus. Tiga sumber utama FDI adalah daripada Singapura, Jepun dan USA.
Pelaburan Portfolio
Di antara tahun 2001 dan 2010, stok aset pelaburan portfolio Malaysia berkembang daripada RM6.2 bilion kepada RM110.7 bilion. Dalam jangka pendek, kedudukan portfolio meningkat sebanyak RM15.5 bilion atau 16.3 peratus berbanding setahun yang lalu. Daripada jumlah tersebut, sekuriti ekuiti yang dipegang oleh residen adalah RM77.2 bilion atau 69.8 peratus sementara sekuriti hutang sebanyak RM33.4 bilion atau 30.2 peratus.
Pada 2010, jumlah stok liabiliti pelaburan portfolio melonjak kepada RM396.3 bilion (2009: RM290.3 bilion) disebabkan oleh pemerolehan asing bagi kedua-dua sekuriti ekuiti dan sekuriti hutang tempatan. Ini sebahagiannya digambarkan oleh aliran kenaikan indeks komposit saham tempatan di sepanjang tahun. Kedua-dua sekuriti ekuiti dan sekuriti hutang masing-masing meningkat sebanyak 42.2 peratus kepada RM203.2 bilion dan 31.0 peratus kepada RM193.1 bilion.
Pelaburan Lain
Kedudukan aset pelaburan lain pada Disember 2010 meningkat kepada RM158.3 bilion, pertumbuhan positif sebanyak RM12.7 peratus atau 8.7 peratus daripada tahun sebelumnya. Sejumlah besar daripada pelaburan terkumpul telah disumbangkan oleh matawang dan deposit luar negeri dalam sektor perbankan dan juga pinjaman.
Kedudukan liabiliti pelaburan lain menunjukkan penurunan kepada RM174.5 bilion (2009: RM177.4 bilion), berkurang sebanyak RM2.9 bilion atau 1.6 peratus. Deposit dari luar negeri yang ditempatkan di bank tempatan mewakili komponen terbesar dalam pelaburan lain.
Aset Rizab
Kedudukan aset rizab kekal kukuh, meskipun berkurang RM2.6 bilion atau 0.8 peratus untuk mencatat RM328.6 bilion (2009: RM331.3 bilion).
Kedudukan Bersih
Pada akhir tahun 2010, kedudukan aset bersih Malaysia berjumlah RM13.3 bilion diperoleh daripada:
- kedudukan liabiliti bersih pelaburan langsung -RM14.1 bilion (2009: +RM2.3 bilion);
- kedudukan liabiliti bersih pelaburan portfolio -RM285.6 bilion (2009: -RM195.2 bilion);
- kedudukan aset bersih derivatif kewangan RM0.6 bilion (2009: -RM0.9 bilion);
- kedudukan liabiliti bersih pelaburan lain -RM16.2 bilion (2009: -RM31.7 bilion); dan
- aset rizab RM328.6 bilion (2009: RM331.3 bilion).

